Monday, May 09, 2011

Mat Sabu Dahului Pencalunan, Nasharudin Tarik Diri?

Dari kiri, Tuan Ibrahim, Nasarudin & Presiden PAS
KL, 9 Mei 11: Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu sedang mendahului senarai pencalonan bagi jawatan timbalan presiden mengatasi jumlah yang diterima penyandangnya Nasharudin Mat Isa, setakat hujung minggu lalu. Difahamkan, Mohamad Sabu sudah memperoleh 70 pencalonan manakala Nasharudin hampir 40 pencalonan daripada lebih 130 kawasan sudah bermesyuarat. PAS mempunyai 179 kawasan di seluruh negara.

Setakat hujung minggu lalu, hampir 75 peratus kawasan atau bahagian sudah pun mengadakan mesyuarat dan membuat pencalonan masing-masing. Ada kawasan yang tidak mencalonkan sesiapa pun. Tarikh akhir bagi mengemukakan pencalonan ialah 15 Mei ini.

Walaupun begitu ada yang berpandangan bahawa jumlah pencalonan tidak semestinya akan mencerminkan arah aliran sokongan dan undi pada hari pemilihan kelak. Juga tidak menafikan pencalonan diterima oleh Mohamad, bekas naib presiden dan bekas ahli Parlimen, menggambarkan perkembangan semasa dalam parti Islam itu.

Mohamad, yang minggu lalu mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden, enggan mengulas perkembangan semasa ini. Pada pemilihan 2009, Mohamad hanya menerima sekitar 30 pencalonan sahaja. Rata-rata kini, Mohamad memperoleh pencalonan dari semua negeri - Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka Sabah, Kelantan, Johor, Pahang dan Wilayah Persekutuan. Kecuali, Terengganu.

Dari segi pecahan kasar, Mohamad menerima pencalonan paling banyak dari Johor dengan 15 pencalonan, diikuti Perak (13), Kedah (lapan), Kelantan (enam), Pulau Pinang dan Sabah (lima), Selangor dan Negeri Sembilan (empat), Pahang (tiga) manakala Melaka, Perlis dan Wilayah Persekutuan masing-masing menyumbang dua pencalonan dan satu dari Sarawak

Tambah sumber itu, keputusan itu diperoleh dari maklumat yang diterima dari kawasan-kawasan yang telah selesai mengadakan mesyuarat bagi menamakan bakal calon yang akan ditentukan nasib pada pemilihan bulan depan.

Selain Mohamad dan Nasharudin, empat lagi pemimpin utama PAS turut dicalonkan bagi jawatan itu. Ketiga-tiga pemimpin itu adalah Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 17 pencalonan, Menteri Besar Kedah dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (lima pencalonan), seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (empat pencalonan) dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dengan satu pencalonan.

Setakat ini, hanya Mohamad dan Nasharudin sudah mengesahkan untuk bertanding bagi jawatan tersebut. Dalam laporan Harakah awal minggu lalu, akhbar parti PAS edisi terbaru, Nasharudin mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.

Nasharudin berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat pencalonan menggalakkan daripada PAS kawasan setakat ini.

“Insya-Allah saya akan pertahankan kerusi timbalan presiden kerana PAS kawasan mencalonkan saya untuk kerusi berkenaan.

“Tambahan pula mereka telah mencalonkan saya, lagipun kita mengamalkan demokrasi dalam parti, malah perlembagaan parti menyebut seseorang itu layak untuk dicalonkan dan mencalonkan seseorang itu bertanding,” katanya.

Pada pemilihan 2009, kerusi timbalan presiden menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad, Nasharudin dan Datuk Husam Musa yang mana keputusannya memihak kepada Nasharudin yang menghimpunkan 480 undi. Husam memperoleh 281 undi sementara Mohamad hanya mendapat 261 undi. Husam, kini ahli jawatankuasa PAS pusat telah mengumumkan tidak akan bertanding jawatan itu kali ini.

Seorang penyokong tegar PAS ditemui oleh weblog Ibnu Hasyim di sini tadi mengatakan..

"Mungkin pertarungan kali ini adalah anrtara golongan yang mahukan ulama sebagai timbalan presiden dengan golongan sebaliknya.. iaitu golongan yang disebut bukan ulama. Kalau Salahuddin Ayub dan Nizar Jamaludin tarik diri, berkemungkinan besar Muhamad Sabu akan menang.

"Oleh itu, jika golongan 'mahu ulama' ini hendak mengekalkan tokoh ulama mereka, maka perundingan perlu dibuat antara penyandang dan dua tokoh ulama yang dicalunkan iaitu Tuan Ibrahim dan MB Kedah. Supaya dua antaranya menarik diri.. dan undi tidak pecah."

"Eh, kamu macam kempen lawan Mat Sabu?" Seorang lagi penyokong tulin PAS lain mencelah.

"Syttt! Kempen boleh, tapi kena cerita baik sahaja. Tidak boleh cerita buruk tandingannya.. " Jawab penyokong tegar tadi. "Itu peraturan bertanding dalam PAS!".

"Jadi ada apa-apa cadangan kamu?"

"Pada saya, elok Ustaz Nasa (penyandang) tarik diri kerana sudah agak lama dilawan, beri peluang muka-muka baru. Beri laluan kepada Tuan Ibrahim Tuan Man pula.."(IH)

Pemilihan pimpinan PAS..

E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011
E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails