Friday, December 18, 2015

InsyaAllah Melayu Tidak Jadi Macam Arab. -Pesiden PAS

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak (kanan) dilihat bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 Disember, 2015.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak (kanan) dilihat bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 Disember, 2015. 


Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir berpakaian sedondon ke program Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia petang ini, memakai baju Melayu merah jambu, seperti membayangkan ikatan silaturahim yang mungkin terjalin antara dua ketua parti orang Melayu itu.
Bagaimanapun, warna itu sebenarnya merupakan tema majlis yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu, acara yang julung kali diadakan bagi menghimpunkan bekas pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir dari Malaysia dan Indonesia.
Seri yang terpancar dari warna baju presiden Umno dan presiden PAS yang duduk bersebelahan di atas pentas itu seolah-olah memberi harapan kepada kerjasama antara dua parti politik yang selama ini bersaing itu.
Minggu lepas, Najib membuat pelawaan terbuka untuk menjalinkan silaturahim dengan PAS bagi membina negara sempurna mengikut syariat Islam.
Menyampaikan ucaptama di multaqa petang ini, Hadi berkata beliau mengharapkan umat Islam di negara ini tidak menjadi seperti di Timur Tengah yang kini berperang sesama sendiri kerana perbezaan ideologi.
Katanya, meskipun Malaysia tidak dapat lari daripada pelbagai perbezaan ideologi, beliau yakin ia tidak akan sampai ke tahap yang boleh mengakibatkan peperangan.
"Sunni dengan Sunni berperang, Syiah dengan Syiah berperang, kerana perbezaan ideologi. Berperang dengan senjata yang diberi Barat, Timur, sama ada Amerika, Rusia atau China.
"Kita berperang dengan senjata mereka... Kenapa jadi begitu? InsyaAllah Melayu tidak jadi macam Arab. Indonesia tidak jadi macam Arab. Kita berbeza pendapat, kita berbalah, berkelahi, tetapi tidak jadi peperangan proksi," katanya.
Hadi juga dalam ucapannya berkata, kerajaan sewajarnya memanfaatkan kepakaran ulama negara ini, mengatakan ramai ulama lepasan Al-Azhar boleh diketengahkan bagi membantu kerajaan dalam mentadbir negara.
"Zaman penjajah sudah tidak ada lagi di negara ini. Kita sendiri (tadbir negara). Ulama-ulama dan ustaz kita yang belajar agama ramai di negara kita.
"Bila kekuatan secara berkumpulan, ia sukar untuk dilumpuhkan," katanya sambil menambah, ilmu daripada Barat boleh dimanfaatkan tetapi nasihat mereka boleh diketepikan. – 17 Disember, 2015(TMI)

1 comment:

Anonymous said...

hj hadi punya pndangan jauh dlm mnyelamatkn ummah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails