Friday, May 10, 2013

K'tan tubuh Institut Pemikiran Tok Guru

 
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan mewujudkan Institut Pemikiran Tok Guru sebagai usaha kerajaan negeri terus memperkasakan institusi ulamak di negeri itu. Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, penubuhan itu juga sebagai satu pengiktirafan kepada jasa Bekas Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita juga mahu meraikan serta meletakkan jasa Tok Guru selama ini memimpin Kerajaan Kelantan sejak 1990 sehingga 6 Mei 2013.
“Objektif penubuhan institut ini ialah bagi mempastikan legasi Kepimpinan Ulama diabadikan dalam institusi selain menjadi rujukan dan pengembangan Dasar Membangun Bersama Islam dan UMI (konsep Ubudiyyah, Mas’uuliyyah dan Itqaan)," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10, Kg Sireh dekat sini pagi tadi. Turut hadir Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Mengulas lanjut, Ahmad berkata institut itu juga akan menjadi pusat penyelidikan (R&D) bagi pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Beliau juga berkata, biarpun Tok Guru Nik Aziz tidak lagi menjadi menteri besar, namun Tok Guru akan sentiasa dirujuk oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan nasihat dan pandangannya.

"Bahkan ianya diwujudkan supaya ikon Tok Guru  tidak hilang walau pun tidak menjadi Menteri Besar, namun Tuk Guru tetap ‘bergerak’, berkuliah, berceramah di samping kegiatan dakwah yang lain," katanya lagi.

Pejabat operasi Institut Pemikiran Tuk Guru itu dicadang diletakkan di Kompleks Pejabat SUK sebagai pejabat khas. Ianya akan dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa yang akan dibentuk.

“Perkara ini akan diangkat kepada pihak Kerajaan Negeri untuk urusan selanjutnya termasuk perbincangan aspek teknikalnya sebelum mendapat kelulusan pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” ujarnya. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails