Monday, October 22, 2012

Kita, Kini Di Zon 'Musim Kebajikan'...

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM 


MUSLIM, sepatutnya menyambut kedatangan 10 hari pertama bulan Dzulhijjah. Kerana Allah SWT telah menjadikan hari-hari pertama bulan Dzulhijjah sebagai 'musim kebajikan' baik bagi jamaah haji mahupun bagi yang sedang tidak melaksanakan rukun Islam kelima tersebut. Kini kita berada di zon kebajikan tersebut. 

Bagi sebuah kerajaan samada negara atau negeri, yang mengaku kerajaan Islam suasana kebajikan begini perlu dibangkitkan. Kalau di Malaysia, boleh lihat contoh Kerajaan Negeri Kelantan, walaupun masih dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan (Malaysia) yang bukan berperlembagaan Islam. 

Bahkan Allah SWT bersumpah, demi 10 hari itu (QS. Al Fajar: 1-2), dan tiadalah sumpah dikemukakan oleh Tuhan kecuali di dalamnya terkandung keagungan dan keutamaan tempat, waktu dan keadaan.  Bagi jamaah haji, manfaat momentum 10 hari bulan Dzulhijjah akan meningkatkan kualiti dan konsentrasi ibadah haji serta syiar Islam secara keseluruhan. 

Sedangkan bagi yang tidak melaksanakan haji, bersungguh-sungguh beribadah pada hari-hari tersebut kualitinya menyamai jihad fi sabilillah, kerana keutamaan awal sepuluh hari Dzulhijjah semisal keutamaan sepuluh malam terakhir Ramadhan. 

Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut bahwa keistimewaan sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah disebabkan oleh berkumpulnya ibadah-ibadah utama yang terdiri dari: shalat, sedekah, puasa dan haji. 

Sedangkan Ibnu Katsir menukil riwayat dari Ibnu Abbas RA menyatakan bahawa Allah SWT mewahyukan Taurat kepada Musa AS yang didahului dengan berpuasa selama 40 hari; 30 hari berada pada bulan Dzulqa’dah dan 10 hari lainnya awal Dzulhijjah. Puasa itu menjadi penyempurna turunnya Taurat kepada Musa, dan pada bulan yang sama Allah SWT menurunkan wahyu terakhir Alquran kepada Rasulullah SAW.

Di bulan Dzulhijjah, Allah SWT menggabungkan keharaman waktu (Dzulhijjah sebagai salah satu bulan haram), keharaman tempat (Makkah dan Madinah sebagai tanah Haram), dan keharaman momentum (berhaji di Baitul Haram yang menjadi profil seorang Muslim). Maka, berbagai keistimewaan tersebut menjadikan bulan Dzulhijjah sebagai bulan istimewa..
  • Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, "Tidak ada suatu hari yang perbuatan baik di dalamnya lebih dicintai oleh Allah SWT daripada amalan sepuluh hari." Sahabat bertanya, "Tidak pula jihad fi sabilillah (lebih baik darinya)?" Rasulullah SAW menjawab, "Tidak pula Jihad di jalan Allah (lebih baik darinya), kecuali seorang lelaki yang keluar rumah dengan mambawa jiwa dan hartanya serta pada saat pulang tidak membawa apa-apa." (HR. Bukhari).
Kerana keistimewaan itu, beberapa perbuatan baik yang istimewa dilakukan di antaranya:

1. Menjalankan ibadah haji bagi mereka yang mampu melaksanakannya. Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa melakukan ibadah haji di rumah ini dan tidak berkata kotor mahupun tidak berguna, maka dosanya akan dihapuskan sebagaimana bayi yang baru keluar dari rahim ibunya." (HR. Bukhari-Muslim).

2. "Puasa sunah tarwiyah dan arafah. Adalah Rasulullah SAW yang berpuasa pada tanggal 9 Dzulhijjah, Hari Asyura dan tiga hari dalam setiap bulan." (HR. Abu Daud).
 
3. Memperbanyak takbir, tahmid dan tahlil. Dari Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Tidak ada hari yang perbuatan baik di dalamnya lebih agung di sisi Allah dan dicintai-Nya dibanding sepuluh hari. Maka perbanyaklah tasbih, tahmid, tahlil dan takbir di dalamnya." (HR. Tabrani).

4. Melaksanakan penyembelihan kurban (jika mampu). Dari Ummu Salmah RA bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Apabila kamu menyaksikan bulan Dzulhijjah dan berkeinginan untuk berkorban, maka janganlah mengambil sekecil apa pun bahagian dari rambut mahupun kukunya sampai ia disembelih." (HR. Muslim).

5. Memperbanyak ibadah sunah semisal berpuasa, shalat, sedekah, membaca Alquran dan semacamnya. (QS. Ali Imran: 133).

Demikianlah keistimewaan 10 hari pertama bulan Dzulhijjah dengan harapan kaum Muslimin dapat memanfaatkan momentum istimewa dengan amal ibadah yang bernilai istimewa. Wallahu a'lam.


Catatan Santai Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com   
22Okt  2012
KL

Sila lihat...
E-Buku IH-59: C/Santai (Minda) IH Mulai Jun 2012
E-Buku IH-59: C/Santai (Minda) IH Mulai Jun 2012
 

Selamat Menyambut Raya Haji.. baca ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails