Tuesday, July 26, 2011

Biometrik: Bersih Terima. Kotor Tolak -Nik Aziz

KL, 26 Jul 11: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong sistem biometrik yang akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang jika terbukti boleh membawa “kebersihan” atau bersih, sebaliknya menolak apabila terdapat unsur ‘kotor’..

Dipetik media tempatan hari ini, Nik Aziz (gambar di tengah-tengah) yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS bersedia untuk mendengar taklimat dan penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung sistem biometrik itu.

“Apa juga sistem sekali pun yang membawa kebersihan kita sokong... yang tidak membawa kebersihan mesti ditentang, yang boleh meragukan juga mesti ditentang.

“Kita boleh jumpa SPR, ada benda boleh bincang... boleh soal jawab. Terima kasih kalau SPR nak buat itu, lepas taklimat kita dengar dan kita bincang,” katanya dipetik Berita Harian dan Sinar Harian hari ini.

Dalam ulasannya, Nik Aziz bagaimanapun tetap menegaskan bahawa apa juga sistem yang membawa kepada ketelusan dalam pilihan raya, maka beliau akan menyokongnya, sebaliknya menolak apabila terdapat unsur ‘kotor’.

“Ia begini, mula-mula sekali memerintah diri, kemudian jiran, terus kepada negeri dan negara adalah (berlandaskan) agama, satu daripada cara supaya benda boleh dapat berjalan dengan baik (ialah) mesti ada kerajaan.

“Jadi, untuk membentuk kerajaan sekarang ini, mesti melalui mengundi, tak boleh cara lain. Apa saja cara bersih saya sokong,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar pula berkata pihaknya tidak akan mengetepikan pandangan pembangkang berhubung pelaksanaan sistem biometrik dalam pilihan raya kerana badan itu tidak pernah memihak mana-mana parti.

Katanya, beliau berharap pihak pembangkang tidak menolak terus sistem biometrik kerana ia masih melalui peringkat kajian. Dari segi kos, katanya, SPR akan memastikan ia tidak merugikan negara dan berkesan dalam jangka panjang. Pakatan Rakyat terus dengan pendiriannya menolak sistem biometrik yang akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 dan masih mahu kerajaan menggunakan dakwat kekal.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya sistem biometrik kerana tidak menjamin elemen satu orang satu undi semasa pilihan raya.

“Kita perlu menentang sistem ini. Sudah menjadi tanggungjawab rakyat memastikan negara bersih dan adil,” katanya.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada SPR bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya. Beliau berkata, ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.

Najib juga berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada suruhanjaya itu bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya. Salah satu tuntutan Bersih 2.0 baru-baru ini ialah menggunakan dakwat kekal, yang sepatutnya digunakan ketika pilihan raya umum 2008 tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, penggunaan sistem biometrik dalam pilihanraya, terutama bagi proses pengesahan pegundi, bukanlah satu langkah yang baik, tepat dan selamat, malah merupakan usaha yang sia-sia dan membazir.

Untuk membolehkankan pilihanraya di negara ini dilaksanakan dengan bersih dan adil, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) tidak sepatutnya memperkenalkan sistem itu, tetapi menimbang 8 cadangan jawatankuasa Bersih 2.0 yang dikemukakan kepada pihak SPR dan kerajaan baru-baru ini. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails