Wednesday, July 27, 2011

50 Penuntut Di Mesir: Kedutaan M'sia, Barua UMNO?


KL, 27 Jul 11: Adakah kedutaan Malaysia di Kaherah sudah ketinggalan maklumat atau sengaja menjadi barua Umno, bagi menunjukkan seolah-olah ia sahaja yang berani mengambil tindakan? Kerana itu, PAS mahu Kementerian Pengajian Tinggi campur tangan menyelesaikan isu hampir 50 penuntut Malaysia di Mesir dikenakan tindakan kerana menyertai Himpunan Bersih 2.0 yang turut diadakan di negara itu.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, pihaknya memandang serius tindakan Kedutaan Malaysia dan Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah (JPMK) yang mengambil tindakan agar melampau ke atas penuntut-penuntut terbabit.

“Kita mahu Kementerian Pengajian Tinggi campur tangan, bertanggungjawab dan menyelesaikan isu ini dengan lebih baik kerana penuntut kita di sana buat perhimpunan dengan mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Jadi tidak timbul mereka melanggar kesalahan, mereka bukan di Malaysia bahkan di Malaysia mereka yang ditahan juga tidak dikenakan apa-apa tindakan tegas,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tuan Ibrahim, dalam entri terbarunya menegaskan tindakan itu sangat tidak adil kerana kesemua penuntut itu tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri. Jelas beliau, pihaknya mendapat maklumat seorang penuntut dari Selangor telah dibuang pusat pengajian tinggi kerana menyertai Himpunan Bersih 2.0.

“Kami juga mendapat maklumat pihak Kedutaan Malaysia menghalau tiga orang penuntut dari Asrama Rumah Melayu di Abbasiyah tanpa sebarang notis dan surat tunjuk sebab, menyenaraikan hitamkan 40 penuntut dari Perak dan beberapa orang penuntut dari Terengganu juga menerima ugutan.

“Bertindaklah secara adil, dan jangan nafikan masa depan anak bangsa sendiri,” katanya.

Tuan Ibrahim juga menegaskan agar Kedutaan Malaysia adil dalam membuat sebarang keputusan dan tidak menjadi alat kepada Umno.

“Apakah kedutaan Malaysia di Kaherah ketinggalan maklumat atau sengaja menjadi barua Umno, bagi menunjukkan seolah-olah ia sahaja yang berani mengambil tindakan?

“PAS mengingatkan mereka jangan cuba menjadi umpama bidalan ‘lebih sudu dari kuah’. PAS menyeru campur tangan Kementerian Pengajian Tinggi dan Wisma Putra bagi mengatasi kezaliman yang berlaku ini kerana sebahagian daripada mereka akan menamatkan pengajian beberapa bulan sahaja lagi,” katanya.

Pada 9 Julai lalu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah mengadakan Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara sebagai langkah menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan. Bersih 2.0 yang terdiri daripada 62 badan bukan kerajaan (NGO) turut disokong Pakatan Rakyat.

Ribuan rakyat telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 yang menyaksikan lebih 1,600 orang telah ditahan. Selain Malaysia, perhimpunan sama turut diadakan di beberapa buah negara sebagai tanda sokongan kepada Himpunan Bersih 2.0.

Tambah Tuan Ibrahim, pihaknya akan meneliti isu itu secara terperinci bagi membela nasib penuntu-penuntut yang dianiayai itu.

“Mereka (Kedutaan Malaysia) sepatutnya bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada, di mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan oleh mahkamah ia bersalah.

“Tindakan yang diambil jelas menzalimi mahasiswa tersebut dan melanggar hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak dihalang oleh pihak berkuasa Mesir,” katanya. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails