Thursday, July 28, 2011

253 Lagi, Peneroka Saman FELDA Tuntut Gantirugi.


KUANTAN, 27 Jul 11: Seramai 253 orang lagi peneroka di kawasan Felda Gugusan Jengka, akan memfailkan saman dan menuntut ganti rugi terhadap Felda kerana manipulasi dan penipuan yang dilakukan agensi itu terhadap mereka.

Di fahamkan jumlah peneroka dari beberapa Felda yang memfailkan saman mereka meningkat kepada 964 orang. Setiap peneroka menuntut RM458,000 kerugian yang ditanggung sejak 15 tahun lalu, berhubung Kadar Gred Perahan Asas (OER) buah kelapa sawit yang lebih rendah dari nilai asal. Ia termasuk tindakan Felda Palm Industries yang tidak mengira hasil tandan kelapa sawit peneroka yang dihantar kepada pengilang itu, dengan alasan buah kepala sawit muda dan mengkal.

Tindakan saman ini i menyebabkan ada Pengurus dan pegawai-pegawai dari beberapa Pejabat Felda di sekitar Jengka sedang giat menjalankan kempen mengugut peneroka Felda yang memfailkan saman mereka seperti di Felda Jengka 8, Jengka 3 dan Jengka 18. Di antara ugutan yang digunakan ialah penafian kepada peneroka-peneroka itu ke atas bonus tahunan dan "duit raya".

Namun difahamkan peneroka-peneroka tidak mempedulikan ugutan ini kerana sejak mereka memulakan tindakan menyaman Felda, peratusan perahan KPG mereka telah berjaya dinaikkan dari 18% kepada 21%, dan kenaikan ini sudah melebihi bonus tahunan dan juga hari raya yang boleh diterima mereka.

Pada 17 Jun lalu, seramai 711 orang peneroka rancangan Jengka telah memfailkan saman sebanyak RM344 juta berhubung dakwaan penipuan dan pecah amanah. Felda sebelum ini turut disaman di Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan. Dalam kenyataan tuntutan mereka, peneroka berkenaan mendakwa mereka sejak 15 tahun lalu dibayar mengikut OER yang rendah dengan purata 18.5 peratus. Namun kadar sebenar OER didapati lebih tinggi apabila mereka menghantar contoh rawak hasil buah kelapa sawit kepada makmal bebas untuk menilai kadar sebenar OER.

Keputusan ujian makmal itu menunjukkan kadar purata lebih tinggi sebanyak 27 peratus, yang bermaksud perbezaan purata 8.5 peratus berbanding kadar yang digunakan oleh Felda Palm Industries. Dengan perbezaan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu RM30,912 pada tahun 2008 sahaja.

Sementara itu hari ini, PAS tetap mengalu-alukan dan menyokong penuh tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang melarang wanita Islam bekerja sebagai GRO mulai tahun depan, walaupun dianggap terlambat. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails