Friday, September 06, 2013

Jangan Serang Syria, AS Tetap Angkuh -PAS & NGO




KUALA LUMPUR: PAS mengecam tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya yang telah membuat keputusan untuk menyerang Syria dengan menyifatkan campurtangan ketenteraan bukan penyelesaian kepada krisis dan kesengsaraan yang berlaku di negara itu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang turut sama dalam himpunan aman 'Jangan Serang Syria' di hadapan kedutaan Amerika menjelaskan, kuasa barat tersebut tidak boleh menggunakan alasan serangan senjata kimia bagi menghalalkan campurtangan mereka.

Katanya, campurtangan ketenteraan yang dilakukan oleh Amerika dan sekutunya di negara-negara seperti Afganistan, Iraq dan Libya, hanya membawa lebih banyak bencana pertumpahan darah serta meninggalkan perderitaan kepada jutaan rakyat.

"Kita mengecam keputusan Amerika dan sekutunya yang akan menyerang Syria dengan alasan pemerintahan negara itu menggunakan senjata kimia.
"Itu bukan satu alasan yang munasah, sebelum ini kita tengok campurtangan Amerika dan sekutunya dibeberapa buah negara, apa yang berlaku bukannya dapat menyelesaikan masalah tetapi rakyat negara itu terus menanggung penderitaan," jelas beliau.

Mohamad yang sebelum itu bersama empat orang wakil telah memasuki pejabat kedutaan bagi menyerahkan memorandum berhubung dengan bantahan keputusan Amerika. Beliau turut mengulas berhubung sikap angkuh Amerika ketika menerima memorandum tersebut dengan menyifatkan mereka merasakan merupakan kuasa besar dunia.

"Sebentar tadi kita telah menyerah satu memorandum kepada pihak kedutaan tetapi apa yang kita perolehi adalah layan sombong dan angkuh mereka ketika menerima memorandum tersebut.
"Mereka merasakan Amerika merupakan kuasa besar dunia yang boleh bertindak sebagai kuasa pengaman dunia jika berlaku sesuatu pada negara-negara lain," jelasnya.

Tambah beliau lagi, Amerika dan sekutunya cuba memintas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas Syria dan mengulangi apa yang dilakukan oleh mereka ke atas Iraq sebelum ini.

Tegas beliau, campurtangan kuasa-kuasa barat di Syria tidak akan menyelesaikan krisis kemanusian tetapi akan membawa lebih banyak kematian serta malapetaka untuk tempoh jangka masa yang panjang. Lebih kurang seratus orang hadir pada himpunan aman tersebut yang terdiri dari Parti Sosialis Malaysia dan juga Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO). Himpunan yang bermula selepas solat Jumaat itu berakhir pada jam 3 petang.
  
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Akan jadikah Syria seperti Afghanistan dan Irak?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails