Monday, January 10, 2011

Tidak Wajar Kuasa Sultan Diambil UMNO -MB


SHAH ALAM, 10 Jan 11: Menteri Besar Selangor berkata, adalah tidak wajar kuasa Sultan Selangor diambil alih oleh Umno demi memperkukuhkan kuasa persekutuan ketika krisis Perlembagaan Persekutuan 1993.

Kerajaan negeri Selangor mengesyorkan pindaan perlembagaan negeri bukan sahaja untuk menyelesaikan kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri tetapi juga mahu “membetulkan kesilapan” awal 1990-an, kata Tan Sri Khalid Ibrahim malam tadi.

“Umno yang mengambil alih kuasa . . . tetapi apabila dimaklumkan bahawa Sultan tiada kuasa (pelantikan), kami dikatakan jangan bertindak menderhaka,” kata beliau pada perhimpunan di Stadium Malawati di sini.

Majlis malam ini dimulakan dengan solat hajat. Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hadir sama. “Siapa yang menderhaka? Pada 1993, mereka (Umno) sudah pun melakukan derhaka,” kata beliau lagi.

Khalid juga menekankan bahawa kerajaan Selangor akan membuat beberapa usul akhir bulan ini untuk memastikan kuasa pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan awam negeri — Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri kembali ke tangan Sultan dan kerajaan Selangor.

Malah beliau juga mencabar Umno menentang pindaan perlembagaan yang bakal dibawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat. “Kita akan lihat belang mereka yang sebenar, jika benar mereka mendukung Sultan (mereka wajar sokong),” kata beliau disambut tepukan gemuruh.

Khalid berkata “drama (semasa) akan berterusan” sehingga kuasa untuk melantik pegawai-pegawai kanan terbabit kembali kepada negeri. Semalam, Khalid juga mencabar Umno menyokong pindaan perlembagaan jika ia benar-benar ikhlas dalam menjunjung institusi diraja, yang dialung-laungkannya selama ini.

“Umno (mengatakan bahawa) ia memandang tinggi (kedudukan) Sultan. Mereka (mengatakan) mereka yang mempertahankan raja,” kata beliau sambil menggesa Umno menunjukkan keikhlasan jika benar parti teras Barisan Nasional itu mempertahankan institusi diraja.

Dalam ceramah malam itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hadir sama itu berkata, kontroversi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah “isu kecil.”

“Isu SUK adalah isu kecil yang mampu kita tangani, kita punyai mandat untuk menjayakan kepentingan rakyat.

“Ini yang akan kita teruskan, Umno tidak kuat jadi kita kena lawan,” kata Ketua Umum PKR ini.

Beliau juga menggesa supaya kepimpinan kerajaan negeri Selangor, diketuai Tan Sri Khalid Ibrahim supaya “menyerang” dengan agresif serangan dibawa Umno-Barisan Nasional (BN).

“Selangor dianggap mutiara bagi Umno, sudah ada kuasa pusat tapi masih resah. Mereka fikir macam-macam nak rampas seperti kes terbaru (isu SUK), ia adalah drama.

“Kita kena pertahankan Selangor dan pastikan pentadbiran berjalan dengan baik, kuasa ada di tangan kita.

“Kita juga kena lawan, serang semula Umno... kenapa mesti bertahan? Pendirian Pakatan Rakyat adalah pertahankan Perlembagaan (Persekutuan), tak perlu kita jelaskan kepada Umno,” katanya.

“Kalau Umno halang, jangan bertahan... kita serang. SUK bukan masalah,” kata Anwar yang bulan lalu digantung selama enam bulan daripada menghadiri Parlimen.

Beliau turut menyifatkan Umno-BN sudah “tiada keyakinan” sehingga terpaksa mengadakan pertemuan dengan dengan semua ahli Parlimen gabungan 13 parti komponen itu. Sejak Datuk Mohd Khusrin Munawi diumumkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid tidak bersetuju dengan pelantikan itu yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Disember lalu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor.

Menteri Besar merancang untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri khas hujung bulan ini bagi menyelesaikan kemelut ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru. Sidang itu akan membincangkan pindaan perlembagaan negeri. Pakatan Rakyat mempunyai 35 anggota di Dewan Undangan Negeri yang memperuntukkan 56 kerusi. Pindaan perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga untuk diluluskan. (IH)

Lihat keseluruhan.... klik gambar

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails