Thursday, May 12, 2011

Pengantin Lari Hari Kahwin, Siapa Salah?

JOHOR BAHRU 12 Mei 11: Gara-gara gagal menyediakan wang hantaran seperti dijanjikan, seorang lelaki dipercayai melarikan bakal isterinya pada hari perkahwinan mereka, Ahad lalu. Difahamkan, lelaki itu yang berjanji memberikan wang hantaran RM10,000 dikatakan pernah menangguhkan tarikh perkahwinan daripada 1 Mei kepada 8 Mei lalu dengan alasan tidak dapat datang dari Sabah.

Malangnya, beberapa jam sebelum majlis pernikahan mereka, keluarga mendapati pengantin perempuan berusia 18 tahun tiada di rumah, dipercayai menghilangkan diri bersama bakal suaminya itu. Tindakan mereka menyebabkan puluhan jemputan termasuk saudara-mara dari Indonesia bukan saja menanggung malu, malah kerugian lebih RM3,000 berikutan pelbagai persiapan sudah dilakukan di rumah keluarga pengantin perempuan di Kampung Bendahara di sini.

Menceritakan kejadian itu, sepupu pengantin perempuan, Nor Lindawati Abdul Talib, 38, berkata, sepupunya Julianasari Jaafar atau Sari yang tinggal di rumahnya sepatutnya bernikah pada 1 Mei lalu bersama jejaka pilihan hatinya yang juga seorang kontraktor. Demikian lapor myMetro hari ini.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Wang hantaran merupakan sebahagian daripada adat resam dalam masyarakat Melayu dan ia tidak wajib dalam hukum syarak. Tiada dalil mewajibkan pengantin lelaki memberikan wang hantaran kepada pengantin perempuan. Malah pada dasarnya pemberian wang hantaran daripada pihak lelaki adalah sebagai cara membantu pihak perempuan dalam persiapan majlis atau kenduri perkahwinan.

Dalam Islam, perkara yang wajib kepada pengantin lelaki untuk diberikan kepada pengantin perempuan adalah mahar atau mas kahwin. Dalil al-Quran dalam surah an-Nisaa' ayat 4 dan ayat 24 menyebutkan bermaksud...

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian yang halal itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya'.

Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya setelah ia menjadi isteri kamu, maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya dengan sempurna sebagai satu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah. Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu suami isteri, sesudah ditetapkan mas kahwin itu tentang cara dan kadar pembayarannya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana'. (An-Nisaa': 24).

Kebiasaannya jumlah wang hantaran ditentukan oleh pihak pengantin perempuan, namun persetujuan dan perundingan oleh kedua-dua belah pihak akan dibuat semasa majlis pertunangan atau sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan. Lazimnya, akan berlaku tawar menawar antara pihak lelaki dan juga pihak perempuan sehinggalah kata putus diambil tentang jumlah wang hantaran tersebut.

Apa yang penting ialah kesederhanaan dan berpatutan dengan melihat kemampuan pihak lelaki dalam menentukan wang hantaran agar ia tidak membebankan pihak lelaki dan yang lebih penting untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Dalam adat masyarakat Melayu wang hantaran merupakan hadiah dan tanda persetujuan pengantin lelaki untuk mengahwini pengantin perempuan. Dalam masa yang sama ia untuk membantu pengantin perempuan membuat persediaan majlis perkahwinannya. Sekiranya hantaran yang tinggi bertujuan untuk belanja kenduri pihak pengantin perempuan, ia sesuatu yang tidak adil kerana pihak lelaki juga akan mengadakan kenduri di pihak lelaki.

Islam juga amat melarang umatnya bersikap menunjuk-nunjuk, sombong atau angkuh dalam apa juga perlakuan termasuklah mengenakan wang hantaran tinggi yang dilihat seolah-olah menjadi satu trend dalam masyarakat Melayu hari ini. Itulah Islam, 'Mudahkanlah jangan kamu persulitkan...' (IH)

4 comments:

Anonymous said...

umno juga salah....

Dupuis said...

Ya ya ! ini musti salah UMNO..!

Anonymous said...

PAS kerja salahkan umno. Mana alternatifnya?

Ali Mahmud said...

P'raya umum 13, tukar BN & UMNO. Pakatan alternatif..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails