Wednesday, March 16, 2011

PAS Mesir Bela Kristian Sesuai Dg Keadilan Islam

KL, 16 Mac 11: Ikhwan Muslimin atau parti islam di Mesir berikrar akan terus berjuang bagi mengembalikan hak dan kebebasan seluruh rakyat negara itu yang sejak sekian lama telah dinafikan oleh rejim Mubarak.

Ikhwan atau 'PAS Mesir' menurut Wenblog Ibnu Hasyim, turut berjanji akan memberikan pembelaan kepada semua penganut agama termasuk penganut Kristian di Mesir, di samping melindungi dan memberikan hak kepada mereka, bersesuaian dengan keadilan yang terdapat dalam Islam sendiri.

Jurucakap Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Essam El-Eryan menegaskan, partinya kini sedang mengatur persiapan bagi meghadapi pilihanraya Presiden dan telah mendaftarkan sebuah parti baru, iaitu ‘al-Hurriyat wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan) untuk turut terlibat secara demokratik dalam pilihanraya Mesir.

Menurut beliau, perkembangan tersebut sejajar dengan nafas dan udara kebebasan yang dapat dirasakan dengan baik di seluruh Mesir kini, setelah rakyat berjaya menumbangkan rejim Mubarak dengan revolusi rakyat 25 Februari lalu.

Katanya, kini di seluruh Mesir sudah dapat dirasakan ruang kebebasan dan rakyat dapat menyuarakan pandangan mereka secara bebas dan kritis, tanpa sebarang ancaman atau ugutan untuk ditangkap oleh pihak polis.

"Suasana baru ini akan dimanfaatkan oleh Ikhwan bagi membangunkan semula negara Mesir bersesuaian dengan ciri-ciri yang lebih bersifat demokratik," katanya.

Beliau yang juga salah seorang bekas Ahli Parlimen Ikhwan menegaskan, memahami keadaan di Mesir kini, Ikhwan ingin mengajak semua lapisan masyarakat Mesir untuk bersama-sama membangunkan negara serta membebaskannya dari sebarang bentuk pemerintahan kuku besi serta elemen salah guna kuasa dan korupsi yang berleluasa selama ini.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menjelaskan, perkara itu diberitahu sendiri secara tegas oleh Dr Essam kepadanya dalam kunjungan singkatnya ke Mesir baru-baru ini (gambar kanan sekali Dr Syed Azman).

Dalam pertemuan di pejabat Ikhwan itu, Dr Syed Azman sempat bertukar maklumat dengan Dr Essam yang secara kebetulan baharu sahaja dibebaskan dari tahanan, setelah dikenakan hukuman penjara oleh mahkamah tentera di bawah regim bekas Presiden Hosni Mubarak.

Menurut Syed Azman, dalam pertemuan itu, beliau telah menyampaikan ucapan tahniah daripada seluruh kepimpinan, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta menegaskan sokongan penuh PAS terhadap perjuangan rakyat Mesir bagi membebaskan negara mereka dari pemerintahan kuku besi bekas Presiden Mubarak.

"Begitu juga dengan sokongan PAS kepada seluruh kepimpinan Ikhwan Muslimin Mesir yang sejak sekian lama telah diharamkan dan dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti politik oleh pemerintah Mubarak," jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini. (IH)

Ikuti keseluruhannya..
E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik?

E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails