Tuesday, November 05, 2013

Ops Cantas: Ada Cabul, Di Komuter Koc Wanita?

Gambar hiasan

Ops Cantas Khas Wanita diperluas ke stesen komuter
KUALA LUMPUR - Pasukan Ops Cantas Khas Wanita, yang dilancar sejak 7 Oktober lepas, kini memperluas kawasan rondaan dan pemantauan ke stesen KTM Komuter sekitar Lembah Klang mulai hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Abd Jalil Hasan berkata, rondaan yang diperluas itu memfokus kepada koc wanita bagi mengurangkan kebimbangan kaum hawa terhadap aktiviti jenayah di kawasan pengangkutan awam berkenaan.

Abd Jalil berkata, pasukan itu yang beroperasi pada waktu puncak iaitu 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 7 malam, akan melakukan pemeriksaan di stesen komuter sekitar Lembah Klang secara mengejut dengan dibantu pasukan polis bantuan.

"Tujuan kita ialah untuk membanteras jenayah di stesen komuter terutama ragut dan cabul, oleh itu, pasukan cantas khas wanita akan fokus kepada koc wanita dan kaum lelaki tidak dibenarkan sama sekali menaiki koc tersebut," katanya.
   

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai pasukan Ops Cantas menaiki koc wanita dari stesen KL Sentral ke Kepong Sentral bagi mendapatkan reaksi kaum hawa berhubung peluasan kawasan rondaan pasukan Ops Cantas Khas Wanita.

Sementara itu, Ketua Pasukan Ops Cantas Khas Wanita Bukit Aman Supt Suriani Sumgit berkata selepas kawasan rondaan baharu dilancar hari ini, pihaknya menahan lima lelaki warga asing yang berada dalam koc wanita di KL Sentral.

Beliau berkata, empat warga Indonesia dan seorang warga Myanmar itu ditahan pada kira-kira 1 tengah hari kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Suriani berkata pasukannya, yang terdiri daripada 15 anggota, kini bercadang memperluas kawasan rondaan mereka di parkir wanita di pusat membeli-belah sekitar Lembah Klang dalam waktu terdekat.

Ops Cantas Khas Wanita sebelum ini memberi tumpuan operasi di kawasan sekolah dan suri rumah di kawasan perumahan. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails