Wednesday, May 09, 2018

3 Meninggal Dunia Di 3 Pusat Mengundi Berbeza




AJAL.. Seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di pusat pengundian Balai Raya Kampung Baru Sempalit, Raub, Pahang pukul 2.15 petang tadi.

Wanita tersebut, Rozaliza Mohd. Said, 49, bertugas sebagai kerani pengundian di saluran tiga pusat daerah mengundi (PDM) itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengadu sakit perut.Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, anak mangsa, Wardah Mohd. Sais yang juga bertugas di PDM sama berkata ibunya mengadu sakit perut sebelum dia membawanya ke bilik air.
Rozaliza, dari Lorong Sempam Baru, Jalan Cheroh, Raub dipercayai terjatuh ketika hendak menggunakan tandas.
“Siasatan awal mendapati mangsa ada mengadu sakit perut (cirit-birit) sebelum anaknya yang juga petugas SPR di PDM itu menemaninya ke tandas. 
“Bagaimanapun, anak mangsa mengesahkan bahawa ibunya tidak mengalami sebarang penyakit. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat,”katanya dipetik laporan media tempatan.
Dalam pada itu, seorang lelaki warga emas juga meninggal dunia ketika sedang beratur menunggu giliran mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hari ini.
Kejadian yang berlaku di Sekolah Menengah Taman Petaling, Petaling Jaya, Selangor itu dilaporkan meninggal dunia selepas tiba-tiba jatuh pengsan ketika sedang beratur untuk mengundi.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din, mangsa dikenali sebagai Lor Voon Chor, 78 meninggal dunia setelah pengsan di tempat kejadian.
“Ketika kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa yang bertongkat ditemani isteri dan anak lelakinya yang turut mengundi di tempat sama.
“Ahli keluarga memaklumkan mangsa menghidap penyakit jantung, kencing manis dan mempunyai masalah paru-paru,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, mangsa tiba di pusat pengundi itu bersama-sama keluarganya dari Petaling Jaya pada kira-kira 9.30 pagi dan seorang anggota polis di tempat kejadian menghubungi bantuan kecemasan setelah lelaki itu rebah.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang memeriksa mangsa di lokasi kejadian.
Ujar Mohd, Zani, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke hospital berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Kematian tersebut menjadikan jumlah kematian pada hari mengundi PRU14 ini kepada tiga orang.
Terdahulu, seorang wanita di pantai timur tidak sempat mengundi apabila meninggal dunia sewaktu sedang beratur di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai, Dungun, Terengganu.
Mangsa yang dikenali sebagai Rokiah Sulong, 54, dari Kampung Pelandang tiba-tiba rebah di pusat terbabit, kira-kira jam 8.20 pagi.
Anak sulong mangsa, Nur Zita Md Nor, 36, berkata dia membawa ibu itu ke pusat mengundi namun terpaksa berpisah kerana mangsa beratur di saluran lain.
Dilaporkan mangsa juga mempunyai penyakit darah tinggi dan sentiasa berjumpa dengan doktor tiga bulan sekali. – MYNEWSHUB.CC/EZ




3 comments:

Anonymous said...

Berita keluarga. PAS dan UMNO telah meniggal dunia sebentar tadi,jenazah akan di kebumikan pada esok hari. Kah.... Kah..... Kah..........

Anonymous said...

Saya sedih pas tk mng diluar kelantan.sangat mengejutkn jumlah undi yg diterima pas.merosot.

Anonymous said...

Tahniah Ibnu Hasyim, PAS dah dapat majoriti mudah 112 kerusi. Ini semua berkat dakwah Tuan Ibnu Hasyim.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails