Tuesday, August 14, 2012

Bayang, Kalau TV M'sia Pengacara Purdah Begini

 MASYARAKAT Mesir menyambut kehadiran Maria TV dengan perasaan bercampur-campur kerana sebelum ini wanita bertudung dan berpurdah jarang mendapat peluang di kaca TV.

MARIA TV di Kaherah, Mesir iaitu saluran televisyen satelit yang dikendalikan dan dihoskan oleh wanita berpurdah, dilancarkan pada hari pertama Ramadan tahun ini. Saluran itu diwujudkan bagi memecahkan tradisi industri televisyen Mesir yang selama ini hanya memaparkan wanita cantik semata-mata untuk mengejar rating sehingga menyisihkan pekerja yang memakai purdah.

Keadaan itu berbeza apabila di dalam sebuah studio di stesen berkenaan, kelihatan dua orang hos memakai jubah hitam. Mereka juga menutup bahagian muka yang hanya menampakkan mata selain memakai sarung tangan sedang membincangkan satu isu.

"Tujuan utama saluran ini adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa wanita berpurdah juga aktif, berkebolehan dan mampu mempunyai kerjaya cemerlang termasuk menjadi personaliti TV," kata Abeer Shaheer, ketua hos di saluran berkenaan.

Sebelum revolusi yang berjaya menggulingkan Presiden Hosni Mubarak tahun lalu, wanita bertudung terutamanya yang berpurdah tidak mendapat tempat di media.

"Kami telah ditindas sejak berdekad lalu. Tidak dibenarkan berada di lokasi tertentu, di universiti dan institusi kerajaan. Kami turut menerima layanan berbeza hanya kerana kami memegang prinsip kebebasan dan mengikut ajaran Islam dengan memakai tudung," katanya.

Kebanyakan wanita Islam di Mesir memakai hijab yang menutupi rambut, tetapi purdah yang menutupi muka semakin popular di Kaherah. Pengisian lebih penting Namun, ada pula sesetengah pihak yang mempersoalkan bukankah bahasa badan dan mimik muka pengacara adalah sangat penting.
"Itulah yang sering dikatakan sebahagian orang. Mereka mengadu adalah penting untuk melihat muka atau bahasa badan hos yang mengendalikan rancangan.

"Jadi, saya berkata: Bila kamu menonton, bukankah pengisian lebih utama, bukannya rupa paras hos berkenaan," tegas Shaheer.

Rakan Shaheer, Iman Fahmy, lepasan jurusan perbankan merupakan antara penyokong pemakaian purdah dan berpendapatan saluran itu mampu mendekatkan manusia kepada Allah.

"Sasaran saluran ini adalah menjadikan wanita Muslim berakhlak mulia. Jadi mereka boleh menjadi ibu yang baik sekali gus melahirkan masyarakat yang baik," katanya yang berusia 28 tahun.

Dalam pada itu, kewujudan saluran baharu itu telah mengundang persepsi negatif sesetengah pihak yang berpendapat ia menggalakkan perkembangan pelampau agama selepas berlakunya revolusi di negara tersebut. Sebahagian pihak lain pula percaya, saluran itu sebagai contoh kebebasan bersuara pada zaman pemerintahan Parti Ikhwanul Muslimin di bawah presiden baharu iaitu Mohamed Morsi.

"Bertahun lamanya, di media rasmi Mesir, wanita yang memakai tudung tidak mendapat tempat di depan kamera dan hanya membuat kerja belakang tabir. Saluran baharu ini menunjukkan wanita berpurdah wujud di Mesir," kata Mozn Hassan, Pengarah Eksekutif Nazra iaitu sebuah pusat pengajian wanita.

Tambahnya, adalah sesuatu yang penting untuk manusia memperoleh kebebasan menghasilkan saluran seperti itu dan menyatakan apa yang dimahukannya. Sementara itu, Maria TV menafikan saluran mereka berbentuk keagamaan, sebaliknya memaparkan cerita ragam masyarakat.

"Kami ada saluran kebudayaan, rancangan kanak-kanak, menjahit, komedi, politik dan cerita cinta," kata Shaheer. - AFP

Komn Weblog Ibnu Hasyim:  Pakaian berpurdah tiada masalah, yang penting aktivitinya, bukan pakaiannya. Berpakaian bogel pun kalau tak buat kerja dan tidak kreatif nak jadi apa? Bayangkan kalau Tv di Malaysia berpakaian begini, adakah puak-puak UMNO/BN boleh terima?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails