Thursday, May 10, 2012

5 Sebab P/Bersih 3.0 Bawa Ke Syurga -N/Aziz

Oleh TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
 
Perhimpunan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di Dataran Merdeka

Pertembungan Fatwa Di Medan Tahrir
BERARAK berakar di Kuala Lumpur, akar ini pula bermula sebagai aktiviti keduniaan. Namun setiap aktiviti di dunia, Islam mengajarnya, pasti pengakhirnya ialah pembalasan di akhirat. Oleh sebab itu, tingkah laku manusia perlu selari dengan prinsip agama yang membolehkannya sampai  ke syurga. Sama sekali ia tidak boleh selari dengan kahidupan yang menjurus ke neraka.

Mengingatkan peristiwa perhimpunan besar  rakyat Mesir di Medan Tahrir Kaherah, ia berlaku dalam keadaan percanggahan fatwa antara ahli jemaah fatwa Mesir dengan pengerusi majlis ulama sedunia, Dr. Yusof Al-Qaradawi. Jemaah fatwa kata tidak boleh berhimpun, sementara Al-Qaradawi kata boleh berhimpun untuk menentang mungkar.

Perhimpunan di Medan Tahrir, Mesir tanpa restu majis fatwa negara itu

Justeru lebih 10 juta rakyat Mesir keluar menyahut seruan Al-Qaradawi. Hebatnya fatwa Al-Qaradawi itu, regim Mubarak terguling dan suatu pilihan raya diadakan. Syukur ke hadrat Allah, parti sekutu Ikhwanul Muslimun telah menang dan harapnya cahaya Islam terus gemilang di Mesir.

Meskipun di sebalik perhimpunan besar Medan Tahrir ada pihak tidak setuju kerana ada kejadian pertempuran dan kekecohan, namun ia sebagai nilai tribulasi yang mengharmonikan politik bernegara yang sebelumnya bergelumang dengan mungkar menyebabkan pelbagai kekecewaan umat Islam.

Namun kesannya peristiwa di Medan Tahrir itu, muncullah nilai harmoni politik bernegara berteraskan nilai-nilai keadilan sejagat  bertunjangkan Islam. Hakikatnya, urusan menentang perkara mungkar adalah tanggungjawab yang wajib.

Firman Allah SWT:
 Bermaksud:  “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya” (Al-Nahl 16:90).
 Bayang daripada peristiwa perhiumpunan besar Medan Tahrir pastinya tidaklah bertaraf perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Bersih 3.0 adalah sumbangan besar rakyat yang perihatin dengan kemelut politik Melaysia yang masih bergelumang dengan kekotoran yang perlu dibersihkan menjelang pilihan raya umum ke-13.

Justeru Bersih 3.0 adalah bermatlamat untuk menuntut pilihan raya yang bersih agar berlaku suatu proses pemilihan rakyat secara adil dan telus. Matlamat ini tidaklah serupa dengan perhimpunan Medan Tahrir yang mengulingkan regim Mubarak. Maka sewajarnya matlamat Bersih 3.0 dapat disokong sama pihak Majlis Fatwa Kebangsaan.


Namun begitu, lain pula ceritanya apabila Majlis Fatwa Kebangsaan dilihat amat berprasangka terhadap kesedaran rakyat Malaysia yang terluah menerusi perhimpunan Bersih 3.0. Justeru semua pihak harus merenung beberapa persoalan yang dapat memberi penilaian seadilnya kepada loghiknya perhimpunan Berisih 3.0.
Perhimpunan Bersih 3.0 menuntut pilihan raya yang bersih dan adil...salah ke

Renung 5 Persoalan

Pertama, apakah kerja memasukkan sejumlah pengundi hantu (menyebabkan senarai pendaftaran pemilih jadi kotor) merupakah kerja maaruf? Ketahuilah, kerana wujudnya pengundi hantu itu, ada pihak yang mendapat untung (menang pilihan raya). Sedangkan ia satu taktik kotor. SPR sendiri pun sudah mengakui wujudnya nama-nama pengundi yang identitinya diragui. Ia turut disahkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), iaitu ada nama-nama berkenaan tiada dalam rekod JPN.

Paling diragui, dikatakan masih ada ramai nama pengundi yang umurnya melebihi 100 tahu dan beribu-ribu pula yang telah mati masih kekal sebagai pengundi sah. Justeru segala keraguan senarai pemilih itu pasti bersifat mungkar yang perlu dicegah. Justeru pengundi hantu adalah mungkar yang merosakkan amalan demokrasi dan di sisi Islam sesuatu yang mungkar, ia perlu dicegah.

Jika tidak dicegah, ada pihak yang tidak berpuas hati dengan proses pengundian dan ia memungkinkan pula ada pihak-pihak yang berkepentingan atau yang berkuasa, mengambil kesempatan untuk memastikan atas nama pengundi hantu itu ada pihak yang boleh hadir mengundi.

Kedua, persoalan pengundi hantu itu telah banyak kali dibangkitkan kepada pihak SPR sendiri. Termasuklah atas nama parti PAS dan juga pihak Kerajaan Negeri Kelantan telah acap kali membangkitkan, malah menyerahkan memerandum kepada SPR agar dapat diselesaikan. Pihak Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai Timbalan Menteri Besar telah berjumpa wakil SPR yang disertai Datuk Nordin Che Ngah, Timbalan Setiausaha SPR bersama Pengarah SPR Kelantan, dan turut menyampaikan maklumat sama untuk diambil tindakan pembersihan nama pemilih yang diragui termasuk yang mati.

Tidak ketinggalan juga, setiap kali pihak PAS menyertai siri-siri pilihaan raya kecil sepanjang tempoh 2008 hingga 2011 seperti pilihan raya kecil di Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Permatang Pasir, Manek Urai, Galas, Bagan Pinang, Merlimau dan Kerdau yang kesemuanya pihak parti PAS  sentiasa mengemukakan bukti-bukti mengenai keraguan dan ketidak telusan dalam proses pilihan raya.

Berikutnya pula, menerusi Pejabat Agung PAS, pihak Setiausaha Agung bersama dengan Pengarah Pilihan Raya PAS acap kali mengunjungi SPR berbincang dan menyampaikan pandangan termasuk memorandum untuk SPR mengambil langkah sewajar. Paling terkini lagi, pihak PAS turut menghantar wakil dalam jawatanakasa terpilih parlimen untuk penambahbaikan pilihan raya.

Namun, kesemuanya tiada hasil yang memuaskan. Dengan sebab itu, pendekatan NGO menubuhkan BERSIH dilihat sebagai saluran untuk rakyat bersama-sama menzahirkan tuntutan bersama agar pihak Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Umno sekarang mengambil langkah positif ke arah penambahbaikan proses pilihan raya di negaraa ini.

Ketiga, cuba renungkan sejenak sekiranya pihak PAS dan parti-parti Pakatan Rakyat berada sebagai penguasa Kerajaan, kemudian mengekalkan keadaan senarai pengundi hantu, pengundi mati dan seumpamanya dalam setiap kali pilihan raya, apakah pihak Umno dan Barisan Nasional tidak akan marah? Kita yakin Umno pun akan marah, maka apa sebab PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh marah? Maka seadilnya pihak kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib dapat berlapang dada untuk melakukan sesuatu penambahbaikan pilihan raya. Tidaklah sampai membebankan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membincangkan apa-apa fatwa atas perkara yang sudah terang lagi bersuluh.

Keempat, berhubung dengan maruah fatwa. Sebenarnya menurut rekod, Umno sendiri  sudah banyak kali didapati tidak mematuhi fatwa.  Ia jelas mencabar maruah fatwa itu sendiri. Antaranya berhubung larangan meletakkan kalungan bunga di tugu pahlawan jelas tidak dipatuhi. Begitu juga, pernah Mufti Perak sekarang menegur secara sinis akan perbuatan Perdana Menteri dan isterinya yang hadir ke kuil Batu Caves bersubhat dengan perayaan agama Hindu.

Malah paling besar, berapa ramai pemimpin Umno dan isteri masing-masing yang melanggari (engkar) adab dan hukum pergaulan dalam Islam, sehingga ada pemimpin Melayu (baca Islam menurut hemat Umno) yang menari tanpa menutup aurat di depan khalayak. Sedangkan perintah menutup aurat adalah hukum Allah yang termaktub di dalam Al-Quran. Jelas, Umno sendiri sudah tidak patuh kepada fatwa hinggakan hukum Al-Quran pun tidak dipatuhi. Apakah boleh kita katakan, sang Umno ini, hak Allah pun dia tolak?

Seterusnya yang kelima ketahuilah, sesungguhnya perkara yang dapat menyelamatkan kita di akhirat nanti ialah sejumlah pahala bukannya dosa. Tinggal lagi, bagaimana kita dan pemimpin Umno tetap yakin  bahawa kita akan dapat pahala. Sedangkan pahala itu datangnya dari Allah, kerana Nabi Muhammad sendiri tidak boleh beri pahala kepada umatnya.  Dalam hal ini, kita kena ingat, tatkala kita semua dibangkitkan di akhirat, hanya pahala bakal menyelamat kita. Kerana pahala seumpama ‘foreign currency’  (tukaran antara kebaikan dunia dengan untung akhirat) yang bakal dibentang di akhirat dan pasti menguntungkan sebagi tiket ke syurga.

Firman Allah SWT:
 Maksudnya: Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam? Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam “Sijjiin” (Al-Mutaffifiin 83:4-7).
Persoalannya, bagaimana bagi Umno yang berjuang atas nama bangsa itu akan menerima pahala dari Allah. Sedangkan amalan dan dasarnya semacam menjauhi pahala. Antaranya masih mengekalkan nilai pilihan raya yang tidak bersih––kotor, berat sebelah dan tiada ketelusan sehingga banyak perkara yang diragui tentang pilihan raya itu sendiri. 

Apakah semua nilai yang tidak bersih sedang dikawal oleh pemimpin Umno ini tidak akan disoal di hari pembalasan kelak?  Kita yakin, pemimpin Umno pun masih ingat akan hari pembalasan. Sesungghuhnya Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya :
Maksudnya: Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan – Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan (Al-Mutaffifiin 83:11).
Natijahnya untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak semestinya dengan pahala. Justeru itu, kita kena ikut landasan iman dan ehsan bagi meningkatkan amalan ibadat dan asas-asas ketakwaan kita terhadap perintah Allah SWT.

Maka lihatlah kepada perjalanan demokrasi di negara ini sekarang, mana-mana yang bercanggah dengan nilai-nilai keimanan dan kehsanan serta meruntuhkan ketakwaan pastikan ia diperbaiki demi mencapai keredaan Allah. Hanya keredaaan Allah jua bakal menyelamatkan kita di akhirat kelak. (IH/Hrkh)

7 comments:

Art_Vespa said...

Assalamualaikum..Kepada saudara penulis, ingin saya bertanya..siapakah yang berhak menyatakan membuat itu dan ini adlh pahala, menolak itu ini mendpt dosa..Bukankah dosa pahala itu adlh terpulang kpd hak Allah swt, namun bagaimana ada manusia yg menetapkan ini pahala juga dosa?Apkh saat sama kita meludah, kita menjilatnya kembali..

Makanya disini, apkh jenis manusia itu yg tiada hak baginya mengatakan sesuatu yang bukan haknya, kemudian menyatakan ia datang dari Allah swt..bukankah ini ciri2 orang zalim kepada diri sendiri@kufur kepada Allah..

Walau segunung pahala yang dikumpul spt yg manusia merasakan terkumpul, namun tanpa keREDHAan Allah swt..Apkh ianya masih bernilai!

Sesungguhnya apkh manusia itu tidak memikirkan bhw segala sesuatu itu datang dari Allah..Maka,bagaimana mereka tergamak mengadakan sesuatu lalu mengatakan ia mendatangkan pahala, kemudian dgn pahala itu mereka beramai2 memasuki syurga..Apkh manusia itu mencipta pahala dan mereka memasuki syurga buatan mereka dgn pahala tersebut..Sesungguhnya mereka telah berdusta terhadap Allah..dan seksaan Allah swt sangatlah pedih bagi orang2 yang kufur kepadaNya..Amin

Anonymous said...

Looo..apahal ka ni vespa..x faham ke....klu ka jln depan aku dgn x semene2 aku tampor muka ka...aku dpt pahala ke dosa...aku ni jahil..cuba ajar aku ckit..setahu aku dpt dosa ke dpt pahala..soal syurga/ neraka tu no 2..setahu aku lah buat baik dpt pahala buat jahat dpt dosa..tu je sifir yg aku tahu..gane vespa?

Adenan said...

Ketahuilah olehmu wahai tuan Vespa bahawa Allah SAW menjanjikan pahala apabila kita melakukan kebaikan biarpun sebesar zarah sekalipun Ia akan dikira oleh Nya. Menentang kemungkaran dan penipuan adalah termasuk didalam jihat kita sebagai org Islam.Pahala dan dosa adalah milik Allah SAW Jahil kita kerana kita tidak mahu mencari keredaanNya dan mendalami Ilmunya..Alim kita bkn terletak pada watak tp pada hati kita yg iklas dan bertakqwa padaNya.
Yg pastinya berbuat baik mendapat pahala berbuat kejahatan mendapat dosa..
P/s untuk saudara Vespa dtglah keKelantan mendengar dan menghayati kuliah agama TGNA stiap hari Jumaat..kenali hati budi dan cara kehidupannya..sekian

art_vespa said...

Benar wahai sahabat sekalian,namun apkh kebaikan yg kita laksanakan itu mengecapi dgn standart Allah swt.Apkh kita mengirakan bhw ia menghasil pahala dan segala yg diperbuat diperkira sbg kebaikan.Bersolat shj tanpa kusyuk akan ditempatkan di nerakawel.Makanya,bukanlah dosa atau pahala itu yg utama,tetapi keREDHAanNya.Apkh kita ingin memberitahu Allah apa yg berlaku diantara langit dan bumiNya.Apkh Dia menjemput manusia membantuNya mentadbirkan bumiNya.fikirkan

aidono said...

Art_vespa

Memang kalau sdr dan saya melakukan kebaikan takkan dapat capai ISO Allah. Tapi Allah tak tanya kamu capai ke tak capai, Allah suruh kita buat sahaja. REDHA itu milik mutlak Allah.

Tapi macam kengkawan dan sahabat lain sebutkan diatas, dan disebut ALlah dlm Al-Quran dalam surah Al-Zalzalah, Buat baik walau sebesar hamapun akan dibalas (pahala), dan buat jahat walau sebesar hamapun akan dibalas(dosa).

So, dimana tak kenanya kenyataan TGNA? Kamu yang perasan sangat baik dengan menyokong UBN tu, rasa2nya dapat REDHA Allah ke?

Kalaulah di waktu sakaratul maut tiba nanti mengjengok saya dan kamu, dan dtglah najib dangan TGNA ziarah dan berdoa, agaknya doa siapa yang akan didengari Allah untuk meringankan azab sakaratul maut.

Perkara berbuat baik ni bukan boleh dibuat-buat. Ia dtg dari dalam sanubari kita yang diilhamkan oleh Allah. Ia perlu dipupuk drp kecil, macam kata pepatah orang melayu tu...melentur buluh biarlah drp rebung. Bukan bila dah pencen baru belajar2 nak buat baik.

Sbg contoh, jika seorang pekebun atau petani bercucuk tanam... dia bercadang untuk makan buah durian untuk diri sendir dan anak cucunya , tapi pokok yang ditanamnya pokok rambutan, akan dapat ke dia makan durian nanti?, walaupun dia berdoa dan menjaga tanaman tersebut dengan baik. Adakah Allah REDHA dengan hasil kerja kita itu? Membuat perkara yang bercanggah dengan Sunnatullah pastu nak dapat REDHA Allah. Mu belajor mana ni?

Pernah dengar kisah seorang perempuan pelacur dapat masuk syura, hanya kerana memberi minum kepada anjing yang dahaga. Perempuan itupun tak tahu perbuatannya itu memberi pahala dan mendapat REDHA Allah.

Bercakap perkara yang baik boleh pahala

Makan minum benda yang halalan tayiba boleh memberi pahala.

Hatta masuk tandas dengan adabnya pun dapat pahala.

Mengajar dan menyuruh orang buat baik pun dapat pahala, pahala berantai pulak tu.

bersama isteri dengan adap2nya dapat pahala.

buang duri dijalan (laluan orang ramai) dapat pahala.

Undi kepada pemimpin dan kumpulan yang nak laksanakan ISLAM .... kamu jawablah sendiri.

Sebaliknya undi kepada pemimpin & kumpulan yang kata "HUDUD" takkan dilaksanakan diMalaysia.. lu pikirlah sendiri.

Anonymous said...

Maksud Vespa, x apa buat dosa sbb kita belum tahu masuk syurga atau neraka atau kalau dapat keredhaan Allah nti kita boleh buat dosa skrg..? fenin la mu Vespa..

mcmana nak dapat keredhaan Allah kalau x buat pahala? mcmana nak dapat pahala kalau x buat kebaikan? Macamana nak buat kebaikan kalau hati busuk, rakus dan tamak haloba? get to the basic la Vespa, Mcm kata sahabat tu, Keredhaan Allah adalah hak mutlak Allah, kita hanya perlu pikir Pahala yg kita mahu dan Dosa yg kita perlu elakkan.. that is the basic.. adoyaiiii... moga2 Allah melapangkan lagi pemikiran mu wahai Vespa.

Art_Vespa said...

Wahai shbt sekalian,dosa &pahala itu adlh ujian bg manusia utk mencari nikmat sebenar dlm hidup,iaitu mengenal dan bertemu dgn Allah.Tujuanku berkata spt kalian komen kepadaku adlh utk kalian juga diriku berfikir,apkh jalan yg disusuri jln sebenar.Kita ada bencmark drp Rasulullah saw yg dpt kita jadikan reference.Namun kita mengambil sesuatu darinya setelah beliau menjadi Rasul.
Namun,bagaimana sebelumnya. Seorang doktor apkh terus menjadi doktor.Apkh tidak perlu dicontohi sebelum itu.Bagaimana ia berlajar,apa yg diperbuat olehnya dan sbgnya.Inilah asas utk menjadi doktor,namun bagaimana dgn Islam.Apkh Muhammad tiba2 dilantik menjadi Nabi,atau ada election drpd Malaikat. Islam itu berserah diri bulat2 kpd Allah.Namun bagaimana?
Saksikanlah bhw syurga itu tdk perlukan pahala utk menjejakinya,hanya RedhaNya yg diperlukan.Apkh redhaNya itu mudah utk dituntut! Pelacur itu masuk syurga krn memberi minum anjingnya minum dgn Ikhlas.Inilah kuncinya redha Allah.Iblis sendiri takut kpd manusia yg Ikhlas.Makanya sahabat,disinilah perlu dipelajari ilmuNya Ikhlas.
Di Kelantan byk sekolah2 pondok pengajian ilmu.Carilah guru ataupun murshid yg mampu mengajarnya. Ikhlas itu hanya utk Allah,namun apb kerana dunia,wajib Iblis menggantikan Allah.Sesungguhnya shbt sekalian,tuntutlah ikhlas itu dgn berserah diri dan segala2 yg diperkatakan hak bagi kita hanya kpd Allah dan bersabarlah diatas segala dugaanNya.Carilah tali wasilah Allah krn tali inilah yg menghubungkan terus kpdNya.Ia bersembunyi diantara kita.
Tuntutlah sesuatu hanya krn Allah dn mencintailah Allah lebih dr segalanya.Sesungguhnya ilmu hati xmampu ditafsirkan oeh akal.Segala apa yg kalian tuntut itu adlh baik utk agama Allah,namun apa ertinya menanam pokok tanpa baja.Walaupun ia diizinkan Allah berbuah,namun tidaklah sempurna kualitinya.Sebaik2 baja adlh drpd Allah krn hanya Dia yg tahu KemahuanNya. Makanya disini para shbt penaku,carilah baja itu krn ia ada dan wujud diantara kita.Sesungguhnya 1kumpulan itu adlh krn Allah drpd 72 yg lainnya.Biarlah beban duniamu ditanggung oleh Allah krn Dia Maha Berkuasa,bukan manusia lainnya.wassalam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails