Monday, May 03, 2010

2 Medan Minyak Serah Pada Brunei -Husam

Oleh HUSAM MUSA

SURAT Terbuka Untuk Najib bertajuk PENYERAHAN SEMPADAN LAUT MENGANDUNGI DUA MEDAN MINYAK BLOK L DAN M KEPADA BRUNEI DARUS SALAM - POHON PENJELASAN.

Saya yakin YAB sudah mengikuti laporan media mengenai isu sempadan perairan Malaysia yang telah diserahkan kepada Brunei - seperti kenyataan akhbar bekas Perdana Menteri pada Juma'at lalu.

Bersekali dengan penyerahan sempadan laut ini, dua medan minyak yang kaya yang dulunya milik negara kita, juga dengan sendirinya menjadi milik Kerajaan Brunei.

Dua blok minyak itu dulunya adalah milik Petronas dan Petronas telah pun menganugerahkan konsesi kawasan ini untuk pengeluaran kepada Petronas Carigali dan Murphy Oil sejak 2003 dan berkuatkuasa bulan April tahun ini, perjanjian konsesi berkenaan terpaksa ditamatkan.

Isu yang lebih besar dan memerlukan penjelasan awam yang segera dari Kerajaan pimpinan YAB ialah bagaimana Kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009 boleh bersetuju dengan pelepasan kedaulatan Malaysia ke atas wilayah berkenaan.

Seperti disebutkan dalam kenyataan Tun Abdullah, ia adalah 'overlapping area'. Jika ianya 'overlapping area' sebagaimana kawasan-kawasan lain seperti JDA dan CAA, mengapa Malaysia dengan mudah melepaskannya? Jika kawasan lain tidak kita lepaskan kedaulatannya, mengapa yang ini kita lepaskan?

Adakah Malaysia tidak yakin bahawa kita mempunyai hak ke atas kawasan perairan ini dan adakah Malaysia telah mengkaji dengan teliti bahawa tuntutan kita ke atas kawasan ini memang tidak kukuh?

Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh empat puluh tahun?

Mengapa pula sebelum ini kita telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Murphy Oil jika kita tidak yakin ia adalah milik kita?

Bukankah selama ini kawasan ini dalam perairan kita dan tiba-tiba kita tidak mempunyai asas yang kukuh untuk terus memilikinya?

2. Selepas keputusan Kabinet dibuat dan langkah menandatangani perjanjian dengan Brunei dilakukan pada 16 Mac 2009, mengapa rakyat Malaysia tidak dimaklumkan mengenai keputusan Kerajaan menyerahkan perairan bersekali dengan medan minyak itu?

Mengapa tidak juga ada penjelasan Parlimen dibuat?

Rakyat Malaysia hanya mendapat tahu kedudukan ini melalui kenyataan Murphy Oil kepada NYSE selepas konsensinya dibatalkan.

YAB sendiri tidak pernah berterus terang dengan keputusan ini dan tidak mengambil langkah menjelaskannya kepada umum sampai hari ini.

Mengapa ia harus disembunyikan jika fakta-fakta tuntutan tidak menyebelahi kita dan kita tidak mempunyai pilihan lain melainkan menyerahkan wilayah ini kepada Brunei?

Jika sebaliknya, iaitu kita sememangnya mempunyai fakta kukuh ke atas tuntutan ini dan penyerahan ini hanyalah kerana keputusan politik semata-mata, rakyat berhak untuk tahu apakah sebab politik mendesak sehingga keputusan seperti itu dibuat.

Adakah ia semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri waktu itu dan seluruh Kabinet menerima keputusan ini walau pun ianya merugikan negara?

Jika sebiji pulau kecil sebesar Batu Putih kita perjuangkan hingga saluran terakhir, mengapa wilayah sebesar dan sekaya itu kita lepaskan sebegitu mudah?

Apakah asas-asas yang dterima untuk Kabinet memutuskan sedemikian?

3. Rakyat Malaysia juga berhak untuk tahu apakah tawaran gantian kepada Murphy Oil atau sebarang ganjaran atas penamatan konsensi berkenaan?

Sehingga satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Kerajaan, isu ini sungguh memilukan kami rakyat Malaysia. Pilu bukan sahaja kerana hilangnya wilayah kita dengan sebegitu mudah, malah timbul keraguan terhadap tahap tanggungjawab pemimpin negara, bahkan tahap kemampuan mereka membuat keputusan untuk kepentingan negara dengan wajar dan tepat.

Terima kasih.

Husam Musa
2 Mei 2010.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails