Wednesday, April 24, 2013

Royalti: Rumah M/Milik RM100 J & 9 Tawaran Di Kelantan





PASIR PUTEH: Rakyat Kelantan bakal dilimpahi kemakmuran hasil royalti petroleum dengan 23 cadangan dicetus PAS Kelantan apabila mendapat bayaran daripada Petronas nanti.

Antaranya hadiah kelahiran RM100, bantuan penjagaan anak berumur bawah 12 tahun sebanyak RM100 setahun setiap keluarga, bantuan tahunan pelajar sekolah rendah sebanyak RM100 setiap pelajar setahun.

Bantuan pelajar sekolah menengah RM150 setahun, bantuan tahunan OKU sebanyak RM500, bantuan tahunan armalah RM1,000, bantuan perkahwinan Az Ziwaaj bagi pengantin keluarga miskin sebanyak RM1,500, bantuan pelajar memasuki pusat pengajian tinggi atau institusi kemahiran sebanyak RM1,000.

Bantuan one off warga emas 60 tahun ke atas sebanyak RM1,000 seorang, sumbangan ibadat haji kali pertama RM1,000, subsidi bayaran elektrik pemegang kad OKU RM30 sebulan, skim bantuan usahawanis RM20 juta setahun, skim mikro kredit anak muda RM20 juta setahun, skim mikro kredit wanita muda RM10 juta setahun.

Geran khas NGO wanita RM5 juta setahun, geran khas NGO anak muda RM5 juta setahun, air percuma untuk masjid, sekolah dan rumah-rumah ibadat, air percuma penggunaan domestik kurang 20 m3 setiap bulan, menghapus cukai pintu.

Diskaun 50 peratus bayaran parkir di bawah pihak berkuasa tempatan, tabung penyakit kronik RM20 juta setahun dan tabung khas program rumah mampu milik RM100 juta setahun.

Tawaran tersebut merupakan pelan pembiayaan hasil royalti dan gas yang menjadi hak rakyat ditawarkan PAS Kelantan. Perkara terbabit terkandung dalam sembilan perkara yang ditawarkan PAS kepada rakyat Kelantan sempena pilihan raya umum ke-13.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, PAS bertekad menuntut hak rakyat sebagaimana termaktub dalam perlembagaan daripada kerajaan pusat.

Malah ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien di parlimen pada 12 November 1975 antara lain menyebut, “Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual Petronas atau agensi-agensi atau kontraktornya.”

Tawaran itu diumumkan di hadapan lebih 10,000 rakyat Kelantan pada ceramah di padang Majlis Daerah Pasir Puteh malam tadi. Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat, setiausaha PAS Pasir Puteh, Drs Zainuddin Awang Hamat.

Turut hadir calon-calon yang bertanding iaitu Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (parlimen), Wan Hassan Wan Ibrahim (Semerak), Tuan Mazlan Tuan Mat (Gaal), Drs Saipul Bahrin Mohamad (Selising) dan Mohd Nazlan Hasbullah (Limbongan).

Sembilan tawaran bertema keberkatan, kemakmuran dan kebajikan. Ia juga merupakan komitmen berterusan PAS dan Pakatan Rakyat bagi memakmurkan kehidupan rakyat dengan intipati keadilan untuk semua.


Sembilan tawaran tersebut iaitu:-

1) Memperkasakan pembangunan rohani demi keberkatan dan keredhaan Allah SWT 
2) Memperjuangkan hak rakyat negeri ini atas prinsip federalisme (perlembagaan) 
3) Melaksanakan keadilan untuk semua rakyat 
4) Meningkatkan kemakmuran ekonomi rakyat secara adil dan saksama 
5) Memajukan sosio budaya rakyat berteraskan iman, ilmu dan amal 
6) Pembangunan tanah dan wilayah serta merakyatkan hasil negeri 
7) Meningkatkan mutu taraf hidup ke arah masyarakat madani 
 8) Memakmurkan kehidupan social yang harmoni dan berkebajikan 
9) Pembangunan wanita dan anak muda Kelantan. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails