Monday, April 06, 2015

IS Kuasai Kem Pelarian Yarmuk, Syria.

GAMBAR fail bertarikh 4 April 2015 ini menunjukkan dua orang kanak-kanak menolak motosikal beroda tiga di sebuah jalan di kem pelarian Yarmuk, Damsyik. - AFP

DAMSYIK, Syria – Ribuan rakyat Palestin terperangkap di kem Yarmuk di sini yang dikepung tentera kerajaan dan sebahagian besarnya telah dikuasai pejuang militan, kata seorang pegawai pembangkang kelmarin.

Kem yang terletak di Damsyik itu kini hampir sepenuhnya berada dalam kawalan kumpulan militan Negara Islam (IS) dan cawangan tempatan Al-Qaeda, Al-Nusra Front, kata kumpulan pemantau. Agensi Pemulihan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA) mengeluarkan rayuan kecemasan bagi meminta akses kemanusiaan ke kawasan tersebut.

Pada Rabu lalu, militan IS bertindak menyerang kem berkenaan yang terletak hanya tujuh kilometer dari tengah Damsyik. Mereka kemudian telah ditentang oleh tentera Palestin di Yarmuk, tetapi telah berjaya menguasai 90 peratus daripada kawasan yang luas itu.

"Penduduk di dalam kem berkenaan seolah-olah berada di antara ‘syaitan dan laut biru dalam’.
"Kem ini dikelilingi oleh tentera rejim dan di dalamnya pula terdapat militan IS yang telah menguasai hampir sepenuhnya kawasan ini," kata Ayman Abu Hashem yang mengetuai jawatankuasa kerajaan pembangkang sementara Syria ke atas pelarian Palestin.

Abu Hashem berkata, pasukan tentera Palestin dari kumpulan Aknaf Beit al-Maqdis yang setia kepada gerakan Hamas telah berkesan dikepung oleh militan. Tambahnya, kebimbangan bahawa IS akan membalas dendam di kem itu sangat tinggi kerana ahli kumpulan militan berkenaan pernah diusir oleh penduduk dan pejuang tahun lepas.

Badan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain berkata, kumpulan militan kini menguasai 90 peratus Yarmuk yang dahulu pernah menjadi rumah kepada 160,000 pelarian Palestin dan Syria.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh sejak pertempuran di kem tersebut yang terdiri daripada enam penduduk awam dan 12 militan. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails