Monday, September 04, 2017

Rafizi Persoal Maklumat Anwar Pula.. Pusingan Di Pihak Azmin?


MENDEKAM di penjara kerana kesalahan meliwat, akses Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perkembangan politik semasa hanyalah melalui barisan peguam-peguamnya.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata Anwar terbatas untuk memperoleh maklumat terkini ekoran berada di penjara, malah maklumat tersebut lebih 'meruncing' apabila satu-satunya saluran itu adalah barisan peguamnya yang mendokong kerjasama PKR-PAS.

Ahli Parlimen Pandan itu memberi maklum balas tersebut susulan kenyataan Anwar semalam yang menjelaskan latar belakang dan pendiriannya bersabit rundingan dengan PAS.

Menurut Rafizi, beliau memilih untuk mengulas kerana khuatir kenyataan Anwar disalah erti dan sekaligus menyebabkan bekas Ketua Pembangkang itu dicemuh apabila 'ditafsir secara sekerat sekerat sehingga keluar dari konteks sebenar'.

"Dengan keterbatasan yang beliau ada kerana terpenjara, pandangan Datuk Seri Anwar selama ini pun (dalam sesuatu perkara) memang berbentuk panduan umum yang memberi garisan jelas pertimbangan-pertimbangan yang mesti diambil kira dalam membuat keputusan.

"Namun akhirnya, keputusan diserahkan untuk dibincangkan dan dimuktamadkan oleh pimpinan PKR dan Pakatan Harapan kerana beliau ada keterbatasan dari segi maklumat terkini yang diperolehi.

"Dalam isu rundingan kerusi dengan PAS ini, keterbatasan maklumat itu lebih meruncing kerana satu-satunya saluran maklumat beliau yang paling kerap ialah melalui peguam-peguam Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren yang ketiga-tiganya adalah pendokong kepada cadangan bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.    

Anwar tampil mengesahkan beliau mempersetujui usaha Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berunding dengan PAS bagi membentuk kerjasama pakatan bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Biro Komunikasi parti itu, Anwar bagaimanapun menambah, PKR konsisten untuk mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) dan seandainya wujud rundingan bersama PAS, ia tetap akan berlaku dalam 'kerangka komitmen PKR dengan PH'.

Justeru menurut Rafizi, beliau menyambut baik kenyataan tersebut kerana Anwar mengulangi perkara-perkara prinsip yang telah ditegaskannya sejak dua tahun lalu apabila isu itu mula-mula timbul.

Beliau juga mengalu-alukan saranan Anwar supaya “segala keputusan perlu dimuktamadkan segera” memandangkan PRU14 yang terlalu dekat.

"Pendirian PKR telah lama dipersetujui seperti yang digariskan oleh prinsip-prinsip di atas dan diulangi sekali lagi oleh Datuk Seri Anwar dalam kenyataannya.

"Muafakat Pakatan Harapan juga telah memutuskan tidak ada lagi sebarang rundingan dengan PAS untuk membolehkan Pakatan Harapan menumpukan perhatian kepada persediaan PRU14 pada kadar segera.

"Sebab itu bagi saya, isu ini tidak lagi berbangkit dan kenyataan Datuk Seri Anwar semalam tidak boleh disalah ertikan sebagai persetujuan untuk terus menggantung rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan demi memujuk PAS sehingga ke saat akhir penamaan calon," kata beliau.

Kemelut berkaitan hubungan kerjasama di antara PKR-PAS sampai ke kemuncaknya apabila Rafizi pada minggu lalu mendedahkan parti itu kini terbahagi kepada dua kumpulan.

Dakwa Rafizi, kumpulan pertama berpendirian keutamaan parti adalah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor meskipun perlu berunding dan bekerjasama dengan PAS, manakala kumpulan kedua pula bertegas mahu PKR komited bersama DAP, Amanah dan PPBM sahaja dalam PH menghadapi PRU14.

Di tengah-tengah perdebatan mengenai rundingan tersebut, Majlis Presiden PH pada 29 Ogos lepas telah memuktamadkan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU14 dan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya itu. -4/9/2017


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Rafizi persoal sumber maklumat Anwar pula. Ertinya, pusingan masih di pihak Azmin?

Klik di sini..

1 comment:

Anonymous said...

Kajang Move dah jadi Kongkang Move. Mujur ada khadam.brand kuali. Terubat hati Mr Sotong

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails