Ribuan penduduk Mesir berhimpun di Dataran Tahrir sebagai tanda sokongan kepada Presiden baru negara
Ribuan penduduk Mesir berhimpun di Dataran Tahrir sebagai tanda sokongan kepada Presiden baru negara itu, kelmarin.
KAHERAH - Ribuan penyokong Presiden Mesir, Mohammed Mursi berhimpun di Dataran Tahrir, kelmarin selepas Mahkamah Agung Perlembagaan membekukan perintah beliau bagi mengarahkan Parlimen bersidang semula pada Ahad lalu.

Hakim Maher el-Beheiry berkata, mahkamah memutuskan untuk menyekat keputusan Presiden yang mahu Parlimen bersidang semula selepas ia dibubarkan kerana tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan.

Keputusan itu diumumkan susulan daripada tindakan 508 Ahli Parlimen yang mengikut arahan Mursi untuk bersidang semula, walaupun menerima bantahan pemerintah tentera dan badan kehakiman negara tersebut.

Dalam satu kenyataan, Speaker Parlimen, Saad al-Katatni berkata, tujuan mereka bersidang adalah untuk menilai semula keputusan Mahkamah Agung Perlembagaan yang mengarahkan Parlimen dibubarkan pada bulan lalu.

“Kami tidak berniat untuk mempertikaikan keputusan mahkamah dan sidang Parlimen ini tidak mempunyai agenda tersembunyi," katanya.

Beberapa pihak mula mempertikaikan keputusan mahkamah yang dilihat akan menjerumuskan Mesir ke dalam pergelutan kuasa jika jalan penyelesaian gagal dicapai dalam masa terdekat. (SH).  
Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-57: Ikhwan Mulimin & PAS
E-Buku IH-57: Ikhwan Mulimin & PAS