Thursday, October 25, 2012

Jemaah Haji Mula Bergerak Ke Mina




 BEBERAPA jemaah haji berehat dekat Masjidil Haram di Mekah selepas selesai mengerjakan solat Maghrib kelmarin.-AFP

MEKAH – Lebih dua juta jemaah haji mula menunaikan ibadah haji yang secara rasmi bermula semalam selepas tiba di Mekah seminggu lalu. Jutaan jemaah kini menuju ke Mina untuk bermalam sebelum menuju ke Arafah bagi menunaikan wukuf Antara mereka termasuk 28,000 jemaah haji Malaysia yang mula bergerak ke Mina dan Padang Arafah untuk berwukuf esok.

Jalan-jalan utama di kota Makkah kini sesak teruk dengan kenderaan yang membawa jemaah haji dari seluruh dunia bagi menunaikan ibadah berkenaan. Pergerakan jemaah haji Malaysia bermula pada pukul 12.30 tengah hari (waktu Arab Saudi) melalui perjalanan sejauh 20 kilometer. Jemaah haji Malaysia menuju ke Mina dan Arafah dengan menaiki bas dengan perjalanan tersebut berakhir pukul 12 tengah malam tadi.

Pengurus Media Tabung Haji, Mohamad Naser Jaffar berkata, 800 petugas Tabung Haji digerakkan secara berperingkat seawal jam 7.30 pagi bagi memastikan persedian awal dilakukan bagi menerima ketibaan jemaah haji Malaysia. Dalam pada itu, kebanyakan jemaah haji sudah mula menuju ke Mina pada malam kelmarin selepas selesai melakukan tawaf mengelilingi Kaabah.

Kerajaan Arab Saudi yang memberi keutamaan kepada keselamatan para jemaah telah mengerahkan beribu-ribu anggota keselamatan di Mekah, Mina, Arafah dan Muzdalifah. Satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi kelmarin memberitahu, kesemua jemaah haji bergerak ke Mina dengan lancar tanpa sebarang halangan. – Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails