Sunday, November 14, 2010

Pemimpin SIS, Termasuk Sinarai Berpengaruh


Muslim berpengaruh: Senarai Malaysia naik, Nik Aziz bukan lagi 50 teratas

KL, 14 Nov 10: Personaliti dari Malaysia yang disenaraikan dalam buku ”The 500 Most Influential Muslims In The World” meningkat kali ini tetapi kedudukan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam senarai 50 teratas terkeluar berbanding edisi sulung tahun lalu.

Beberapa nama terkemuka lain juga terkelur kali ini.

Dalam edisi 2009, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan sejak 1990, berada di tangga ke-42, tetapi tiada rakyat Malaysia yang menduduki senarai 50 teratas kali ini.

Nama-nama baru dari Malaysia yang disenaraikan dalam edisi kali ini ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Angkasawan Negara pertama Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Prof Dr Muhammad Afifi al-Akiti.

Muhammad Afifi merupakan anak Melayu pertama dilantik berkhidmat di Universiti Oxford iaitu di Fakulti Teologi.

Pada 23 Julai 2005, beberapa hari selepas kejadian mengebom London, Muhammad Afifi telah menghasilkan penulisan bertajuk “Defending the Transgressed by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians”.

Buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” antara lain menyebut pandangan dan pendapat Mashitah, yang juga pakar motivasi, mengenai isu-isu Islam kontemporari mendapat perhatian luas. Beliau menyertai politik enam tahun lalu dan bertanding pada pilihan raya umum 2004.

Mengenai Dr Muszaphar pula kata buku itu, penyertaan dalam program angkasawan lepas tiga tahun lalu juga membawa kepada Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa khusus mengenai tatacara solat ketika berada di angkasa lepas. Beliau menamatkan zaman bujang pada 10 Oktober lalu.

Disenaraikan tahun lalu tetapi tidak dimasukkan dalam edisi semasa ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tahun lalu dimasukkan dalam kategori politik, aktivis Sharifah Zuriah Aljefferi, pemimpin Sisters In Islam, dan tokoh pendidikan Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.

Pemimpin yang kekal dalam senarai tahun ini ialah Anwar dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pengasas Sisters In Islam Zaynah Anwar, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Mohideen Abdul Kader, Kumpulan Raihan yang terdiri daripada Cge Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustaza dan pakar ternama dunia dan penulis bidang pengajian perbandingan Islam dan undang-undang moden Prof Dr Mohammad Hashim Kamali.

Buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” diterbitkan buat julung kali tahun lalu oleh The Royal Islamic Strategic Studies Center. Personaliti Muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam buku itu merupakan kalangan yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan dan membawa perubahan dalam kehidupan. Kategori pemilihan dibahagi kepada 15, antaranya ulama, politik, cendekiawan, wanita, belia, sains, perubatan dan teknologi dan media.

Dalam senarai 50 teratas kali ini termasuklah Raja Saudi Abdullah Abdul Aziz Al Saud, pemimpin Iran Syed Ali Khamenei, Perdana Menteri Turki Recep Tayyib Erdogan, Imam Besar Masjid Al-Azhar dan pemimpin Universiti Al-Azhar Dr Sheikh Ahmad Muhammad al Tayeb, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim Sheikh Yusuf Al-Qaradawi; pendakwah dan aktivis sosial Amr Khaled, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syeikh Mohammad Mahdi Akef dan pemimpin Hamas Khaleed Mishal. (Sumber The Malaysian Insider/AK)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pemimpin SIS seperti Sharifah Zuriah Aljefferi dan Zaynah Anwar termasuk senarai berpengaruh, adakah ia menjadi ancaman kepada umat Islam?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails