Friday, May 11, 2018

LGBT Di Sisi Undang-undang Negara -Datuk Zainul Rijal .

Hasil carian imej untuk Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia


WALAUPUN tidak menggunakan nama LGBT secara spesifik, gerakan menyokong agenda LGBT ini telah lama bermula dengan sejarah yang cukup panjang dan perkembangan dari semasa ke semasa.

Sekitar abad ke-18 dan abad ke-19 di Eropah, hubungan homoseksual adalah dianggap sebagai satu kesalahan jenayah yang serius dan dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermoral di sisi masyarakat.

Di England khususnya, terdapat undang-undang yang menghukum perlakuan homoseksual dan perundangan ini berubah mengikut zaman. Pada awalnya, undang-undang Buggery Act 1533, ketika zaman Raja Henry VIII memperuntukkan kesalahan homoseksual boleh dihukum bunuh.

Perundangan telah diubah dengan Offences Against The Person Act 1861 yang memperuntukkan kesalahan homoseksual kepada penjara seumur hidup. Seterusnya, hukuman ini lebih ringan melalui Seksyen 11 Criminal Law Amendment Act 1885 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun bagi kesalahan lelaki melakukan kelucahan melampau gross (indecency).

Akhirnya Sexual Offences Act 1967 telah memansuhkan kesalahan jenayah homoseksual di antara lelaki yang telah mencapai umur 21 tahun.

Ini jelas menunjukkan bahawa negara Barat pada mulanya tidak menerima perbuatan homoseksual dan perlakuan berkaitan LGBT. Namun secara perlahan, masyarakat Barat tidak menolak perbuatan homoseksual mula menerimanya sebahagian daripada hak individu.


LGBT dan perkahwinan sejenis


Pengiktirafan perkahwinan sejenis merupakan salah satu daripada agenda golongan LGBT. Walaupun hampir semua agama tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, sedikit demi sedikit pelbagai negara mula mengiktiraf perkahwinan sejenis.


Belanda adalah negara pertama yang membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun 2001. Setakat 2014, perkahwinan sesama jenis juga diiktiraf di Sweden, Argentina, Belgium, Kanada, Iceland, Norway, Afrika Selatan, Sepanyol, Portugal, Denmark, Uruguay, Brazil, Perancis, New Zealand, Mexico dan Israel (walaupun tidak dilakukan di sana), bersama-sama dengan dua puluh lima buah negeri di Amerika Syarikat:

Massachusetts, Iowa, Connecticut, Vermont, New Hampshire, New York, Maine, Maryland, Washington, Minnesota, New Mexico, Rhode Island, Delaware, California, New Jersey, Hawaii, Illinois, New Mexico, Utah, Oklahoma, Virginia, Oregon, Pennsylvania, Wisconsin, Indiana dan Colorado serta Daerah Columbia.


Baru-baru ini, golongan LGBT telah mendapat kejayaan besar dengan keputusan Mahkamah berkenaan perkahwinan sejenis di Amerika Syarikat.

Dalam kes yang dikenali sebagai kes Obergefell v. Hodges, Aktivis LGBT, John Arthur telah berkahwin dengan pasangan sejenis James Obergefell di Maryland, Amerika. Dalam satu tempoh kemudian, John Arthur telah meninggal dunia akibat penyakit ALS.


James Obergefell memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengesahan supaya beliau dinamakan sebagai waris dalam Sijil Mati John Arthur. Namun Pendaftar di negeri Ohio tidak dapat meluluskannya kerana Pejabat Penasihat Undang-Undang negeri Ohio mengumumkan rancangan meneruskan larangan perkahwinan sejenis di Ohio, Amerika.


Pada 26 Jun 2015, Mahkamah dengan majoriti  5-4 memutuskan bahawa berdasarkan Pindaan Keempat Belas (Fourteenth Amendment) semua negeri di Amerika Syarikat diarahkan untuk membenarkan perkahwinan sejenis dan mengiktiraf perkahwinan sejenis yang dijalankan di negeri lain.

LGBT di sisi Islam

Homoseksual adalah sebahagian daripada perjuangan LGBT. Islam sememangnya melarang keras perbuatan tersebut. Terdapat nas Al-Quran yang memberi peringatan terhadap azab yang diturunkan kepada umat terdahulu mengenai maksiat berkaitan hubungan sejenis.

Allah berfirman yang bermaksud:

  • Dan Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya, “Tergamak kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?”; 
  • “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” 
  • Tidak ada jawapan daripada kaumnya selain daripada berkata, “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari Bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah golongan yang berpura-pura menyucikan diri.” 
  • Maka kami selamatkannya dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, dia tergolong daripada orang yang dibinasakan. Dan kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kejahatan.  [QS Al-A’raf:80-84].
  • “Dan kamu meninggalkan isteri-isteri kamu yang dijadikan oleh Allah untuk kamu? Bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas!”  [QS Al-Shu’ara’ 26:167]
Daripada nas Al-Quran di atas, adalah jelas bahawa Allah s.w.t mencela perbuatan homoseksual dan menurunkan azab yang berat kepada pelaku-pelakunya sepertimana yang tejadi kepada kaum Nabi Lut di bandar Sodom dan Gomorrah.

Undang-undang berkaitan LGBT di Malaysia

Di Malaysia, tiada peruntukan perundangan yang spesifik terhadap gerakan LGBT secara khusus. Namun perbuatan homoseksual dan perlakuan seksual di luar tabii adalah merupakan satu kesalahan berdasarkan sistem perundangan di Malaysia.

Merujuk kepada undang-undang Jenayah Sivil, Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa

  • “Sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksima 20 tahun, termasuk sebatan.
Selanjutnya, bagi kesalahan yang melibatkan orang Islam, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang berkaitan perlakuan LGBT. Antara kesalahan jenayah syariah di Wilayah Persekutuan yang melibatkan LGBT adalah seperti berikut:

  1. Seksyen 25 -perbuatan liwat
  2. Seksyen 26 - perbuatan Musahaqah (melakukan hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan).
  3. Seksyen 28 perbuatan orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral
Negara Malaysia tidak lari daripada cubaan untuk pengiktirafan hak golongan LGBT. Sebagai usaha untuk memberi pengiktirafan dan hak sama rata kepada golongan LGBT, Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) telah menuntut Malaysia menerima syor-syor mereka dalam Semakan Berkala Sejagat (UPR) tahun 2013 anjuran Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland.

Secara ringkas tuntutan Comango berkaitan LGBT adalah seperti berikut:

  1. Menuntut supaya Malaysia menerima Hak SOGI (Sexual Orientation & Gender Identity). Pengiktirafan orientasi seksual LGBT sebagai hak-hak asasi manusia sejagat.
  2. Syor meminda seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat. Hujahan bahawa jenayah liwat merupakan undang-undang yang tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman  (archaic).
  3. Syor agar Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dimansuhkan dan pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa sebagai “mengganggu hak peribadi.”
Walau bagaimanapun, syor-syor berkaitan LGBT tidak akan terhenti setakat itu kerana pusingan Semakan Berkala Sejagat untuk Malaysia adalah dijadualkan pada Oktober 2018. Diharapkan delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland kelak akan terus berusaha mempertahankan kesucian Islam dalam menghadapi syor-syor melibatkan Hak Asasi Manusia.

Kesimpulan

Berdasarkan rujukan dari sumber-sumber di atas, adalah dapat difahami bahawa gerakan LGBT ini merupakan satu gerakan terancang yang agendanya semakin diterima masyarakat dunia.

Pada mulanya perbuatan homoseksual dikenakan hukuman yang cukup berat namun beransur-ansur hukuman tersebut diringankan dan akhirnya diiktiraf sebagai hak asasi manusia. Tidak cukup dengan itu, perkahwinan sejenis mula diterima oleh dunia dan akhirnya negara maju seperti Amerika Syarikat telah mengiktiraf perkahwinan sejenis berdasarkan keputusan Mahkamah Agung (Supreme Court).

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar 
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia


1 comment:

Anonymous said...

Ada beberapa kawan saya yg mengundi ph termasuk ahli keluarga terkejut masa saya cerita pada diorang yg ph ni menyokong lgbt...rupa rupanya ramai yg tdk tahu...tapi tak boleh buat apa2 dah sbb pru dah lepas..

Takpelah mmg kesilapan saya sendiri sbb berandaian mereka tahu tapi sebenarnya mereka tak tahu...mereka hanya target jatuhkan bn melalui kumpulan parti yg ada subtance shj dan detail yg lain tak berapa tahu.

Mungkin fasa pertama utk jatuhkan kezaliman telah berjaya. Fasa menegakkan Islam mungkin berikutnya wallahualam....sbg umat Islam saya tak kesal malah bersyukur sbb kita mesti bersanga baik pada Allah dan terima segala takdirnya...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails