Tuesday, March 15, 2011

Lu, Goa! Mengenal Baba & Nyonya

CATATAN SANTAI MERLIMAU 6

LEPAS melawat Kampung Portugis, kami pergi makan ikan bakar di Restoran Ikan Bakar Sungai Duyung. Saya belum pernah ke sini lagi, ini kali pertama. Kerana malam minggu, restoran nampaknya penuh. Cuma ada beberapa meja di luar tepi jalan masuk. Kami terus duduk. Semasa pesanan dibuat, tiba-tiba...

"As-salaum'alaikum? Eh, Mat, Elias... Boleh kita sama-sama join di sini?" Sapanya. Rupanya, Wan Rahim Wan Abdullah, pemimpin PAS, specialis bahagian pilihan raya, bekas speaker DUN Kelantan. Dia bersama beberapa kumpulannya, termasuk beberapa orang Cina.

"Baik sangatlah duduk sini. Memang kami nak dengar, cerita-cerita Melaka ni.. dari kawan-kawan kita bangsa Cina, ni.." Jawab pihak kami. Masing-masing duduk dan perkenalkan diri. Antaranya ialah sepasang suami isteri bangsa Cina keturunan Melaka, antara ramai Cina-cina lain.

"Oh.. tuan dari kalangan 'baba & nyonya' ke?" Saya memulakan perbualan.

"Tidak. " Jawab pasangan antara suami isteri itu. "Baba & Nyonya' merupakan kumpulan komuniti masyarakat peranakan, tinggal di negeri Melaka. Unik.. kerana mengamalkan adat resam dan budaya campuran Cina-Melayu. Tetapi kami tidak. Kami memang asal Melaka, tinggal di Gua Musang, Kelantan..."

Dikatakan, peranakan Baba Nyonya sudah wujud sejak 600 tahun lalu dan kini telah mencecah lebih 600 orang di Melaka. Tidak termasuk yang berhijrah ke Pulau Pinang dan Singapura. Mereka memiliki dua budaya, warisan tradisi Cina dan mengamalkan ciri-ciri kehidupan masyarakat Melayu. Mempunyai persamaan dengan kaum Melayu terutama dari segi bahasa, makanan dan budaya. Kebanyakannya masih mengekalkan agama Buddha dan ada yang memilih Islam atau Kristian.

"Di sini, takde makanan Baba Nyonya," kata isteri pasangan Cina itu, apabila makanan dihidangkan oleh pelayan restoran.

Sambungnya lagi, "Kesan dari pengaruh Melayu, lahirnya masakan 'Nyonya' yang menggunakan rempah masakan Melayu. Ayam buah keluak. Contohnya 'ayam kapitan', sejenis kari ayam kering; inci kabin, iaitu ayam goreng cara Nyon ya; dan pindang bandeng, kuah ikan, yang dihidangkan ketika meraikan tahun baru Cina di Singapura."

Generasi perempuan atau Nyonya hingga kini masih pakai kebaya dan kain sarung seperti masyarakat Melayu. Dikenali sebagai 'kebaya nyonya' (lihat gambar). Tetapi kehidupan dan pemikiran kaum Baba Nyonya ini, masih mengekalkan unsur-unsur Cina biarpun telah lama terpisah nenek moyang mereka di Negara China.

Contohnya, sistem keluarga dan agama masih dikekalkan, kecuali tocang yang dianggap sebagai lambang pengabdian kepada kerajaan Manchu, zaman sebelum penghijrahan mereka ke Tanah Melayu. Bagaimanapun, zaman semakin berubah, budaya Baba Nyonya semakin disisihkan oleh generasi baru kaum itu.

Bagaimana bahasa mereka?

Pada dasarnya, bahasa Baba ialah satu bahasa campuran antara bahasa China Hokkien dengan bahasa Melayu. Bahasa Baba telah menyerap banyak perkataan Cina. Umpamanya 'lai' untuk 'datang', dan lain-lain. Banyak menggunakan peribahasa Cina dengan lebih meluas, berbanding peribahasa Melayu.

Bentuk ayat bahasa Baba berbeza daripada bahasa basahan orang Melayu. Umpamanya, "Ibu bapanya sedang makan di meja" disebut "Dia punya mak-bapa ada dudok makan do sblah punya mejah".

Selain itu, mereka menggunakan kata ganti 'ini' dan 'itu' mendahului kata nama, iaitu berbeza dengan bahasa Melayu. Orang-orang Baba juga tidak tahu tentang perkataan-perkataan yang berhubung dengan agama Islam.

Contoh bahasa..

Kata ganti nama...
saya = goa (我 góa)
kamu = lu (汝)
dia = i (伊 i)
kita = wa lang (我人 góa lâng)

Hubungan sanak saudara.. adalah daripada bahasa Hokkien kecuali mak, adik, dan abang:

ayah = 'ntia (爹 tia)
datuk = 'ngkong (公 kong)
kakak = tachi (大姊 tōa-chí)
bapa saudara = impek (伯 peh)
adik bapa = nchek (叔 chek)
suami kakak = chau (姐夫 chiá-hu)

Perkataan berkaitan dengan rumah..

ibu rumah = tian (廳 thian)
kawasan tengah tanpa bumbung = chimchi (深井 chhim-chin)
tingkat atas = loteng (樓頂 lâu-téng)
serambi dalam = pangkeng (pang-keng)
serambi luar tanpa bumbung = la-pen (lau-pin)
lampu = teng atau tanglung (燈籠 teng-liong)
meja = toh (bahasa Hokkien; 桌 toh)
permaidani = tanak (毯仔 thán-á)
cat = chat (漆 chhat)

Bagaimanapun, peralatan dapur diberi nama Melayu, kecuali barangan jenis Cina seperti:

teko = tekuan (茶壺 tê-kòan)
sudu sup = tngsi (湯匙 thng-sî)
cerek = teko (茶壺 tê-kó͘)

Terdapat satu pengecualian, iaitu sumpit yang berasal daripada bahasa Melayu, "sepit" (iaitu penyepit). Orang-orang Baba menggunakan perkataan Melayu bagi perkara memasak, kecuali 'mengukus' yang dipanggil tīm (燖). Bagaimanapun, kebanyakan masakan mereka diberi nama Cina seperti bami, tauyu, kianchai, kuchai, dan sebagainya. Beberapa jenis pakaian juga diberi nama Cina.

Perkataan berkaitan dengan agama...
Perkataan-perkataan berkaitan dengan agama menunjukkan lagi satu aspek pengaruh budaya Cina dalam kehidupan orang Baba:

tokong = bio (廟 biō)
tokong besar atau dewa Cina = tokong (mungkin daripada nama dewa, Tua Pek Kong (大伯公 Tōa-Peh Kong))
membakar colok = sio-hio (燒香 sio-hiun)
melutut = kui (跪 kūi)

Cukup setakat ini untuk lu. Goa akan sambung lagi, ini catatan santai. Insya Allah...

Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com
15 Mac, 2011. KL

Siri sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails