Thursday, November 07, 2013

Pemilihan PAS: 3 Perlu Tanding T/Presiden, Nizar Perlu N/Presiden.

Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin SPMP, MLA (Perak), LL.B, B.Eng (Aston)

Saingan sihat antara Mohd Sabu, Tuan Ibrahim dan Husam -  Tun Muda Mansur
KINI pemain dan penyokong politik Pakatan Rakyat (PR) beralih tumpuan kepada agenda pemilihan pimpinan utama parti pembangkang terbesar, Parti Islam Semalaysia. Ia akan berlaku pada penghujung bulan ini.

Biarpun ada kenyataan Karpal Singh yang menyinggung PAS, walaupun Kelantan tumpas kepada Pahang, ketika dunia dikejutkan oleh pengintipan Amerika Syarikat termasuk terhadap Malaysia, perihal pemilihan pimpinan utama PAS menjadi tumpuan utama kepada kelompok yang saya nyatakan tadi. Masing-masing sedang menilik kemungkinan berlaku dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden dan

Naib Presiden.

Sejujurnya, saya mahu melihat pertandingan sihat untuk jawatan Timbalan Presiden berlaku antara Mohamad Sabu, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Husam Musa. Kenapa mereka?

Saya menolak penyertaan Mohd Amar dalam pertandingan kerana beliau sedang sibuk melayani tugasan baru selaku Timbalan Menteri Besar Kelantan. Gandingan beliau bersama Datuk Menteri Besar sentiasa menjadi perhatian rakyat Kelantan. Jika dulu, Kelantan sentiasa disanjung. Kerajaan sentiasa dihormati. Semuanya berpunca daripada susuk tubuh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kini faktor itu tiada. Gandingan tersebut sedang menapak sedikit demi sedikit. Mereka perlu mantapkan takwa pentadbiran dalam memimpin sebuah negeri yang rakyatnya sangat matang dan sedar kepentingan politik rakyat.

Justeru, perlukah Mohd Amar menambah amanah berat di Pusat. Saya mohon lupakan dahulu. Buktikan anda berjaya di Kelantan dalam gandingan itu. Kenapa? Kerana Kelantan memulakan sesi tanpa Tuan Guru dengan percikan air dan gelombang angin yang kurang enak.

Salahudin Ayub pula sudah menarik diri di awal pencalonan.  Tutup kes.

Hujahan saya sangat ringkas. Saya mahu ahli melihat secara realiti apa yang sering digemburkan oleh pimpinan atasan bahawa PAS adalah kombinasi antara kelompok agamawan, profesional dan aktivis. Dan ketiga-tiga mereka dilihat mewakili kelompok tersebut.

Mohd Sabu seorang aktivis. Husam adalah tokoh profesional (latar akademik) dan Tuan Ibrahim mewakili agamawan. Kenapa tidak Mohd Amar yang dilihat lebih kompeten oleh Dewan Ulama berbanding Tuan Ibrahim? Jawapan saya seperti di atas. Itu sahaja.

Selain sedikit penambahan, Tuan Ibrahim lebih secocok untuk digandingkan dengan Presiden PAS, Datuk Hadi Awang jika dilihat daripada pelbagai sudut. Saya enggan untuk perincikan hal itu. Jadi, dengan penyertaan mereka bertiga dalam saingan sihat ini, ahli daripada kepelbagaian latar dan kecenderungan, berasa mereka diwakili dan mereka ada pilihan daripada ketiga-tiga kelompok besar dalam PAS.

Oleh itu, saya dengan rasa rendah diri memohon ketiga-tiga mereka menerima pencalonan oleh kawasan-kawasan dan serahkan pengundi memilih siapakah yang mereka mahu bagi mengukuhkan parti berganding bersama Presiden. Mohamad Sabu wajar pertahankan jawatan. Hanya politikus lemah sahaja yang mahu menarik diri daripada bersaing untuk jawatan yang sedang dipegangnya.

Husam wajar bersaing demi memberi ruang dan peluang kepada anak muda dalam dan luar parti kepada sebuah pengharapan mereka. Husam mempunyai pengikut yang besar. Tokoh yang dilihat boleh memimpin PR selepas presiden dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika beralas dengan alasan remeh, sampai bila-bila tuan tidak akan bersaing dan ini mengecewakan ramai.

Tuan Ibrahim dengan sifat keayahan tetapi dekat dengan anak muda, sangat sesuai digandingkan dengan Presiden. Tokoh agamawan PAS, mempunyai ramai anak murid seluruh negara dan sifat kesederhanaannya menambahkan variasi kepimpinan tertinggi PAS Pusat.

Akhirnya, apa yang akan menjadi pemerhatian para pengundi ialah kekuatan yang ada pada tubuh kalian sendiri. Bukan kelompok yang kalian wakili dan bukan juga label yang diberikan oleh peminat dan pembenci kalian.

Renungkanlah.

Bagi jawatan Naib Presiden, saya tidak nampak alasan untuk pengundi tidak memilih mantan MB Perak, Nizar Jamaluddin untuk satu kerusi daripada tiga. Walaupun saya bukan anak Perak, tapi saya rasa sangat dekat dengan corak kepimpinan beliau, kematangannya berhujah dan kelebihannya yang tidaklah kosong langsung daripada ilmu agama yang asas.

Saya mahu beliau memegang jawatan Naib Presiden. Beliau tokoh yang disanjung lawan dan kawan, termasuk ramai pengikut PR, tiba-tiba beliau tiada tempat dalam kepimpinan tertinggi parti? Apa ini?
Inilah pandangan saya. Saya mencadang! – 6 November, 2013.

Penulis: Tun Muda Mansur

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013 


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails