Friday, January 15, 2016

Adakan Referendum Rakyat Sebelum Tandatangan TPPA, PAS Gesa Putrajaya

Kerajaan tidak boleh membuat keputusan menandatangani TPPA berdasarkan keputusan 134 ahli Parlimen Barisan Nasional sahaja kerana ia memberi kesan besar kepada masa depan generasi dan negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Januari, 2016. 
PAS mencadangkan satu referendum rakyat diadakan sebelum Putrajaya membuat keputusan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, adalah penting untuk Putrajaya memperoleh mandat rakyat sebelum menandatangani TPPA dan bukan hanya berdasarkan undi ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
"Dengan referendum ini, rakyat akan lebih jelas implikasi baik buruk keterlibatan negara dalam TPPA ini melalui siri penerangan dan penjelasan semua pihak," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, walaupun perbahasan di Parlimen merupakan langkah positif bagi memberi peluang kepada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara membahaskan TPPA, namun PAS merasakan ia sekadar lakonan hiasan untuk menunjukkan Putrajaya masih sedia mendengar.
"Walhal para ahli Parlimen BN sudah diberi arahan untuk mengundi menyertai TPPA daripada pihak atasan.
"Oleh kerana isu TPPA merupakan isu yang akan meninggalkan kesan besar kepada masa depan generasi dan negara, kerajaan tidak boleh membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian TPPA berdasarkan keputusan 134 ahli Parlimen BN yang sudah terbukti bakal bertindak seperti lembu dicucuk hidung," katanya.
Katanya, Putrajaya tidak seharusnya meletakkan negara pada situasi terdedah kepada pengaruh berlebihan pihak asing, terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan menghadapi risiko besar terhadap kedaulatan negara.
"Negara dalam keadaan nilai mata wang negara lemah, pendapatan negara menurun kerana kejatuhan harga minyak, pimpinan negara terpalit dengan skandal besar, hutang negara yang semakin membesar dan kos sara hidup yang semakin mencekik leher dengan menandatangani perjanjian TPPA," katanya.
Tuan Ibrahim berkata, PAS turut bimbang kos perubatan melambung yang memberi kesan kepada masyarakat selepas perjanjian TPPA dimeterai.
"Hak rakyat marhaen ini perlu dipelihara dan dipertahankan kerana keadaan kos sara hidup yang semakin menghimpit kualiti kehidupan mereka.
"Jangan kerana TPPA menyebabkan hanya rakyat kaya sahaja mampu menikmati perubatan," katanya.
Menurut Tuan Ibrahim, PAS turut menyifatkan TPPA memberi kelebihan syarikat-syarikat asing untuk menembus pasaran negara-negara TPP dan membahayakan ekonomi syarikat tempatan.
"Umum mengetahui, Malaysia kekurangan syarikat tempatan yang mempunyai produk atau servis yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
"Kekurangan ini berserta dengan nilai ringgit yang rendah menyukarkan syarikat kecil tempatan untuk menyaingi syarikat-syarikat daripada negara lebih maju daripada industri yang sama atas faktor modal.
"Pekerja-pekerja tempatan pasti lebih terpikat dengan tawaran gaji lebih tinggi oleh syarikat-syarikat dari negara maju yang mempunyai nilai mata wang lebih tinggi berbanding ringgit.
“Akhirnya, syarikat-syarikat tempatan terpaksa gulung tikar,” katanya lagi.
Menurut Tuan Ibrahim, TPPA akan meletakkan Malaysia di dalam blok AS dan sekutunya.
"Ia bermakna Malaysia akan melepaskan kedaulatannya sebagai sebuah negara bebas yang tidak terikat dengan sebarang blok kuasa utama dunia yang sedang bersaing hebat.
"Apakah Malaysia masih bebas bersuara tatkala Amerika dan sekutunya Israel menindas negara-negara Islam seperti Palestin tanpa sebarang risiko dikenakan sekatan ekonomi selepas TPPA ditandatangani nanti?" soalnya. – 15 Januari, 2016. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails