 Dr Asri
Dr Asri
KL.16 Jan 10: Isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung  Kerinchi, yang tercetus ekoran dakwaan arahan supaya tidak lagi  menggunakan pembesar suara disebabkan aduan seorang ahli MCA, telah pun  selesai, kata pengurusan rumah ibadat itu. Pembantu imam Masjid Al-Ikhlasiah Ramli Kadni berkata, azan di masjid  itu yang terletak di kawasan majoriti orang Melayu, berkumandang  seperti biasa susulan perbincangan dengan pihak berkuasa.
Bagaimana pula kalau bacaan-bacaan selain azan menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai? Bekas Mufti Perlis, Rof Madya Dr Asri Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, USM mengulas.....
Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan -selain azan - yang  menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini  telah mengelirukan orang bukan Islam sehingga mereka menyangka ia azan. Bacaan ini  telah mengelirukan orang bukan Islam sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah  pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan  al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras  mereka dalam hal ini adalah 'perjuangan mempertahankan Islam'.
Saya  ingin mengulas hal ini seperti berikut;
 •    Apa yang  Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain  dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga  mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad  SAW. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara  melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.
• Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan Islam dan lain-lain.
Keliru antara azan dan bacaan lain
•     Ramai orang bukan Islam keliru antara azan dan bacaan-bacaan yang  dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka  bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka  bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu  mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari  lima minit.
•    Sebenarnya, Nabi sendiri telah  melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga  mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Baginda, kata Abu Sa'id al-Khudri:      
“Ketika  Nabi Muhammad SAW  beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda  mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu  Nabi berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir  dan bersabda:
“Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Dalam hadis ini Nabi Muhammad SAW  melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka  yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika  mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah  pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu  konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui  pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin  mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.
Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin RH mengulas hadis ini dengan katanya: “Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid).
Dosa menyakiti sesiapa di sekeliling
“Mereka  itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka  berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada  hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka  yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..  dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para  imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat  dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan  suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas  pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara.
“Kesimpulannya,  masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti  jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah  baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin:  http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).
Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Arab Saudi yang penduduknya semua beragama Islam. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita?
Tipu daya iblis
•     Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan  lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu  orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah  berkata:  
“Antara tipu daya Iblis ialah mereka  yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat.  Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama  membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang  bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara  azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang  tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang  yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn  Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah). 
Ini  adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang  gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan  pembesar suara pada zaman ini?  
•    Maka,  dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat  melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam  masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik  semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang  harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka  kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak.
Mengenai memperdengar suara azan sila lihat Komen Weblog Ibnu Hasyim di bawah tajuk.. Siapa Rancang Bantah Protes Suara Azan Jumaat Ini? (IH)

 
 

No comments:
Post a Comment