Wednesday, June 26, 2013

Kuliah Politik Presiden PAS: Era Khulafa' Ar-Rasyidin Siri 2

Oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 

Abu Bakar Menjadi Khalifah

KETIKA keluarga dan beberapa sahabat Rasulullah SAW sedang mengebumikan jenazah beliau, berlaku peristiwa Thaqifah Bani Saidah iaitu mesyuarat memilih pengganti pemimpin negara dan umat selepas Rasulullah SAW. Perhimpunan segera dibuat kerana menurut para ulama urusan siyasah, memimpin negara lebih penting daripada urusan mengebumikan jenazah Rasulullah SAW yang juga besar kewajibannya.

Sebelum Rasulullah SAW meninggal dunia, golongan Ahlil Bait melalui Abbas, bapa saudara kesayangan Rasulullah SAW pernah keluar melawat Rasulullah SAW. Beliau membisikkan kepada Ali supaya meminta Rasulullah SAW mewasiatkan penggantinya dalam kalangan keluarga ataupun kepada orang lain. Jika ada, tentu beliau mewasiatkan sesuatu kepadanya.

Ali menjawab, 
  • “Demi Allah, aku tidak akan melakukannya. Demi Allah, jika kalangan kita tidak diberi, kita dilarang daripada memegang jawatan itu selama-lamanya.”
Sikap ini bermaksud beliau (Saidina Ali) tidak mahu meminta jawatan dan tidak menyoal yang mana lebih baik dan mulia. Beliau khuatir nanti diharamkan kepada zuriat Rasulullah SAW selama-lamanya.

Para keluarga Baginda sibuk dengan urusan mengendalikan jenazah Rasulullah SAW. Kemudian, Ali bersama Bani Hasyim, Zubair bin Awwam dan Tolhah bin Ubaidillah berada di rumah Fatimah al-Zahra, tempat Rasulullah meninggal dunia.

Perhimpunan di Thaqifah Bani Saidah menjadi tegang apabila kaum Ansar berpendapat mereka lebih layak dipilih menjadi khalifah kerana jihad mereka bersama Rasulullah SAW dengan penuh pengorbanan. Allah memuji mereka di dalam al-Quran dan disokong oleh hadis-hadis Rasulullah SAW. Mereka mencalonkan pemimpin mereka iaitu Saad bin Ubadah.

Kaum Muhajirin berpendapat, mereka juga lebih layak menjadi khalifah. Mereka kaum pertama yang memeluk Islam, berdakwah sejak permulaan wahyu diturunkan, menghadapi ujian dahsyat ketika di Makkah, seterusnya mengalami ujian berhijrah dan berjihad bersama-sama Rasulullah SAW. Selain itu, wahyu dan hadis-hadis Rasulullah SAW turut menyanjung mereka dengan pujian yang tinggi.

Keadaan yang tegang dapat dikendurkan. Sikap fanatik perkauman dapat dipadamkan. Pemimpin utama kaum Muhajirin dan Ansar menemui Abu Bakar. Mereka terus ke Thaqifah Bani Saidah, tempat berlakunya perdebatan yang hangat kerana terdapat perangai jahiliyah melalaikan sebahagian pihak daripada mengamalkan akhlak dan adab musyawarah dalam Islam. Di sini Abu Bakar as-Siddiq menunjukkan ketokohannya menjadi pemimpin. Beliau menyampaikan khutbahnya yang menenangkan keadaan.

Selepas beliau memuji Allah dengan selayaknya, Saidina Abu Bakar berkata:
  • “Sesungguhnya Allah melantik dalam kalangan kita seorang Rasul (menjadi petunjuk) kepada makhluk-Nya, menjadi saksi kepada umatnya supaya beribadat kepada-Nya sahaja, dan mengesakan-Nya. Melihat keadaan mereka menyembah kepada yang lain daripada-Nya, dengan menghadap tuhan-tuhan yang banyak yang diperbuat daripada batu dan kayu.” 
  • “Menjadi suatu perkara yang besar dan sukar kepada bangsa Arab bagi meninggalkan agama nenek moyang mereka. Maka Allah memilih secara khusus kalangan para Muhajirin yang terawal, mereka terdiri daripada kaumnya yang pertama mempercayai ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad, mempertahankannya, serta bersabar menghadapi kejahatan kaum yang membohonginya. Ketika semua orang menentang dan berpaling tidak mahu mengikutnya, memperlecehkan para pengikutnya kerana jumlah pengikut sedikit dan orang yang membencinya ramai. Maka kalangan mereka (Muhajirin) menjadi orang yang ulung menyembah Allah sahaja di bumi ini (ketika itu) dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.”
  • “Mereka yang menjadi penolong baginda dan kaum keluarganya, serta orang-orang yang paling berhak mengendalikan urusan umat selepasnya, tidak ada yang menentang Baginda melainkan orang yang zalim. Kamu (wahai kalangan Muhajirin) adalah pembantu dan keluarga Rasulullah SAW dan orang yang layak menjadi pemimpin selepasnya. Tidak ada yang menentangnya melainkan orang yang zalim.”
  • “Kamu pula wahai golongan Ansar, adalah kalangan yang tidak boleh dinafikan kelebihan daripada segi agama dan yang terawal juga memeluk Islam. Allah mengisytiharkan redha-Nya kepada kamu, menjadi penolong yang ulung pada perjuangan menegakkan agama dan menolong Rasulullah. Ramai kalangan isterinya daripada kamu, dan ramai kalangan Sahabatnya daripada kamu, tidak ada yang lebih daripada kamu selepas golongan Muhajirin. Maka sewajarnya pemimpin utama daripada kalangan kami (para Muhajirin) dan para jemaah menteri daripada kalangan kamu pula wahai golongan Ansar. Perkara ini tidak meliputi keputusan mesyuarat dan tidak ada sesiapa yang dapat mengatasi kamu.”
 Ucapan Abu Bakar telah berhasil menenangkan keadaan dan menghilangkan pertelingkahan. Seterusnya Abu Bakar mencalonkan Umar dan Abu Ubaidah menjadi khalifah. Namun, secara tiba-tiba Umar dan Abu Ubaidah bangun mencalonkan Abu Bakar menjadi khalifah, diikuti oleh pemimpin Sahabat kalangan kaum Ansar dan Muhajirin yang lain. Maka dengan rasminya Abu Bakar diisytiharkan menjadi khalifah pertama selepas Rasulullah SAW meninggal dunia.

Pemilihan khalifah berlaku secara mesyuarat yang tidak memaksa dan tidak berlaku dengan mudah melainkan melalui pendapat yang dibahas dengan sehangat-hangatnya, namun dilaksanakan dengan seadab-adabnya. Dengan sifat fanatik kabilah dan kekeluargaan yang tebal menjadi perangai bangsa Arab yang masih wujud. Sifat ini menjadi warisan zaman jahaliyah yang diberi amaran keras dalam wasiat Rasulullah SAW sebelum meninggal dunia.

Namun, iman yang teguh dan ikhlas, Islam yang sebenar tertanam dalam jiwa hasil didikan Nabi kepada generasi awal ini dapat menjadi contoh yang baik mengatasi demokrasi purba dan moden yang dibanggakan oleh dunia Barat.

Keputusan dibuat tidak sebulat suara, ada kalangan Ahli Bait membai’ahkan Abu Bakar selepas beberapa bulan. Kalangan kaum Ansar ada yang tidak mahu berbai’ah kerana mahukan khalifah dilantik kalangan mereka, termasuk juga kaum Quraish sendiri yang pada awalnya tidak berbai’ah, mereka adalah Zubair, Talhah dan Abu Sufian. Namun, krisis dalaman yang berlaku tidak menyebabkan berlakunya pertumpahan darah.

Selepas itu sebulat suara mereka mendukung negara Islam dan risalahnya, menyambung tugas Islam yang tidak habis selepas Rasulullah SAW meninggal dunia.

Kesimpulan ada tiga pendapat dengan hujah masing-masing :


  • Golongan Ahlil Bait yang menegaskan ketua negara perlu daripada keluarga Rasulullah SAW. Mereka mencalonkan Ali kerana beberapa ayat al-Quran dan hadis menyebut kelebihan dan tugas yang diserahkan kepadanya semasa hayat Rasulullah SAW.
  • Golongan Ansar menegaskan ketua negara perlu daripada kalangan mereka. Hal ini kerana al-Quran dan Hadis menyebut kelebihan golongan Ansar. Ketaatan kepada pemimpin tanpa menentukan bangsa dan kabilah. Mereka juga penduduk asal Madinah yang menyerahkan tanah air, jiwa raga dan harta, berjihad menegakkan Islam, mereka mencalonkan pemimpin Ansar, Saad bin Ubadah.
  • Kalangan Muhajirin berpendapat, pemimpin mesti daripada kalangan mereka. Al-Quran dan Hadis menegaskan kelebihan mereka dan pemimipin mesti daripada kalangan Quraish. Mereka mencalonkan Abu Bakar.
Ibnu Khaldun menegaskan keputusan mereka memilih Abu Bakar daripada kalangan Muhajirin dan Quraish dilihat daripada segi ilmu politik. Ketokohan Abu Bakar difikirkan layak, kerana kematangannya melebihi dan ilmunya melangkaui orang lain. Daripada kalangan Quraish, beliau adalah daripada kabilah yang terkuat pengaruhnya dalam masyarakat Arab, sehingga mempunyai kehebatan menghadapi cabaran dalaman dan luaran ketika itu.

Masih terlalu awal menyerahkan jawatan yang besar ini selain Abu Bakar. Kedudukannya menemani Rasulullah SAW ketika berhijrah. Rasulullah SAW pernah menugaskanya menjadi imam di waktu solat dan tugas-tugas yang lain memberi kelebihan kepadanya menjadi orang yang paling layak bergelar khalifah yang pertama.

Allah menyatakan:
  • “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya; Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terjunam (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah at-Taubah : ayat 40)
Dalam kalangan Ansar, mereka sendiri menghadapi masalah, akibat pertelingkahan yang mencetuskan peperangan ketika zaman jahiliyah antara dua kabilah besar Aus dan Khazraj. Adalah sukar mencalonkan orang yang diterima oleh semua pihak. Islam yang berjaya memadamkan api permusuhan dengan tidak mencetuskan pertelingkahan calon khalifah kalangan Ansar sendiri.

Apabila dikhususkan kepada Ahlil Bait, Islam membawa sistem mewariskan pemerintahan yang beku dalam satu keluarga. Pada masa yang sama, ia bercanggah dengan konsep musyawarah yang ditegaskan di dalam al-Quran, bersalahan dengan sikap Rasulullah SAW dan sikap orang yang beriman.
  • “Termasuk orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna, dan urusan mereka dijalankan secara mesyuarat sesama mereka. Mereka pula mendermakan sebahagian yang kami beri kepadanya.” (Surah as-Syura : ayat 38)
Membina keluarga Rasulullah SAW tidak mengahwinkan puterinya dengan kalangan keluarga sahaja, dua orang puterinya dikahwinkan dengan Uthman bin Affan, sementara Zainab binti Jahsy dari kalangan keluarganya dikahwinkan dengan Zaid bin Harithah, bekas hamba yang dimerdekakan dan dijadikan anak angkatnya. Adapun dalil yang dibawa oleh kalangan Syiah tidak menepati nas al- Quran dan riwayat yang sah serta tidak menepati kaedah siasah syariah yang betul.

Kekhilafan ini melahirkan mazhab kefahaman politik Islam pada zaman mutakhir. Pendapat Ahlil Bait melahirkan mazhab Syiah. Selepas itu, muncul pula golongan yang menyatakan bukan sahaja keturunan Ali dan Fatimah yang layak menjadi khalifah, bahkan mereka turut memperjuangkan keturunan al Abbas, bapa saudara Rasulullah juga berhak memegang kuasa khalifah. Golongan ini berjuang menegakkan kerajaan Abasiyah. Pendapat Ansar melahirkan mazhab Khawarij dan pendapat Muhajirin menjadi pegangan ahli Sunnah.

Berlaku pula pertelingkahan mazhab yang melibatkan akidah dan syariat yang mencetuskan perpecahan dalam masyarakat Islam, sehingga diresapi oleh anasir musuh dalam selimut yang merosakkan dalaman umat Islam sendiri. Ada yang wasatiyyah, ada yang jahil dan ada pula yang melampau dan menzalimi diri sendiri sehingga terkeluar daripada landasan Islam yang sebenar. Islam tetap dipelihara oleh Allah secara ilmu melalui laporan yang rapi dan dirayat; Iaitu secara kefahaman melalui ilmu Islam dan kaedahnya.

Akhirnya suara Para Sahabat bersetuju Abu Bakar dilantik menjadi khalifah, mereka yang tidak bersetuju kalangan Ahlil Bait dan Ansar akhirnya berbai’ah. Mengenai riwayat yang menyatakan bahawa Saad bin Ubadah, ketua kaum Ansar yang terus tidak membai’ah Abu Bakar sebagai khalifah terlalu dhaif.

Sebenarnya seluruh Ahlil Bait dan golongan Ansar tetap menerima Abu Bakar menjadi khalifah dan berbai’ah serta mendukungnya dengan pengorbanan yang membuktikan keikhlasan mereka. Hendaklah yakin betapa mereka tidak didorong oleh nafsu merebut jawatan ketua kerana keimanan yang ikhlas dalam diri masing-masing memadamkan sifat yang buruk, mereka hanyalah berlumba-lumba bagi menunaikan perintah Allah yang besar ganjarannya.

Sekian.

(IH/http://www.tarbawi.my/hrkh)

Lihat sebelum ini, siri Ramadhan.. 

E-Buku IH-58: 'Universiti Ramadzan' Al-Mubarak.
E-Buku IH-58: 'Universiti Ramadzan' Al-Mubarak. 
E-Buku IH-73: Kembali 'Univ Ramadzan' 2013.
E-Buku IH-73: Kembali 'Univ Ramadzan' 2013.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails