Saturday, January 15, 2011

Isu Azan: Pengadunya Pindah, Sudah Selesai?


KL, 15 Jan 11: Gabungan NGO Malaysia menganggap isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi di sini “sudah selesai”, apabila pengadunya yang mendakwa dia seorang anggota MCA dan juga peguam, telah berpindah dari kawasan tersebut baru-baru ini.

Setiausaha Agung gabungan itu, Mohd Jurit Ramli berkata, beliau dimaklumkan bahawa individu berkenaan telah menulis e-mel kepada pihak yang dia pernah mengadu mengatakan mahu berpindah dari kondominium tempat tinggalnya di Pantai Hill Park atas faktor keselamatan. Kondominium Pantai Hill Park terletak kira-kira satu kilometer dari masjid tersebut.

“Saya dimaklumkan oleh pihak yang menerima salinan aduannya bahawa mereka ada menerima e-mel dua tiga hari yang lalu mengatakan dia sudah mengambil pendekatan mahu berpindah kerana bimbang keselamatan diri dia... itu maklumat yang kami terima,” kata Jurit kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Jurit berkata, pihak yang menerima salinan surat peguam berkenaan meminta pihak-pihak yang mengadakan tunjuk perasaan semalam supaya tidak memanjangkan isu azan ini dan melihat ia “sudah selesai” selepas dia memutuskan untuk berpindah.

“Jadi kami pun menganggap ini sudah selesai. Kita tidak mahu perkara ini berpanjangan lagi.

“Kita mahu persekitaran yang aman, kalau keadaan tidak tenang, kita tidak boleh hidup tenang dan tenteram,” kata beliau.

“Tetapi tindakan penduduk kawasan itu, kami tidak tahu. Kami menganggap isu ini sudah selesai,” kata beliau lagi.

Katanya walaupun pihaknya menganggap isu ini sudah selesai tetapi sekurang-kurangnya pengadu perlu memohon maaf kepada umat Islam.

“Tindakan ini perlu untuk meredakan keadaan dan kita mahu setiap kaum hormat-menghormati agama dan kaum lain,” kata beliau lagi.

Ketika ditanya sama ada pihaknya ada mengunjungi unit kediaman peguam itu sebelum ini, Jurit berkata:

“Tidak, kami tidak menemui pengadu, tetapi hanya menerima maklumat daripada salinan surat aduan.”

Jurit berkata, pihak berkuasa dan pengurusan tidak seharusnya melayan aduan-aduan daripada orang perseorangan.

“Dalam kes ini, aduan daripada seorang individu, mengapa perlu kita layan? Melainkan dia mewakili mana-mana pertubuhan atau parti, kita boleh melayan... sepatutnya kita tidak melayan surat individu,” kata beliau lagi.

“Surat dan aduan orang perseorangan, kita pun tidak pasti boleh percaya atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun Jurit berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya memang tiada arahan rasmi tetapi difahamkan ada perbincangan mengenai aduan yang diterima daripada peguam berkenaan.

Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beberapa menteri kabinet yang didakwa telah menerima surat aduan itu diminta tampil memberi penjelasan. Naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar melalui tulisan di blognya, berkata jawapan pemimpin berkenaan penting bagi menegakkan kebenaran dalam isu tersebut.

“Jika benar surat ini secara rasminya telah dihantar dan telah diterima oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), Datuk Raja Nong Chik, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Mohd Nazri (Aziz), Tan Sri Koh Tsu Koon dan penasihat agama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Mat Zain, jadi apakah respon mereka?” tulisnya.

Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, menteri di Jabatan Perdana Menteri (gambar) yang bertanggungjawab ke atas soal perpaduan berkata, pula menasihatkan agar pertikaian ini tidak dijadikan “isu besar” kerana perkara itu sedang ditangani di peringkat tempatan.

“Saya belum melihat surat itu. Biar saya tengok dulu dan kemudian saya akan komen,” kata beliau kepada pemberita hari ini. Bagaimanapun kata beliau, pihaknya sudah pun memulakan usaha untuk mengatasi isu tersebut. (IH)

Lihat sebelum ini...

2 comments:

free compass said...

bumi Allah ini sangat luas, kalau tidak boleh tinggal di kawasan kejiranan yang ada bunyi azan, bolehlah berpindah kemana-mana tempat yang tiada azan langsung. tapi itu sangat mustahil. zaman sekarang, masjid ada dimana-mana sahaja.

Anonymous said...

Nurul Izzah tanya pula respon orang. Apa respon hang pula. Takkan setakat suruh orang bertenag saja?

Cakap terus terang hang setuju atau tidak dengan isu azan ni?

Tokngah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails