Tuesday, May 10, 2011

Bertudung: Noorkhiriah Lebih Baik Dari Pemimpin & Isteri...

HALAMAN HIBURAN
IBU bahagia. Noorkhiriah di samping anak sulungnya, Muhammad Hudhaifah yang kini berusia setahun.

KL 10 Mei 11: Walaupun pelakon serba boleh iaitu Noorkhiriah Ahmad Shapie masih belum bertudung sepenuhnya, namun ia lebih baik dari setengah-setengah pemimpin wanita atau isteri pemimpin UMNO yang tidak bertudung langsung, atau kadang-kadang bertudung di majlis tertentu sahaja.

Ketika majlis penyampaian hadiah untuk pemenang Anugerah Bintang Popular (ABP 2010) baru-baru ini, semua mata tertumpu kepadanya. Dia hadir bersama anak sulungnya, Muhammad Hudhaifah, satu tahun, pada majlis berkenaan. Penampilan pelakon berkenaan dilihat agak berbeza berbanding sebelum ini apabila memakai penutup kepala, lantas menimbulkan tanda tanya terhadap perubahan tersebut.

Ketika ditemui selepas acara tersebut berakhir, pelakon berusia 35 tahun itu memberi penjelasan bahawa ketika ini dia sedang dalam proses untuk mengikut jejak langkah beberapa artis sebelum ini.

“Buat masa ini saya belum lagi bertudung sepenuhnya. Cuma apa yang boleh saya katakan memang saya sedang berusaha ke arah itu secara perlahan-lahan.

“Sekarang kalau keluar ke mana-mana sekalipun saya akan cuba untuk menutup kepala. Sekiranya singgah di mana-mana kedai tudung, saya akan beli satu atau dua helai tudung,” jelasnya.

Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, dapat dilihat sudah ramai artis wanita di negara ini yang melakukan penghijrahan dari segi penampilan terutamanya dengan memakai tudung. Antara artis yang kini dilihat tampil dengan imej bertudung seperti Wardina, Anne Ngasri, Catriona Ross dan ramai lagi, manakala yang terbaru sekali adalah pelakon Irma Hasmie.

Namun begitu, pelakon berkenaan menegaskan ketika ini dia akan tetap menerima sebarang tawaran berlakon, meskipun watak yang harus dibawanya itu memerlukan dia tidak bertudung atau menutup kepala. Ujarnya, dia tidak mahu orang ramai terutama peminatnya salah anggap dan menyangka dia sudahpun bertudung. Tegasnya, memang niatnya mahu bertudung, tetapi dia akan melakukan perubahan tersebut sedikit demi sedikit.

“Mungkin apa yang saya nyatakan ini mendapat kritikan ramai pihak. Namun saya sendiri tak kisah, asalkan apa yang mereka kritik itu membawa kebaikan kepada diri saya.

“Sekiranya saya sudah bersedia untuk bertudung, maka segala penampilan saya akan turut berubah, termasuklah dengan cara pemakaian saya,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya apakah yang membuat dia secara tiba-tiba mengambil keputusan untuk berubah, dia menjelaskan ianya adalah disebabkan kesedaran dirinya sendiri. Ujarnya, biarpun sebelum ini dia pernah menunaikan umrah pada tahun 2009, namun ketika itu pintu hatinya belum terbuka lagi untuk dia bertudung.

“Lama-kelamaan mula timbul kesedaran dalam diri, terutamanya selepas dikurniakan anak kedua. Hati saya tertanya-tanya, kenapa saya tidak melaksanakan perintah Allah, sedangkan saya dikurniakan rezeki yang banyak selama ini.

“Maka, sebab itulah saya ambil keputusan sebegini. Kini apa yang saya harapkan adalah sokongan daripada semua pihak agar saya dapat melakukan perubahan,” ujarnya.

Menurutnya, antara individu yang paling gembira dengan keputusannya itu adalah suaminya sendiri iaitu Azfaidzul Antan kerana suaminya itu memang sudah lama inginkan dia bertudung. Tidak dinafikan bahawa ramai yang beranggapan apabila seseorang artis wanita itu bertudung, maka tawaran berlakon yang akan diterima semakin berkurangan.

Menurut Noorkhiriah, meskipun perkara tersebut akan dilaluinya sewaktu dia sudah bertudung nanti, dia menganggap itu adalah sebahagian daripada ujian Allah.

“Memang ada yang berkata rezeki saya akan berkurangan setelah bertudung. Namun saya percaya segala rezeki akan ditentukan oleh Allah, jadi saya tidak perlu takut tentang perkara tersebut.

“Walaupun selepas ini rezeki saya sudah tiada lagi dalam bidang lakonan, mungkin saya akan memperoleh rezeki melalui bidang yang lain pula. Paling penting, saya perlu kuat untuk menghadapi segala ujian yang diberikan,” ujarnya.

Menurutnya, dia sendiri tidak berasa terlalu risau dengan keadaan tersebut kerana sudah ada stesen televisyen seperti TV9 dan TV AlHijrah yang memberi peluang kepada artis wanita bertudung.

Pada masa sama, dia sendiri turut kagum dengan beberapa artis wanita seperti Irma Hasmie yang mengambil keputusan untuk bertudung pada usia yang muda.

Komen weblog Ibnu Hasyim: Syabas, tahniah dan al-hamdulillah! Se moga pemimpin wanita atau isteri pemimpin kita pun begitu, sekurang-kurangnya. (IH)

3 comments:

Anonymous said...

alhamdulillah,noorkhiriah tahniah buat anda,sunggoh bijak suami mendidik dan sejuk hati ayah dan ibu yang mengandongkan anda.tahniah kami doakan allah swt akan melimpahkan rezeki sebagaimana dijanjikan.

Akunyer said...

moga dia dapat menutup sepenuhnya insyaAllah :)

Chempaka Aziz said...

tetap suka dgn lakonannya.bertudung bukan bermakna lakonan anda tidak boleh menjadi bagus...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails