Saturday, August 18, 2012

Aidilfitri, Perubahan Kpd Sebuah Politik Baru -PAS


KULIAH URA (UNIVERSITI RAMADHAN AL-MUBARA

TEMERLOH: Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan hari raya Aidilfitri kali ini dijadikan hari ziarah menziarahi sambil menyebarkan maklumat dan memujuk rakyat bagi menjayakan perubahan menjelang Pilihan raya Umum (PRU) ke-13.
Berucap dalam perutusan rayanya, Ketua Penerangan PAS Pusat itu mengharapkan PRU kali ini menjanjikan perubahan kepada sebuah politik baru dengan sebuah negara yang bebas sesuai dengan fitrah manusia.

Katanya, Aidilfitri bermaksud kembali kepada fitrah dan Allah mengingatkan fitrah manusia ialah taat, patuh dan tidak mensyirikkan Allah.

“Tidak lama lagi negara kita akan berhadapan satu pilihan raya yang amat penting yang kita harap menjanjikan perubahan kepada sebuah politik baru negara kita, politik yang mengajak rakyat untuk membersihkan nilai-nilai yang bertentangan dengan fitrah manusia. Kita perlu bina sebuah negara yang bebas rasuah, penyelewengan, ketamakan dan kerakusan.

“Kita perlu membina sebuah negara yang mengabdikan diri kepada Allah dengan pengabdian tersebut menterjemahkan bahawa pengutusan Nabi Muhammad ialah membawa rahmat kepada sekelian alam.

“Mari kita kita terjemahkan Islam begini kepada rakyat, mari kita ajak masyarakat kita, mari kita bergerak kepada perubahan tersebut,” ujarnya.

Mengenai pentingnya berlaku perubahan di Pahang, beliau berkata negeri yang luas ini mempunyai sumber hasil yang sangat banyak, punya sumber ekonomi yang sangat teguh tetapi gagal diuruskan dengan bail oleh kerajaan yang ada.

“Di Pahang ada sesuatu yang tidak wujud di negeri-negeri lain. Umpamanya kita ada tanah-tanah tinggi yang cantik, kita punya pantai yang begitu indah, kita miliki tasik-tasik yang menarik. Kita juga punya sumber ekonomi yang kuat dengan hasil hutannya (balak), dengan hasil bijih dan dengan hasil pertaniannya (ladang komoditi).

“Sepatutnya Pahang yang mewah ini berjaya mengangkat kedudukan negeri dan memajukan rakyat, berbanding dengan rakyat yang sedikit. Tapi sayangnya  kita gagal memanfaatkan sumber tersebut dengan seoptimum mungkin sehingga Pahang kini berada pada tahap yang kritikal dengan hutang terkumpul lebih daripada RM2 bilion,” jelasnya.

Tambah Tuan Ibrahim, pada waktu yang sama dapat dilihat pembangunan yang berjalan dalam negeri ini tidak menjurus kepada yang sepatutnya dinikmati.

Justeru beliau mengharapkan dengan mood perubahan yang sedang dirasai di seluruh negara, Pahang juga akan bergerak kepada perubahan tersebut sebagaimana negeri-negeri lain telah melalukan perubahan dalam PRU ke 12.

“Dan kita harap perubahan tersebut bermula daripada pertemuan pada hari raya untuk kita ziarah sambil sebarkan maklumat kita pujuk mereka ajak marilah sama-sama kita bergerak kepada perubahan tersebut.

“Sehubungan dengan itu saya bagi pihak Pesuruhjaya PAS negeri, anggota Badan Perhubungan dan seluruh ahli PAS Pahang mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di negeri Pahang khususnya, seluruh negara amnya mudah-mudahan hari raya dapat dijadikan pemangkin bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara kita, maaf memaafi, ziarah menziarahi dan kemuncak kita harapkan perubahan jiwa, semangat dan jihad yang kita bina  dapat diteruskan selepas Ramadan,” katanya. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails