Friday, October 26, 2012

Jemaah Haji Berhimpun Di Arafah (Subuh Semalam)

SEJUMLAH jemaah haji tiba di Jabal Rahmah dekat Mekah semalam. 

PADANG ARAFAH - Lautan jemaah haji yang berpakaian ihram membanjiri Padang Arafah di sini, barat Arab Saudi awal pagi semalam untuk menunaikan salah satu daripada lima rukun haji. Ramai jemaah berkhemah di padang itu dengan kebanyakan mereka tiba sekitar waktu subuh semalam.

Lelaki, wanita dan kanak-kanak dari 189 buah negara membanjiri kawasan itu dan mendirikan khemah pelbagai warna untuk tidur serta berdoa. Sekitar 2.5 juta jemaah berada tiba di Padang Arafah.

"Kami datang dari Mekah. Kami berjalan kaki dari Masjidilharam ke Mina dan menaiki bas ke Padang Arafah," kata seorang jemaah haji dari Mesir yang datang bersama keluarganya.
"Semakin penat kami rasa, semakin banyak ganjaran pahala yang Tuhan berikan," kata lelaki itu.

Selepas selesai solat subuh, ramai jemaah haji menuju ke sebuah bukit kecil di Padang Arafah yang dikenali sebagai Jabal Rahmah. Sebahagian jemaah berehat dan berdoa di celah batu di bukit tersebut dengan air mata mengalir di pipi mereka. Nabi Muhammad SAW dipercayai menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam di kaki bukit tersebut sebelum baginda wafat.

BEBERAPA jemaah haji berdoa di bukit Jabal Rahmah. 

Sementara itu, seorang lelaki menggesa jemaah haji agar tidak mendaki tangga batu yang licin untuk menuju ke puncak Jabal Rahmah.

"Nabi dan pengikutnya tidak pernah mendaki bukit ini. Tolong jangan mendakinya," kata lelaki berkenaan dengan menggunakan pembesar suara.

Sejak beberapa tahun lalu, beberapa jemaah haji pernah tergelincir dan terjatuh semasa memanjat bukit tersebut manakala sebahagian lagi meninggal dunia akibat insiden rempuhan. Sebahagian jemaah tidak menghiraukan nasihat tersebut dan cuba mendaki Jabal Rahmah tetapi tiada sebarang kejadian tidak diingini yang dilaporkan berlaku.

Beberapa jemaah haji Syria turut dilihat mengibarkan bendera para penentang Presiden Bashar Al-Assad.
Ia merupakan simbol kebangkitan rakyat negara itu yang menentang pemerintahan Bashar sejak 19 bulan lalu. Jemaah haji kemudian akan bergerak pula ke Muzdalifah yang terletak di antara Mina dan Arafah untuk melontar batu di tiga buah jamrah. - AFP

LAKSANA RUKUN...jemaah haji tiba di Arafah untuk berwukuf. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails