Tuesday, July 10, 2012

32 Penduduk Green Cow Ditahan Depan Pej MB


(Antara penduduk yang terlibat dan ditahan polis di depan Pejabat MB Pahang hari ini)

KUANTAN: 32 penduduk Green Cow Cameron Highland ditahan ketika berhimpun di hadapan pejabat Menteri Besar Pahang hari ini bagi membantah pembangunan tanah di kawasan mereka. AJK PAS Pusat, Zulkifly Mohamad Omar ketika mengesahkan perkara ini berkata, hanya dua sahaja dari peserta perhimpuan itu yang dilepas sehingga kini iaitu seorang Orang Asli dan seorang lelaki tua.

34 penduduk Cameron yang rumah mereka dilanda masalah tanah runtuh akibat pembangunan tanah berhampiran membuat himpunan di depan pejabat MB Pahang hari ini. Sekurang-kurangnya tujuh buah rumah di kawasan Green Cow diancam tanah runtuh ekoran sikap pemaju mementingkan keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan penduduk.

Penduduk mendakwa, syarikat pemaju LTT Development Sdn Bhd dan Ng Yeet Ng giat menjalankan kerja-kerja meratakan tanah bukit untuk projek pembangunan di kawasan itu sehingga terlalu hampir dengan kawasan kediaman penduduk di bawah cerun. Kini seramai 38 penghuni di kediaman-kediaman itu diancam bahaya bukan sahaja tanah runtuh, malah beresiko dihempap batu-batu besar berdiameter lebih 5 meter.

Harakahdaily sebelum ini pernah melaporkan masalah mereka. Zulkifly bersama Pesuruhajaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menziarahi kampung mereka dan melihat sendiri bagaimana batu-batu besar yang bila-bila masa sahaja boleh menghempas rumah mereka. Mereka kini tinggal di khemah-khemah kerana takut dihempap batu kalau tidur di rumah mereka. Walaupun pelbagai laporan dibuat, pihak berkuasa tidak pernah melayan mereka lalu membawa mereka berhimpun di depan pejabat MB hari ini.














Khemah di Putrajaya

Sebelum ini penduduk terbabit pernah berhasrat untuk berkhemah di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.  Namun, akibat kerelaan Menteri Besar Pahang Datuk Sri Adnan Yaakob yang akhirnya bersedia menemui mereka selepas lebih dua tahun menunggu, maka himpunan tersebut dibatalkan.

Satu Majlis Pertemuan Dan Dialog Penduduk Cameron Highland dengan beliau telah diadakan di Annexe Rest House pada 9 April lalu. Menurut wakil penduduk, Setiausaha PSM Cameron Highlands Suresh Kumar berkata MB Pahang telah bersetuju untuk bertemu dengan penduduk berkenaan dan berbincang mengenai masalah melibatkan tanah dan pertanian yang mereka hadapi.

"Beliau berjanji untuk mengadakan lawatan ke lokasi yang dinyatakan pada 18 April bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan," kata Suresh.

Janji-janji telah dibuat kepada penduduk terbabit dan dengan bangga MB mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Pahang akan cuba menyelesaikan isu itu dengan segera. Namun, apa yang berlaku selepas lebih tiga bulan berlalu segala janji hanya tinggal janji dan penduduk kini semakin dihimpit dengan masalah yang bertimpa-timpa.

"Maka itulah, kami terpaksa berkhemah di hadapan Pejabat MB Pahang bagi menuntut beliau menunaikan segala janji manisnya itu. Malah ia selaras dengan slogan PM sekarang ini agar janji ditepati," kata beliau. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails