Thursday, November 07, 2013

Pandangan Untuk Anak Presiden PAS, Petanding Timbalan K/Pemuda



Tumpuan Khalil adalah Marang, belum Malaysia - Tun Muda Mansur

ANAK kepada Presiden PAS, Mohd Khalil Abdul Hadi adalah antara calon bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia. Atas kertas, seolah-olahnya beliau adalah wakil yang diharapkan oleh kelompok ustaz untuk jawatan tersebut, jika dibandingkan dengan nama lain. Walaupun begitu, belum kedengaran lagi pengesahan rasmi daripada beliau sama ada mahu bersaing atau tidak.

Harapan saya yang jauh tapi dekat, agar Khalil tidak menyertai persaingan untuk kali ini. Saya bukan penentang. Bukan penyokong. Tiada hasrat untuk mengganggu. Tiada pula menerima sogokan idea untuk menulis. Ia datang daripada fikiran dan naluri saya sendiri.

Saya sungguh percaya, beliau adalah antara harapan pemimpin masa depan. Sama ada di kawasan, negeri, mahupun kebangsaan beliau akan diminta berperanan. Tidak besar, jawatan kecil akan diserahkan. Cuma saya melihat tahun ini bukan masanya untuk beliau bersaing.

Situasi semasa tidak menggalakkan beliau mencuba jawatan kedua tertinggi Dewan Pemuda itu. Bukan kerana harapan untuk menang tiada. Sebaliknya harapan untuk melihat keharmonian idea dan kecenderungan dalam Dewan mungkin tidak dapat digalas usaha oleh beliau.

Semua pemerhati politik tahu, PAS sedang mengalami dua gelombang ombak badai yang saling memukul  nakal satu sama lain. Kenakalan itu menatijahkan hanya dua pilihan sahaja. Anda pro-ulama atau anda anti-ulama. Ia berlaku sama ada secara terancang atau pun silap percaturan. Pemilihan tahun ini bergerak ke arah itu.

Justeru, jika beliau bertanding dan bersaing dan menang, beliau hanya mewakili kelompok ustaz (mungkin dilihat radikal) dalam Dewan. Tidak menjadi pemimpin kepada seluruh Pemuda yang terdiri daripada latar belakang yang pelbagai.

Apa kebaikan yang akan beliau perjuangkan nanti? Tarbiah? Identiti ulama? Maslahah agama? Hudud? Atau hanya mahu memenuhi perancangan sekelompok kecil ustaz yang bersikap sangat “garang” kepada pimpinan Pemuda lain yang kelihatannya membawa pendekatan berbeza. Berbaloikah itu bagi pemimpin masa depan parti dan negara, untuk tersepit dalam kancah keliru dan silap faham yang merugikan itu.
Jika tidak sekarang, bila lagi?

Saya mencadangkan agar beliau menjadi tokoh pengharmoni antara dua kumpulan dalam Dewan Pemuda, selepas pemilihan nanti.  Bertindak seperti yang sering dilakukan oleh ayahanda beliau. Maka jauhkan diri daripada persaingan yang jika niatnya sesuci embun pagi, persepsinya sangat menakutkan. Cukuplah sekadar menjadi AJK dan fokuskan kepada kerja tarbiah tanpa terjerumus ke dalam kancah titik bengik nakal tersebut.

Buat masa sekarang, tumpuan utama beliau, saranan saya, adalah kepada persiapan menjadi pengganti kepada ayahanda di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Dekati anak muda Marang. Fahami mereka. Bergaul dengan mereka. Belajar daripada orang lama di sana. Minta nasihat sebanyaknya. Asah kemahiran bersosial dan sebagainya. Kewajipan mempertahankan kawasan sendiri lebih besar bagi beliau. Bukankah ayahandanya sudah lama mahu menyerahkan kerusi, tetapi tiada siapa bersedia termasuk anakandanya sendiri.

Bismillah. Jauhi kontroversi. Dekati nadi warga Marang. – 7 November, 2013. (TMI)

Penulis: Tun Muda Mansur

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails