Wednesday, July 06, 2011

Wajarkah Ada Penarik Beca Wanita & Kanak-kanak?

DILUAR kawasan Menara Taming Sari di bandar Melaka, sekumpulan penarik beca berbaris menunggu penumpang. Dalam kalangan yang ramai itu, seorang dari mereka menarik perhatian. Nor Hasliza Hanafi, 20, ialah seorang wanita dari sekumpulan kecil penarik beca di situ yang masih meneruskan kerjaya ini.

Beliau pernah sebelum ini bekerja di Giat Mara, dan berhenti semata-mata kerana mahu menjadi penarik beca. Apa yang meyakinkan beliau berbuat demikian?

"Bukan sebab terpaksa, tetapi kerana minat. Sebagai penarik beca, saya berpeluang berjumpa dengan ramai orang dan antaranya Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Di sini juga saya bertindak sebagai duta kecil, menceritakan kepada pelancong mengenai sejarah Melaka dan setiap tempat yang dilawati. Sebelum ini, saya tidak berapa tahu mengenai sejarah, tetapi sejak terlibat dengan pekerjaan ini saya sudah mula tahu.

"Berjumpa dengan ramai orang dengan pelbagai ragam, memberi kesempatan kepada saya mempromosi Melaka kepada pelancong. Saya rasa pekerjaan ini sesuatu yang mulia,"katanya kepada Bernama seperti dilaporkan baru-baru ini.

Pekerjaan ini bukan sesuatu yang asing baginya kerana bapa Nor Hasliza juga seorang penarik beca. Beliau masih ingat sering diejek oleh rakan sekolah tentang pekerjaan bapanya yang dikaitkan dengan kesusahan dan kurang pendidikan. Nor Hasliza bagaimanapun mengerti bahawa pekerjaan itu tidaklah seteruk yang dianggap masyarakat sekeliling.

"Mulanya memang saya malu dengan pekerjaan ayah, bawa beca. Tetapi secara kebetulan saya ada menyertai satu perbincangan dengan penarik beca. Dari situ saya mula memahami akan kerjaya ini dan kalau rajin memang boleh jana pendapatan.

"Dari situlah saya ambil keputusan berhenti kerja dan jadi penarik beca. Awalnya, memang malu sedikit. Tetapi lama-kelamaan rasa malu itu sudah hilang.

"Saya bangga dengan pekerjaan ini. Sekali gus membuktikan bahawa perempuan juga boleh," katanya.

Menurut Nor Hasliza lagi,

"Memang sudah ramai anak muda memilih kerjaya ini, sama ada sepenuh atau separuh masa, macam saya juga.

"Sekarang sudah jadi trend, paling muda, 14 tahun, (dia) mungkin hendak tolong bapa dia cari pendapatan lebih selepas sekolah."

Presiden Persatuan Penarik Beca Kota Melaka, Arman Saleh berkata senario ini merupakan petanda positif dan menyakinkan bahawa pengangkutan awam itu tidak akan menjadi tinggalan sejarah. "Sekarang ini, jumlah penarik beca di Melaka ialah 194 dan antara 80 hingga 90 daripada jumlah itu adalah orang muda," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Wajarkah dibiarkan wanita dan kanak-kanak (14 tahun) jadi penarik beca? Tidak malukah kepada pelancung-pelancung luar negara, kalaupun tidak malu kepada Allah SWT? (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails