Saturday, May 14, 2011

Gesaan U/Islam Tadbir Agama Sendiri Ditolak M/Peguam


KL, 14 Mei 11: Majlis Peguam menolak gesaan peguam-peguam Muslim agar undang-undang berkaitan Islam digubal oleh Majlis Raja-raja Melayu berbanding Parlimen sekarang sambil menyifatkannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam gesaannya baru-baru ini, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, satu memorandum akan dihantar bagi menuntut hak eksklusif umat Islam mentadbir agama mereka sendiri.

Ini termasuk mencadangkan sebarang penggubalan undang-undang Islam tidak lagi dibahaskan oleh Dewan Rakyat kerana ia membuka perbahasan kepada golongan bukan Islam termasuk orang Islam yang tiada ilmu dalam undang-undang Islam. Sebaliknya, ia perlu diberikan perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum draf undang-undang dibawa ke Jemaah Menteri dan Parlimen.

Dalam ulasannya, Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata, kesemua undang-undang perlu diluluskan oleh ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara berperlembagaan.

“Ini struktur fundamental dan asas Perlembagaan Persekutuan,” kata Lim kepada The Malaysian Insider menerusi satu kenyataan yang diemelkan malam tadi.

“Struktur fundamental dan asas tidak boleh diatasi,” kata Lim.

Lim menambah, memorandum yang hendak dikemukakan PPMM kepada kerajaan bercanggah dengan proses legislatif dan Perlembagaan Persekutuan. Katanya, perkara-perkara berkaitan dengan undang-undang Islam digubal oleh Dewan Undangan Negeri kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diputuskan oleh Parlimen.

“Ini diperuntukkan di bawah Perkara 74 yang dibaca bersama dengan Senarai Dua yang ditetapkan di Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” kata Lim.

“Oleh itu, kuasa perundangan berkaitan dengan undang-undang Islam biasanya berada di bawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Lim juga berkata, Perlembagaan juga tidak menggariskan perbezaan antara jenis perundangan yang Parlimen diberi kuasa untuk meluluskan. Justeru katanya, Perkara 66(1) mengatakan bahawa “kuasa Parlimen untuk menggubal undang-undang” seharusnya dilakukan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Mengikut laporan media Rabu lalu, Zainul Rijal berkata, cadangan itu bertujuan mengelakkan perbahasan tentang Rang Undang-Undang Islam oleh orang bukan Islam termasuklah oleh orang Islam yang tidak mempunyai keilmuan dalam undang-undang Islam.

Dengan cara ini, orang bukan Islam tidak boleh lagi mencampuri urusan agama Islam dan orang Islam dapat mentadbir agamanya mengikut acuan Islam itu sendiri. Ia memberi kesan kepada Perkara 11(3) untuk orang Islam mentadbir agamanya secara eksklusif, terlaksana. Perkara ini mungkin akan dikaji tetapi saya sudah melihat dan bercakap dengan ramai peguam dan pensyarah undang-undang, mungkin ia boleh kita jadikan sebagai satu realiti.

Bagaimanapun Lim berpendapat bahawa syor Zainul Rijal yang mengetengahkan Perkara 11(3) sebagai salah.

“Peruntukan itu tidak membenarkan kumpulan-kumpulan agama (dalam kes ini kumpulan Islam) hak untuk menggubal undang-undang Islam,” katanya.

“Kuasanya terletak pada badan-badan perundangan masing-masing (sama ada Dewan Undangan Negeri atau Parlimen) dan tidak dan tidak boleh diperluaskan dalam konteks yang diketengahkan oleh Encik Zainul,” katanya lagi.

Katanya, jika Perkara 11(3) ditafsirkan secara ekstrem, maka mana-mana kumpulan agama boleh menggubal undang-undang mengikut sesuka hati mereka dan menyebabkan “anarki monarki.”

“Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap kumpulan agama mempunyai hak memperoleh dan memiliki hartanah dan memegang dan mentadbirnya mengikut undang-undang,” kata Lim lagi.

“Pentadbir di bawah peruntukan mesti dibaca dalam konteks keseluruhan peruntukan... ‘ia” merujuk kepada hartanah, bukannya mentadbir agama mereka (yang merupakan tafsiran luas dan tidak tepat,” katanya lagi. (The Malaysian Insider/IH)

1 comment:

FYA said...

Hukum-hakam Islam ini diserahkan kepada Mujtahid, tak perlu susah payah nak buat debat kerana pendapat mereka kita ambil dan terapkan. Ini berbeza dengan demokrasi Barat bahawa yang menjadikan suara rakyat suara keramat. Jadi undang2 adalah hak rakyat....kita orang Islam sepatutnya bukan puak2 tu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails