Saturday, September 16, 2017

Stesen K/Api London Diserang 'Pengganas'. 22 Cedera.


ANGGOTA pasukan kecemasan dilihat dekat stesen Parsons Green. - AFP
LONDON – Polis Britain berkata bahawa sebutir bom digunakan dalam letupan di sebuah stesen kereta api metro di London yang mencederakan 22 orang semalam.
Pihak berkuasa menganggap kejadian itu serangan pengganas.
“Kami mendapati letupan berpunca daripada bom buatan sendiri,” kata ketua unit polis antikeganasan, Mark Rowley.
Polis London kini dibantu agensi perisikan dalam negeri, MI5, katanya.
Penumpang sebuah kereta api menuju ke kota raya London bertempiaran lari apabila api membakar sebuah gerabak di stesen kereta api bawah tanah Parsons Green, London Barat pada pukul 8.20 pagi (waktu tempatan).
Beberapa saksi berkata, sebahagian penumpang mengalami melecur dan kecederaan lain akibat rempuhan semasa mereka lari menyelamatkan diri.
Menurut perkhidmatan ambulans London, pihaknya membawa seramai 18 orang ke hospital tetapi tiada mangsa yang parah. Baki mangsa berusaha sendiri untuk mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.
Gambar yang dirakam di lokasi kejadian menunjukkan sebuah baldi putih bersama sebuah beg berada di atas lantai sebuah gerabak kereta api tersebut.
Baldi itu masih terbakar dan terdapat wayar terjuntai daripada perkakasan itu.
“Saya berada di gerabak kedua dari belakang. Saya mendengar desiran kuat. Saya mendongak dan melihat seluruh gerabak terbakar dan api menuju ke arah saya.
“Ramai orang yang jatuh dipijak semasa melarikan diri. Sebilangan penumpang cedera,” kata saksi kejadian, Ola Fa­yankinnu.
Seramai 52 orang terbunuh apabila empat militan meletupkan bom bunuh di tiga buah stesen kereta api bawah tanah dan sebuah stesen bas di London pada tahun 2005. – Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails