Monday, May 07, 2018

Negara Berkat, Bukan Negara Korporat -Presiden PAS


DI AWAL kemerdekaan, kita menyaksikan konsep warisan British dilaksanakan dalam pembangunan Negara Kebajikan (Welfare State) dalam aspek politik demokrasi, ekonomi bebas dan pembangunan. Ada yang positif dan ada juga negatifnya.

Di antara aspek positifnya ialah Negara Kebajikan mewujudkan pendidikan percuma dan rawatan percuma dan kebajikan masyarakat yang sinonim dengan sebahagian daripada konsep Islam, hasil pengaruh pengajian Orientalis daripada Tamadun Islam di zaman kegemilangannya. Namun tiada kesyumulan dalam segala aspek dan tiada roh akidah, khususnya fahaman Sekularisma yang memisahkan urusan duniawi daripada agama.

Kelemahannya tidak membangunkan negara ke tahap mencapai taraf negara maju, bahkan terus berada dalam senarai negara-negara sedang membangun, walaupun banyak hasil dan cukup tenaga manusia. Negara Barat yang melaksanakan konsep tersebut sedang merudum kerana Sekularismanya. Sebelum itu, kita telah menyaksikan keruntuhan blok Sosialis dan Komunis.

Pada tahun 80-an, apabila Tun Mahathir diikuti oleh penyertaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan memperkenalkan Konsep Penswastaan dalam membangunkan Negara Wawasan 2020 dengan mengambil pendekatan penswastaan dalam kewajipan kerajaan, menjadikan Negara ber-Korporat yang dipengaruhi oleh penglibatan kerajaan dalam aktiviti perdagangan dan perniagaan melalui syarikat dan perbadanan di peringkat Pusat dan negeri, sehingga menular ke dalam Kementerian dan Jabatan, walaupun tidak dinyatakan.

Hujahnya ialah membantu kewangan negara, menjelaskan hutang, menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi serta lain-lain. Kononnya secara pusingan yang bijak memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Ibnu Khaldun (1332-1404), Tokoh Ilmu Kemasyarakatan tersohor menegaskan di dalam al-Muqaddimah:
إن التجارة من السلطان مضرة بالرعايا ومفسدة للجباية
  • “Sesungguhnya kegiatan perniagaan daripada pemerintah (kerajaan) membawa mudarat kepada rakyat jelata dan merosakkan percukaian”
Tulisan atau pandangan yang dinyatakan sejak lebih 600 tahun yang lalu menjadi kenyataan. Kita menyaksikan kemelesetan ekonomi rakyat yang benar-benar membebankan rakyat dan mencipta para Qarun yang hebat.

Mereka terdiri daripada keluarga dan kroni pihak yang berkuasa sehingga memusingkan harta negara di kalangan mereka. Berlakunya firman Allah:
دولة بين الأغنياء
  • “Harta berpusing di kalangan orang-orang kaya yang tertentu” (al-Hasyr: 7)
Beberapa syarikat kepunyaan Kerajaan rugi tetapi orang-orangnya untung, lalu syarikatnya dipisahkan daripada kerajaan dan dimiliki. Sistem percukaian SST yang tidak lancar menjana ekonomi kerajaan, lalu ditukar GST untuk menimbus lubangnya yang juga tidak akan tertimbus. Semuanya membebankan rakyat, kerana menempah inflasi yang tidak tertahan. 

Hasil tanpa cukai yang melimpah ruah juga ditiriskan oleh pembaziran. Pentadbiran pula dibayangi rasuah. Penguatkuasaannya untuk ikan kecil yang menumpang di belakang jerung yang besar bebas terlepas. Parti yang memerintah menjadi rebutan untuk kesenangan diri sehingga dibarahi politik wang, seterusnya berjangkit kepada rakyat yang dibeli dan dibuli kerana politiknya.

Rakyat menderita menghadapi kos sara hidup bagi menampung segala keperluan, daripada makan, minum, pakaian, rumah kediaman dan pengangkutan yang berbayar dengan harga yang meningkat sehinggalah sakitnya berbayar juga.

Masalah pengangguran juga belum diatasi, bukan sahaja yang tidak berpelajaran tinggi menganggur, termasuk yang ber-Ijazah. Yang sedang bekerja pun ada yang diberhentikan. Pekerja asing lebih dimanfaatkan kerana mengejar keuntungan yang dekat. Walaupun belum sampai ke tahap “Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”, namun “Kera di hutan disusukan, anak sendiri dilemparkan”.

Pelaburan asing tidak membantu bagi pemindahan teknologi yang teratur dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat, sebaliknya dimanfaatkan oleh kalangan tertentu sahaja. Kebanyakan manusia hanya mengenali dua pendekatan sama ada Liberal Kapitalisma, Sosialisma dan Pragmatisma yang diadunkan daripada dua teori dan pendekatan yang diciptanya. Mereka lupa adanya Islam yang pernah diamalkan dengan jayanya dalam sejarah dan kejatuhan umat Islam pula berlaku kerana meninggalkan ajarannya.

Mereka memperlekehkan Islam dengan tuduhan jumud dan sebagainya tanpa mengkaji secara jujur dan mendalam. Islam yang dimulakan di bumi yang kering kontang tanpa asas tamadun awalnya, tiba-tiba bangkit mencipta tamadunnya yang tersendiri, tanpa menolak yang baik dan bijak daripada semua pihak daripada seluruh penjuru dunia, termasuk menggali perkara yang baik daripada tamadun terdahulu yang musnah dan berada dalam lipatan sejarah dan mencipta tamadun yang baru dengan akal, ilmu, pengalaman dan petunjuk wahyu.

Tanpa dinafikan adanya Muamalat Islam dan perbankan dalam aspek ekonomi dan lain-lain, tetapi dalam keadaan yang masih terhad kerana meraikan penggiat Muamalah riba yang membiayai kedudukan kerusi di atas yang lebih selesa. Dalam lipatan sejarah, Islam berada di pihak ketiga dalam pertarungan Parsi dan Rom, dan kini juga kembali berulang. Paling menarik PAS berada di tengah dalam pertarungan antara BN dan PH yang menghimpunkan Kapitalis Sosialis, Islam Liberal dan Oportunis.

BN telah memerintah 60 tahun. PH pula pemimpin lama yang ingin merampas kuasa yang telah ditinggalkan dan dipanjat oleh kumpulan yang memperkudakannya untuk ke Putrajaya. Tuduh-menuduh tanpa perubahan dasar dan pendekatan.

PAS mewujudkan kelompok ketiga, memperkenalkan teras penting tanpa pergaduhan dan terlibat dalam pergaduhan dua penjuru dengan mengadakan Gagasan Sejahtera sebagai penjuru ketiga dengan memperkenalkan tawarannya berteraskan kepada beberapa aspek:

  • Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) bagi menghilangkan ketegangan yang menghabiskan masa dan mewujudkan perpaduan walaupun berbeza pendapat dan pendekatan.
  • Dokumen Hijau menyatakan pendekatan Islam yang sederhana (Wasatiyyah), berbeza dengan cara kanan yang bebas terlepas dan kiri yang melampau.
  • Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) kerana Wawasan 2020 yang hampir tamat.
  • Manifesto Malaysia Sejahtera ke arah penyelesaian semasa dan jangka pendek.
  • Menampilkan calon Parlimen dan Dun yang berbagai-bagai kebolehan dan lapangan serta bersih rasuah.
Akhirnya, berikan peluang kepada Gagasan Sejahtera (Gagasan) dengan gabungan pendekatan PAS bersama rakan-rakannya.

Firman Allah:
وَمَا أُرِيدُ أَنْ أُخَالِفَكُمْ إِلَىٰ مَا أَنْهَاكُمْ عَنْهُ ۚ إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ (٨٨)
  • “Aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah Aku kembali.” (Hud: 88)
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Syaaban 1439 / 7 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 7/5/2018


Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

5 comments:

Anonymous said...

Sistem ekonomi sekular liberal gagal.

Sistem politik sekular liberal gagal.

Sistem undang-undang sekular liberal gagal.

Sistem keadilan sekular liberal gagal.

Sosioekonomi dan sosioekonomi sekular liberal gagal.

Kesimpulan:

Marilah kita semua mengundi parti Islam PAS pimpinan ulama Islam untuk membentuk kerajaan persekutuan untuk membela agama Islam dan hak umat Islam dan rakyat dan melindungi negara dari penyamun-penyamun yang tamak.

Anonymous said...

Pembetulan:

Sosioekonomi dan sosiopolitik sekular liberal gagal.

Anonymous said...

Pak Lebai selalu ponteng parlimen macam mana,umpama ponteng sekolah sedangkan Pak Lebai adalah ketua PAS yang sepatutnya jadi contoh.Kesimpulannya Pak Lebai hanya layak jadi Ustard bukannya jadi wakil rakyat.

Anonymous said...

Kisah ponteng la pulak huhuhu. Besarnya isu negara ni...

Anonymous said...

Sbb isu yg ada modal cuma fitnah 90j. Bila isu tu dh ke laut meraban la cari isu lain...nnt isu kes buli sekolah pulak keluar kot hihihi

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails