Wednesday, September 04, 2013

Ini, Monyet Gempur Kampung Di Thailand, Mengapa?


DUA ekor monyet berlari untuk memasuki rumah di Kampung Khlong Charoen Wai di wilayah Chachoengsao pada 15 Julai lalu.

DI Kampung Khlong Charoen Wai di Thailand, rumah-rumah diceroboh, barang-barang makanan dan ubat-ubatan dicuri oleh sekumpulan monyet. Kira-kira 150 buah rumah di kawasan penternakan udang di wilayah Chachoengsao, 80 kilometer dari Bangkok diceroboh sekumpulan monyet berekor panjang sejak sedekad lalu.

Haiwan-haiwan yang dikenali sebagai monyet laut itu menceroboh selepas semakin banyak kolam penternakan udang terdapat di kampung tersebut. Monyet-monyet itu sukar untuk mencari makanan kerana sejumlah pokok ditebang dan hutan telah dibersihkan untuk tujuan pembinaan kolam penternakan udang.

"Sebelum ini, monyet-monyet tersebut mudah mencari makanan tetapi kawasan hutan yang semakin berkurangan menyebabkan haiwan-haiwan itu mencari makanan di dalam rumah," kata ketua kampung, Chatree Kaencharoen.

 BEBERAPA ekor monyet duduk di atas jambatan buluh di kampung itu.

Dia juga menyatakan kekecewaannya terhadap beberapa orang penduduk kampung yang memberi makan kepada monyet tersebut. Sebahagian penduduk terpaksa memasang jaring di sekeliling rumah mereka dan menutup tingkap walaupun cuaca panas.

"Monyet-monyet itu pernah menjatuhkan sebuah televisyen. Haiwan tersebut juga mencuri periuk nasi sebelum membukanya untuk memakan nasi yang terdapat di dalamnya," kata Chatree.

Menurut seorang penduduk, Chaluay Khamkajit, haiwan-haiwan itu memasuki rumahnya semasa dia sedang tidur.

"Monyet-monyet itu mengambil minyak masak, gula dan ubat-ubatan yang saya sembunyikan di dalam kabinet.
"Kadangkala, beberapa ratus ekor monyet datang serentak terutamanya pada waktu subuh dan senja apabila cuaca semakin sejuk," katanya.

Chaluay berkata, haiwan itu mengambil makanan daripada rumahnya.
"Saya boleh membeli makanan lain. Namun, ubat-ubatan amat penting buat saya," katanya.

SEEKOR monyet memanjat sebatang pokok di kampung tersebut. 

Wanita berusia 72 tahun itu menyatakan, dia dan suaminya telah menggunakan pelbagai peralatan buatan sendiri untuk mengusir haiwan tersebut. Pengarah Pertubuhan Dana Pemuliharaan Alam Semula Jadi (WWF) di Thailand, Petch Manopawitr menyatakan, penduduk telah menceroboh habitat monyet itu. Menurutnya, pencerobohan itu menyebabkan haiwan tersebut berkeliaran sekali gus meningkatkan tindak balas antara manusia dengan monyet.

"Monyet spesies Macaques boleh mengubah perilaku selain mampu mempelajari sesuatu perkara sama seperti manusia.
"Monyet-monyet itu akan datang ke tempat yang sememangnya diketahui haiwan itu boleh memperoleh makanan," katanya.

Pihak berkuasa cuba untuk mengatasi masalah monyet tersebut dengan melakukan misi pemandulan haiwan tersebut. Namun, misi itu masih gagal untuk mengatasi masalah pencerobohan haiwan itu kerana tindakan itu gagal untuk menghalang perbuatan monyet itu. - AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails