Saturday, May 12, 2018

PBS Jatuh! Peristiwa 1994 Berulang Di Sabah..


Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengadakan sidang media selepas tiba dari Istana Negeri menghadap Tuan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di kediamannya, Bukit Padang, Kota Kinabalu. - Foto Khairull Azry Bidin


Insiden lompat parti yang menyebabkan kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) tumbang kepada Barisan Nasional (BN) pada tahun 1994, kembali melakar drama politik Sabah, selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diumumkan pada awal pagi Khamis lalu.
Itulah gambaran pergolakan politik Sabah ketika ini, berikutan kedudukan kerusi dimenangi BN dan pakatan Parti Warisan Sabah (WARISAN), DAP dan PKR serta sebuah lagi parti tempatan iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) gagal mencapai majoriti mudah.



Daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN hanya mampu memperoleh 29 kerusi menyamai jumlah kerusi yang diperolehi pakatan WARISAN, DAP dan PKR, manakala dua lagi dimenangi STAR sedangkan majoriti mudah memerlukan sekurang-kurangnya 31 kerusi.
Walaupun BN Sabah sudah mengumumkan membentuk kerajaan dan mengangkat sumpah Ketua Menteri, selepas mendapat majoriti mudah hasil kerjasama dengan STAR, lewat malam Khamis lalu, ia tidak menamatkan kemelut politik pasca PRU-14 di negeri itu.
Semalam, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dilihat hadir di kediaman Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menimbulkan spekulasi insiden melompat parti sekali lagi berlaku, kali ini daripada BN untuk menyertai WARISAN.
Ia diperkuatkan lagi dengan tindakan Pemangku Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau yang mengumumkan keluar BN dan membentuk kerjasama dengan WARISAN, kelmarin.
Daripada lima ADUN UPKO yang menang pada PRU-14, dua dilihat hadir di kediaman Mohd Shafie petang semalam iaitu Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Ewon Benedick (Kadamaian).
Yang lain ialah ADUN daripada UMNO, antaranya Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Jamawi Jaafar (Kemabong), Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik) dan Datuk Osman Jamal (Balung).
ADUN BN lompat parti
Bezanya kali ini ADUN BN melompat parti kepada WARISAN. Pada 1994, BN menerima ADUN PBS yang melompat hingga memaksa Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengundur diri sebagai Ketua Menteri dan menyerahkan kuasa kepada BN.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 1994, PBS kembali membentuk kerajaan selepas mendapat majoriti mudah 25 kerusi daripada 48 kerusi DUN ketika itu, manakala baki 23 kerusi dikuasai BN.
Bagaimanapun, kerajaan PBS ketika itu hanya bertahan dua minggu selepas sebahagian besar wakil rakyatnya melompat menyertai BN dengan dimulai oleh tiga pemimpinnya iaitu Datuk Lajim Ukin (Klias), Datuk Rubin Balang (Kemabong) dan Zaini Mat Isa (ADUN dilantik).
Tindakan mereka kemudian diikuti pemimpin lain termasuk Timbalan Presiden, Tan Sri Bernard Dompok dan Setiausaha Agung, Tan Sri Joseph Kurup yang masing-masing menubuhkan UPKO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), selain adik Pairin sendiri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Selepas insiden lompat-melompat itu, PBS akhirnya hanya mempunyai tiga wakil rakyat, iaitu Pairin, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Datu Amirkahar Datu Mustapha sekali gus memaksa Pairin melepaskan jawatan Ketua Menteri pada 17 Mac 1994.
Selain drama lompat-melompat parti, satu lagi situasi hampir sama turut berlaku selepas PRU-14, iaitu proses angkat sumpah Ketua Menteri di Istana Negeri yang terpaksa ditangguhkan hingga lewat malam.
Selepas mengumpul 31 ADUN untuk membentuk majoriti mudah, Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman datang menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, petang kelmarin.
Bagaimanapun, konvoi Musa terpaksa berpatah balik ke kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya kira-kira sejam kemudian sebelum sekali lagi ke Istana Negeri pada kira-kira jam 8 malam kelmarin, namun proses angkat sumpah hanya dapat dijalankan pada kira-kira jam 11 malam.
Pada 1994, Pairin terpaksa menunggu hampir 36 jam di luar Istana Negeri kerana tidak dibenarkan memasuki kawasan istana sebelum dapat mengangkat sumpah.
Lebih ramai dijangka sokong WARISAN
Semalam, Mohd Shafie turut ke Istana Negeri bagi menghantar surat kepada Juhar memaklumkan kedudukan pakatan diketuai WARISAN yang mengumpul 35 ADUN selepas enam ADUN daripada BN melompat setakat semalam.
Beliau turut mendakwa lebih ramai lagi ADUN BN dijangka tampil menyokong WARISAN, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan pakatan diketuai parti itu untuk membentuk kerajaan negeri dan memaksa BN yang diketuai Musa menyerah kuasa dan meletakkan jawatan Ketua Menteri.
Situasi itu juga berlaku pada tahun 1994 apabila BN yang diketuai UMNO ketika itu mengambil langkah sama bagi memaksa Pairin meletak jawatan Ketua Menteri dan menyerahkan kuasa kepada BN ketika itu.
Selepas kejatuhan PBS, BN yang mengambil alih kerajaan negeri pada masa itu melantik Tun Sakaran Dandai sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu dengan jemaah Kabinetnya turut merangkumi ADUN daripada PBS yang melompat parti.
Mengulas situasi kali ini, Lajim yang kini memimpin Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), berkata ia jelas seperti berlaku pada 1994 yang mana ia terjadi akibat ketidakstabilan kedudukan parti kerajaan.
Lajim kalah dalam cubaannya mempertahankan kerusi DUN Klias pada PRU-14 yang menjadi kerusi tradisinya sejak bersama PBS pada 1985, sebelum melompat kepada UMNO pada tahun 1994, keluar lagi menyertai PKR pada 2012 dan menubuhkan Harapan Rakyat tahun lalu.
Semalam, sebuah lagi parti komponen BN, iaitu Parti Liberal Demokratik (LDP) mengumumkan keputusan meninggalkan gabungan itu berikutan kekalahan teruk parti berkenaan yang gagal memenangi sebarang kerusi pada PRU-14.
Parti yang diketuai bekas Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang itu bertanding di empat kerusi DUN dan satu Parlimen, namun semua tewas, termasuk Chee Kang bertanding di DUN Tanjung Kapor, Kudat.
Calon Cina daripada BN tewas
Berdasarkan keputusan PRU-14 bagi Sabah, semua calon Cina daripada BN, termasuk daripada MCA, GERAKAN dan PBS gagal memenangi kerusi ditandingi mereka apabila tewas di tangan DAP, PKR atau WARISAN.
Berdasarkan perkembangan itu, BN Sabah kini hanya dianggotai UMNO, PBS dan PBRS, selain MCA dan GERAKAN.
Situasi keluar BN mempelbagaikan lagi drama politik Sabah dan dijangka pergolakan politik negeri itu berterusan untuk beberapa hari atau minggu akan datang sehingga sebuah kerajaan negeri yang benar-benar stabil dan kukuh dapat dibentuk.
Apa yang penting, selain memastikan amanah rakyat yang memberi mandat kepada parti dapat ditunaikan dengan sebaik mungkin, proses peralihan kuasa yang sudah pasti akan berlaku dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Sehingga artikel ini ditulis malam tadi, WARISAN berjaya mengumpul 35 kerusi, sudah melebihi majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri selepas enam ADUN BN melompat parti.
Ini bermakna, kerajaan pakatan BN-STAR diketuai Musa yang dibentuk menggunakan majoriti mudah 31 kerusi lewat malam kelmarin tidak lagi boleh bertahan kerana hanya berbaki 25 kerusi.
Ini bermakna, Mohd Shafie hanya menunggu Musa mengumumkan peletakan jawatan Ketua Menteri bagi mengambil alih tampuk pemerintahan negeri daripada BN dan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails