Tuesday, March 20, 2018

Datuk Lat: 2 Kekuatan Rahsia.. 'Saya Antara Peminatnya' I/Hasyim.



Dua kekuatan jadi rahsia apresiasi Lat

Oleh Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi


DALAM rencana ringkas ini, saya ingin mengajak pembaca untuk merenung rahsia kejayaan Datuk Lat atau nama sebenarnya, Datuk Mohammad Nor Khalid sehingga menjadi seorang personaliti antarabangsa.
Saya mencadangkan bahawa Lat, antara lain mempunyai dua kekuatan dalam karya beliau yang memacu kejayaannya, iaitu keupayaan menulis dalam bahasa Inggeris dan apresiasi terhadap kepelbagaian budaya Malaysia.
Saya amat tertarik untuk menulis rencana ini atas dua sebab. Pertama, saya amat mengagumi bagaimana seorang anak Melayu yang tidak pernah menjejak kaki ke universiti boleh diangkat sebagai kartunis bertaraf antarabangsa dan mempunyai kejayaan belum ditandingi dalam negara.
Kedua, saya berasakan susur galur kehidupan Lat boleh memberi pedoman terhadap isu perkauman di Malaysia serta isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Rencana ini diasaskan daripada pembacaan semua kartun, daripada buku kartun yang dihasilkan Lat serta buku biografi beliau bertajuk Lat: My Life and Cartoons terbitan Editions Didier Millet, baru-baru ini.
Pertama, saya ingin membicarakan bagaimana apresiasi Lat terhadap kepelbagaian budaya di negara kita telah membuka tirai antarabangsa bagi 'budak kampung' ini.
Kalau diamati kerjaya awal beliau sejak di bangku sekolah menengah lagi dan pertumbuhan minda dan sosial dalam suasana kesederhanaan kampung Melayu, memang tiada siapa menduga beliau bakal menjadi kartunis bertaraf dunia.
Beliau bukan daripada golongan berada, tiada daya intelektual yang tinggi dan mempunyai lingkungan sosial masyarakat golongan berpendapatan rendah. Dalam karya kartun asal seperti Tiga Sekawan dan Ali Konga, beliau meniru format komik The Beano dan Dandy dari England.
Apabila ditegur oleh Wok Kamaruddin, seorang kenalan tua, bahawa beliau seharusnya menitikberatkan konteks budaya Melayu sendiri dan tidak kepada budaya Barat, Lat mengubah karyanya bersifat konteks budaya Melayu dengan pelbagai kartun di Berita Harian sehingga karya klasik bersiri Keluarga si Mamat.
Pada 1973, beliau menyerahkan satu 'strip' kartun dalam bahasa Inggeris untuk majalah Asia Magazine yang bersifat konsep humor baharu, iaitu budaya kehidupan tradisional. Beliau melukis dan mengisi dialog mengenai majlis tradisional orang Melayu Islam, iaitu bersunat dalam bahasa Inggeris.
Apabila diterbitkan, ia mendapat sambutan hangat dan luar biasa sehingga Ketua Editor New Straits Times (NST) ketika itu, Lee Siew Yee menawarkan Lat jawatan pelukis kartun tetap di akhbar terbabit, mungkin kerana beliau melihat potensi kartunis ini bukan sahaja sebagai penghibur, tetapi juga sebagai elemen jambatan perpaduan.
Lat kemudian memulakan siri Scenes of Malaysian Life dalam akhbar NST, memulakan lembaran baharu dalam kehidupan ini dengan melukis siri A Perak Wedding atau Perkahwinan Perak.
Beliau kemudian mendapat idea untuk melukis kisah A Sikh Wedding dan kemudian A Hakka Wedding.
Untuk mendapatkan ketepatan fakta, beliau sendiri hadir di Gurdwara, rumah ibadat penganut Sikh dan juga majlis perkahwinan Hakka serta mendapat maklumat hasil temu bual dengan beberapa individu daripada golongan Hakka dan Sikh.
Seterusnya, beliau membuat beberapa siri lagi mengenai kepelbagaian budaya seperti hasil karya Makan Time dan majlis perayaan pelbagai kaum. Persoalan yang menarik ialah mengapa beliau berbuat demikian? Kenapa tidak terus melukis mengenai budaya Melayu dan Islam sahaja?
Saya berasakan bahawa Lat, sejak pendidikan sekolahnya, bercampur gaul dengan rakan pelbagai budaya serta mempunyai guru pelbagai kaum. Perkara ini menjadi semakin meruncing dalam budaya kita masa kini.
Dalam suatu ceramah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Omar Abdul Rahman menunjukkan graf pengasingan kaum yang berlaku masa kini. Dalam tinjauan terbabit, didapati 90 peratus orang Melayu tidak mempunyai kenalan selain daripada kaumnya.
Dalam kelas bimbingan bahasa Inggeris dan Matematik di rumah saya, semua 42 anak Melayu yang bersekolah awam tidak mempunyai seorang pun rakan selain daripada kaumnya.
Saya juga merasakan bahawa Lat tidak didoktrinkan dengan ideologi ekstremis Islam atau Melayu dan beliau menyifatkan kepelbagaian budaya sebagai rencah kehidupan yang bagi seorang artis tulen, ialah aspek kehidupan penting yang layak dijadikan motif karya untuk kebaikan bersama.
Bebas ideologi ekstremis
Lat bebas daripada kedua-dua ideologi ekstremis ini dan keputusan untuk meraikan kepelbagaian kaum telah membawa pelawaan lawatan untuk beliau ke England dan Amerika, Jepun dan banyak negara lain. Seluruh dunia faham kepentingan kepelbagaian kaum dan agama sebagai pemangkin ketenteraman global.
Satu kejayaan kesenian Lat yang saya kagumi ialah gaya beliau melukis karikatur pelbagai karakter daripada kaum yang berbeza. Kita semua boleh terhibur dengan gelagat masing-masing tanpa perasaan bahawa kita daripada satu kaum yang 'lebih baik' atau 'lebih suci' daripada kaum yang lain.
Ini adalah suatu bakat yang sukar diajar dan hanya boleh dijiwai. Kejayaan kedua Lat adalah keupayaan beliau berbahasa Inggeris. Lat belajar pada era semua subjek dalam bahasa Inggeris dan seperti arkitek terkenal, Hijjas Kasturi, mereka anak Melayu daripada keluarga sederhana yang menggunakan apa sahaja kemudahan bacaan dalam bahasa Inggeris untuk menimba ilmu secara sendiri.
Hasil carian imej untuk Datuk Lat: 2 Kekuatan Rahsia Apresiasi Lat

Imej yang berkaitan
Hasil carian imej untuk Datuk Lat:
Keupayaan berbahasa Inggeris bukan sahaja meluaskan ilmu mereka dalam aspek teknologi, ekonomi dan sains, ia juga membuka minda mereka kepada kepelbagaian budaya kehidupan kaum lain di dunia.
Tidak seperti orang yang hanya tahu berbahasa Melayu, mereka yang tahu lebih daripada satu bahasa boleh menerima dan mempunyai apresiasi terhadap warna corak kehidupan yang berbilang bangsa dan agama.
Untuk sesuatu kaum itu berkembang, minda tidak boleh dikunci atau disempitkan. Sayangnya, di universiti awam, penyempitan ini juga berlaku dalam kalangan profesor dan ahli akademik yang tidak nampak kebaikan atau potensi anak Melayu mengecap peluang seperti dianugerahkan orang asing kepada Lat.
Siapa akan mengenali Lat kalau beliau asyik dengan karya Keluarga Si Mamat dalam bahasa Melayu sehingga akhir hayat?
Apakah kita akan menjumudkan diri dengan slogan dan sikap patriotisme sempit dan merugikan, semata-mata kerana tafsiran bahawa martabat bangsa dan agama tidak bersikap global atau kita mengiktiraf kepelbagaian budaya adalah suatu rahmat atau hikmah, bukannya ugutan.
Pendidikan sekolah di negara kita juga perlu menilai semula dasar penggunaan bahasa Inggeris dengan lebih adil dan bermakna. (BH kna.)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Saya antara peminat kartunis LAT yang mengikuti perkembangan tulisannya sejak beliau remaja lagi.
Berita Berkaitan..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails