Monday, May 09, 2011

UMNO, Kuasa, Perlembagaan & PM Bukan Islam.


KL 9 Mei 11 : UMNO ialah parti kebangsaan bukan parti Islam. UMNO dan Parti Perikatan terlibat dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan sejak merdeka. Maka kerana itulah Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut atau memperuntukkan perdana menteri yang beragama Islam sahaja yang boleh menerajui kerajaan pusat, walaupun ada kuasa memindanya sehingga sekarang. Demikian pendapat Weblog Ibnu Hasyim.

Hal ini dinyatakan berikutan pakar undang-undang Prof Abdul Aziz Bari berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri beragama Islam boleh menerajui kerajaan pusat dan keperluan seperti itu bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

“Peruntukan bahawa perdana menteri mesti seorang yang beragama Islam tidak selaras peruntukan di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. Aziz berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mengatakan perdana menteri wajar beragama Islam.

Kata Zainul Rijal, walaupun ia tiada dalam peruntukan undang-undang mengenai soal agama atau kaum untuk menjadi perdana menteri, namun ia perlu bagi membantu dalam hal ehwal agama Islam.

“Perdana menteri mestilah seorang Muslim, jika tidak dia tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam hal-hal berkaitan agama Islam.

“Bagaimana anda boleh ada bukan Islam menasihati Agong dalam soal-soal mengenai Islam,” katanya.

Menurut Aziz Bari lagi, salah satu cara untuk meminda peruntukan itu adalah dengan memastikan majoriti dua pertiga di Parlimen. Justeru kata beliau, perdana menteri tidak seharusnya hanya orang Islam kerana Islam adalah agama rasmi negara dan terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri.

“Jangan kita lupa bahawa negeri-negeri Melayu secara jelas mengatakan: MB (menteri besar) itu — bukan ketua menteri- perlu orang Melayu dan beragama Islam. Peruntukan ini adalah jelas dan setiausaha kerajaan negeri juga perlu orang Melayu dan beragama Islam.

“Islam telah dilindungi dalam peruntukan, jadi tidak perlu bimbang sekiranya perdana menteri bukan orang Islam,” kata Aziz.

Beliau juga menegaskan Perlembagaan juga secara jelas mengatakan Raja-raja Melayu adalah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing dan tidak memerlukan nasihat daripada kerajaan negeri.

“Peruntukan sudah jelas mengatakan ketua agama Islam tidak perlu mendengar nasihat kerajaan negeri kerana mereka boleh membuat keputusan sendiri. Sekiranya diperlukan Yang di-Pertuan Agong boleh melindungi Islam, namun keperluan untuk menasihatkan Agong adalah tidak penting.

“Lebih baik jika kita tidak menyebut perkara yang tiada dalam Perlembagaan melainkan ia memerlukan semangat Perlembagaan atau sesuatu perkara lain, Perlembagaan perlu difahami dan bukan untuk menunjuk-nunjuk,” katanya.

"Jadi sekarang," jelas Weblog Ibnu Hasyim pula, "BN memang mempunyai kuasa menuntut atau memperuntukkan perdana menteri yang beragama Islam menerajui kerajaan pusat. Tetapi kerana UMNO parti teras dalam BN bukan parti Islam, maka berlakulah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang." (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails