Saturday, March 19, 2011

DUN Sarawak Dibubar Isnin


KUCHING, 19 Mac 11: Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud mengesahkan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan Isnin ini.

Taib berkata notis mengenainya telah dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng. Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian, katanya. Pengumuman Taib itu menamatkan teka teki mengenai tarikh pilihan raya negeri. Dewan Undangan Negeri Sarawak sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Najib dan Muhyiddin yang tiba di sini semalam di bawah program turun padang pemimpin yang bermula hari ini sehingga September depan, telah menghadiri pelbagai program bersama rakyat di negeri ini sepanjang hari ini.

Sehubungan pembubaran itu, pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam masa 60 hari. Khabar angin juga bertiup kencang bahawa hari pengundian akan jatuh pada 16 April. Bagaimanapun masih belum jelas bilakah tarikh penamaan calon dijalankan kerana ia bergantung kepada tempoh berkempen. Menurut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh untuk hari penamaan dan penamaan calon. Bagaimanapun, dijangkakan tempoh berkempem selama lapan hari berdasarkan amalan dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini. Dalam pilihan raya pada Mei 2006m BN hilang lapan kerusi kepada pembangkang. Enam dimenangi DAP dan masing-masing satu untuk PKR dan bebas. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails