Friday, October 26, 2012

Aidil Adha: 3 Watak Comitmen Perintah Allah..


Assalamualaikum wbt..
Saudara-saudari muslimin muslimat yang dihormati sekalian..

Sempena dengan hari raya korban @ Aidil Adha ini, saya ingin mengingatkan kepada diri saya dan kepada saudara-saudari sekalian, bagaimana contoh perjuangan untuk menegakkan hukum Allah, dari kalangan mereka yang terdahulu daripada kita terutamanya para nabi dan para rasul a.s.

Dalam peristiwa Aidiladha ini, ada 3 watak yang selalu disebut-sebut, yang telah menunjukkan betapa komitmennya mereka terhadap perintah Allah SWT, iaitu..
  • Nabi Allah Ibrahim a.s, 
  • anaknya Ismail dan 
  • isterinya Siti Hajar.
Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s supaya meninggalkan anak dan isterinya yang tercinta berduaan di Mekah, tempat yang kering kontang dan panas terik.

Nabi Ibrahim lantas meninggalkan isteri dan anaknya tanpa mengendahkan panggilan isterinya. Sehinggalah isterinya bertanyakan kepadanya: "Adakah ini adalah perintah dari Allah?". Lantas Nabi Ibrahim berpaling dan menjawab: "Ya". Siti Hajar menjawab dengan tenang: "Pergilah dengan urusan Tuhanmu itu".

Ini adalah satu pengorbanan demi agama Allah SWT. Maka dengan sebab itu, kita yang datang selepas dari para anbiya itu, hendaklah mencontohi mereka dari sudut prinsip dasar dan perjuangan.

Dalam memperjuangkan Islam ini, kita perlu sabar dan tidak perlu gopoh untuk mendapat kejayaan yang terburu-terburu, tetapi kita hendaklah berwaspada dalam pergerakan kita ini. Ianya adalah supaya kita tidak melencong dan terseleweng daripada landasan yang telah digariskan oleh Allah SWT.

Kita tidak boleh mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh para anbiya itu adalah perkara-perkara lapuk yang tidak dapat kita menggunakan pada masa atau zaman ini.

Malahan kitab-kitab Allah dan Hadis-hadis Nabi itu terus berkuatkuasa selagi mana adanya manusia di atas muka bumi ini. Syariat Islam berkuatkuasa sepanjang zaman dengan keadaan bahawa ianya dikenali dengan satu keistemewaan bahawa Islam itu adalah bersifat 'As-Sabat wal Murunah'. Ianya tetap, tetapi anjal. Tetap itu bermakna, kita tidak boleh keluar dari landasan Islam walaupun ianya bersifat anjal.

Maka saudara-saudara sekalian, kita hendaklah berpegang teguh kepada prinsip dan ajaran Islam, sehingga kita berjaya ataupun mati syahid di dalam perjuangan Islam. Wallahu a'lam.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, walillahilhamd

Datuk Harun Taib,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails