KL: Kerana yuran perkhidmatan yang murah, segelintir  pengguna masih sanggup menggadaikan nyawa dengan mendapatkan rawatan  pergigian daripada ‘doktor gigi’ tidak bertauliah di kaki lima Jalan  Pasar Pudu, di sini. Doktor gigi yang dipercayai berasal dari China itu memulakan  perkhidmatan pergigiannya di kaki lima kawasan itu setiap hari bermula  jam 9 pagi hingga 3 petang.
   
Mereka menawarkan perkhidmatan memasang gigi palsu dengan harga lebih murah daripada klinik swasta iaitu RM50 hingga RM80 satu gigi dan tempoh pemasangannya mengambil masa 20 minit. Biarpun tidak tahu berbahasa Melayu, doktor terbabit mengupah jurubahasa yang bertindak sebagai pengantara untuk memaklumkan semua harga perkhidmatan.
Tinjauan Metroplus ke Jalan Pasar Pudu, baru-baru ini, mendapati empat doktor gigi warga China membuka klinik kaki lima di kawasan itu. Berbekalkan peralatan pergigian, air, kerusi, carta dan sampel gigi palsu, mereka membuka klinik di tengah laluan itu tanpa memikirkan aspek keselamatan dan kebersihan.
Namun, masih ada segelintir pengunjung menggunakan perkhidmatan itu, biarpun tiada ciri-ciri keselamatan diamalkan. Malah, doktor kaki lima terbabit mendakwa peralatan yang digunakan  bersih dan selamat kerana semuanya sudah dicuci dengan ubat yang boleh  membunuh kuman tanpa mensterilkan peralatan terlebih dulu.
  Menurutnya, yuran perkhidmatan bergantung kepada jenis gigi yang  digunakan, namun ia tahan sehingga tiga tahun, malah pelanggan boleh  mendapat diskaun. Katanya, pelanggan tidak perlu risau kerana  doktor yang merawat sangat terlatih, berkemahiran dan pasti berpuas hati  dengan perkhidmatan diterima.
 “Sudah lima tahun kami  menawarkan perkhidmatan pergigian di kaki lima ini dan sambutan amat  menggalakkan. Pengguna tidak perlu risau kerana semuanya pasti selamat,  prosedur yang dijalankan sama di klinik swasta dan lebih penting  yurannya murah,” katanya.
 Sementara itu, seorang lelaki yang  mendapatkan khidmat doktor kaki lima terbabit yang mahu dikenali sebagai  Liow, 45, berkata dia takut untuk mencuba, tetapi selepas diyakini, dia  mencubanya juga kerana perkhidmatan ditawarkan murah dan cepat.
  “Saya tahu mengenai doktor kaki lima ini melalui rakan yang pernah  mendapat rawatan di sini dan mereka mencadangkan tempat ini kepada saya.  Biarpun tidak mengamalkan ciri keselamatan dan kebersihan, kami tutup  mata saja, asalkan perkhidmatannya murah dan bersesuaian dengan kami  yang berpendapatan rendah,” katanya.
 Sementara itu, Naib  Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr Haja Badrudeen  Sirajudeen, mengingatkan pengguna supaya tidak menggadaikan nyawa dengan  mendapatkan perkhidmatan doktor gigi tidak bertauliah kerana ia  berisiko untuk berlakunya pemindahan virus penyakit seperti Aids dan  hepatitis.
 Katanya, dengan penggunaan alat yang tidak  disterilkan dan kebersihan lain, tidak mustahil virus akan berpindah,  terutama apabila berlaku pendarahan ketika melakukan rawatan.
  “Kebanyakan doktor tidak bertauliah terbabit menggunakan kaedah rawatan  berbeza mengikut panduan perubatan pergigian yang dibenarkan. Jika  membuat rawatan tanam gigi, mereka akan gunakan gam atau simen yang  memberi kesan kepada pengguna dan selepas beberapa tahun, ia akan  bernanah dan berisiko untuk mendapat barah,” katanya ketika ditemui.
 Menurut Dr Haja Badrudeen, mengikut Akta Pergigian 1971, pengamal  perubatan pergigian yang berdaftar dengan persatuan dan mempunyai sijil  tauliah yang sah saja boleh memberikan perkhidmatan. Bagi doktor dari luar negara, mereka perlu mempunyai sijil tauliah yang diiktiraf kerajaan Malaysia. Katanya, doktor luar negara hanya dibenarkan bertugas di hospital kerajaan dan ia belum dilaksanakan di sektor swasta.
  “Biarpun yuran perkhidmatannya lebih murah, di klinik yang diiktiraf  kerajaan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik dan selesa,”  katanya. (myMetro)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mengapa mesti marah kepada khidmat gigi yang sesuai dengan rakyat miskin dan tdak berdya, iaitu murah dan cepat? Sedangkan perkara masalah-maslah yang timbul boleh dicari jalan atasi. Masalah kebersihan, tauliah, milik orang luar, tempat semuanya boleh difikirkan. Mengapa kita tidak manfaatkan khidmat mereka?
Di Malaysia sendiri pun masih ada khidmat perubatan tradisional Melayu, Cina, India dan lain-lain. Semuanya boleh dicari jalan penyelesaian... (IH)
 
 

No comments:
Post a Comment