Wednesday, July 06, 2011

Kabinet PM Wanita Thai Pertama, Belum Diputuskan


Reuters
BAKAL Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menjawab soalan wartawan di ibu pejabat parti Pheu Thai di Bangkok semalam.

BANGKOK - Bakal Perdana Menteri wanita pertama baharu Thailand, Yingluck Shinawatra semalam menyatakan masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai pembentukan kabinet ketika proses melobi jawatan menteri bermula.

Pada masa yang sama, para pelabur melahirkan kebimbangan dasar populis beliau akan menyebabkan inflasi dan kadar faedah di negara itu meningkat. Pemilihan barisan menteri kabinet oleh Yingluck perlu mengambil kira kebimbangan mengenai unsur kronisme.

Selain kekhuatiran pengkritik tentang kepulangan abang Yingluck iaitu bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra selepas kemenangan majoriti parti mereka, Parti Pheu Thai pada pilihan raya umum Ahad lalu.

"Buat masa ini tiada rundingan diadakan mengenai pembentukan kabinet," kata Yingluck dalam satu sidang akhbar di sini.

Menurut pengiraan terkini Suruhanjaya Pilihan Raya semalam, parti Pheu Thai memenangi 265 daripada 500 kerusi Parlimen dan membolehkannya memerintah bersendirian. Namun, Yingluck yang bakal dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Thailand menyatakan, beliau akan membentuk sebuah kerajaan campuran bersama lima buah parti bagi menguasai 299 kerusi di Parlimen.

"Kami tidak akan menyisihkan sesiapa dalam pembentukan kabinet sama ada beliau orang dalam atau orang luar," kata Yingluck.

Kabinet yang didominasi menteri pro-Thaksin bagaimanapun boleh melemahkan usaha Yingluck ke arah perdamaian selepas Thailand dilanda krisis politik sejak enam tahun lalu.

"Ujian paling penting dan mencabar yang perlu dipikul Yingluck adalah untuk melenyapkan prasangka yang wujud disebabkan oleh perbezaan politik," kata kolumnis sebuah akhbar tempatan, Avudh Panananda.

Sementara itu, rancangan Yingluck untuk melaksanakan program berbentuk populis seperti yang pernah dilakukan oleh Thaksin turut dibimbangi boleh meningkatkan perbelanjaan awam dan inflasi.

Rancangan beliau yang melibatkan peluasan laluan kereta api, pembelian kereta api laju hinggalah kenaikan gaji dan faedah lain bertujuan meningkatkan kuasa beli penduduk di kawasan pedalaman yang rata-ratanya menyokong parti Pheu Thai. - Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails