Thursday, May 10, 2012

Fatwa Bersih Haram: PAS Akan Temui Mufti


 
 
TEMERLOH, 10 Mei: PAS Pahang mengambil inisiatif akan bertemu dengan Mufti Pahang bagi berbincang tentang beberapa isu berikutan kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini yang memutuskan perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu sebagai haram.
Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, pertemuan tersebut adalah ekoran saranan Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman yang mengeluarkan kenyataan bersedia berbincang dengan mana-mana pihak dalam soal fatwa.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, serentak dengan itu surat rasmi akan dihantar secepat mungkin bagi menemui Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli  Majlis Fatwa Kebangsaan.

“PAS Pahang alu-alukan kesediaan mufti untuk berbincang dan cadangkan tarikh 21 Mei ini untuk pertemuan tersebut bagi menyahut saranan tuan mufti sendiri,” katanya selepas mesyuarat AJK Harian PAS Pahang di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Rahman yang disiarkan sebuah akhbar harian semalam yang menyarankan pembangkang datang berbincang jika tidak bersetuju dengan fatwa yang dikeluarkan jika tidak berpuas hati.

Menurutnya, setiap fatwa yang dikeluarkan berserta dengan dalil dan pihaknya bersedia berbincang dengan pembangkang mengenai fatwa demonstrasi membawa kepada kerosakan harta benda, kekecohan lebih-lebih lagi ia seolahj-olah mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa fatwa ialah bagi sesuatu yang belum ada hukum.

“Sedangkan pemimpin Islam sedunia Dr Yusuf Al-Qardhawi sudah ada fatwa tentang perhimpunan untuk menuntut keadilan diharuskan dalam Islam.

“Jadi saya fikir tidak perlu ada fatwa lain, sebab setiap fatwa mestilah selaras. Kalau begitu kenapa tidak dikeluarkan fatwa tentang rampasan kuasa di Perak dulu yang melibatkan taktik yang begitu keji sekali?,” soalnya.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim tetap mengalu-alukan kesediaan Mufti Pahang untuk berbincang kerana Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini tidak langsung membuka ruang perbincangan sebelum mengeluarkan fatwa.

Pada 6 Mei lalu Muzakarah ke-99 Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam negara.

Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata jawatankuasa memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara 28 April lepas.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berharap Majlis Fatwa melihat apakah hukumnya dan tindakan yang perlu diambil terhadap orang yang menghukum seorang Islam keluar daripada agamanya.

Beliau merujuk kepada isu bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor yang menuduh Mursyirul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Azizi Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, sebagai ‘bapa segala kafir’. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails