Nik Aziz: Kelantan dan ketelusan
SALAH satu perkara yang amat saya tekankan semasa mentadbir Kelantan ialah ketelusan di dalam pemberian tender. Seringkali saya berpesan kepada anggota exco, mentadbir negeri ini ialah amanah daripada ALLAH SWT. Jangan
 perlakukan negeri seperti hak kita anak beranak. Jika pun kita terlepas
 dari proses audit di dunia, kita tidak mungkin terlepas dari proses 
audit di akhirat. 
Di
 Kelantan, saya tidak pernah meletakkan kriteria seseorang itu perlu 
menjadi ahli Pas terlebih dahulu sebelum mendapat apa-apa tender. Sepanjang
 pentadbiran saya di Kelantan, seingat saya Jambatan Lepan Pari yang 
berada di dalam Dun saya iaitu Chempaka pernah dianugerahkan projek 
pembinaannya kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh ahli Umno.
Pesaingnya
 yang paling dekat ialah ialah sebuat syarikat milik ahli Pas tetapi 
atas prinsip ketelusan, syarikat milik ahli Umno mendapat projek 
tersebut. Pada masa itu, saya dihujani dengan pertanyaan oleh pelbagai pihak, ada
 yang datang merayu dan mempersoalkan keputusan yang dibuat.
Jawapan saya ada masa itu ialah, kita berpegang kepada ketelusan. Di Kelantan, ahli-ahli Umno boleh 'mencari makan'. Tiada batasan dan tiada sekatan sekalipun diketahui umum sebagai seorang ahli Umno. Pernah
 projek membina loji air dianugerahkan kepada syarikat yang turut 
dimiliki oleh seorang pemimpin Umno yang dikhabarkan pernah menerima 
watikah perlantikan sebagai calon untuk bertanding di dalam pilihan raya
 umum yang lepas.
Mengapa beliau akhirnya tidak bertanding dan tidak menggunakan watikah 
tersebut wallahualam, tetapi yang sahihnya projek yang diberikan tidak 
ditarik balik. Alhamdulillah,
 projek-projek di bawah kendalian kerajaan Kelantan terus berjalan 
dengan baik dan sempurna. Berbeza dengan Jambatan Kedua Sultan Yahya 
Petra yang disahkan Laporan Ketua Audit Negara 2011 lambat disiapkan 
ekoran banyak kelemahan. 
Antara kelemahan itu termasuklah pelantikan kontraktor yang tidak berpengalaman serta masalah reka bentuk sistem cerucuk. Kosnya
 pun meningkat kepada RM177.76 juta iaitu peningkatan sejumlah RM34.76 
juta (24.3%) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta. Paling menarik, projek jambatan dengan kos sebesar itu diberikan secara runding terus dan tidak melalui tender!
Itulah gambaran kerosakan Umno sebenarnya. Melalui ketirisan projek seperti inilah, mereka boleh mencari makan. Saya kira, tanpa peluang-peluang seperti ini, pelampung Umno akan bocor
 dan akan lemas di laut politik. Justeru, Umno sebenarnya langsung tidak
 layak bercakap soal telus dan jimat-cermat.
Sekian.
 
 Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
 Al-Mursyidul Am,
 Parti Islam Semalaysia (Pas)
 
 Bertarikh : 4 Zulkaedah 1434H bersamaan 10 September 2013M

 
 

1 comment:
Jgn roboh macam stadium sudah la
Post a Comment