Tuesday, April 06, 2010

Tidak Menyerah Kerana Niat Mati Syahid -Munawaroh

Putri Munawaroh (berpurdah) dikawal oleh anggota polis semasa tiba di mahkamah di Jakarta, semalam. - AP

Wanita dituduh lindungi Noordin Mat Top

JAKARTA 5 April - Seorang wanita Indonesia dibicarakan hari ini atas tuduhan melindungi pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara, Noordin Mat Top di sebuah rumah di mana dia terbunuh dalam pertempuran dengan polis pada tahun lepas.

Para hakim membuka dan sejurus kemudian menangguhkan perbicaraan terhadap Putri Munawaroh, 21, yang ditangkap berikutan kejadian tembak-menembak di sebuah rumah di Jawa Tengah pada September lalu. Perbicaraan dijadual disambung semula pada Rabu ini.

Prosiding akan tertumpu kepada hubungan Munawaroh dengan Noordin yang terbunuh dalam serbuan polis itu bersama-sama tiga suspek pengganas lain, termasuk suami wanita tersebut.

Noordin yang menjadi buruan selama lebih tujuh tahun, dikatakan pakar pembuat bom yang mendapat pembiayaan daripada al-Qaeda. Dia dikaitkan dengan lima serangan bom di Indonesia sejak 2002, termasuk dua letupan yang meragut lebih 200 nyawa di pulau Bali pada tahun itu.

Noordin juga didakwa terlibat dengan dua serangan pengebom berani mati ke atas hotel-hotel mewah Ritz-Carlton dan J.W. Marriott yang membunuh tujuh orang dan mencederakan 50 lagi di Jakarta pada Julai lepas.

Pendakwa raya berkata, suami Munawaroh menjadi pembantu Noordin dan menyewa rumah persembunyian yang digempur oleh polis itu. Munawaroh yang cedera dalam pertempuran itu mendakwa dia tidak menyerah diri kerana berniat untuk mati syahid ketika melindungi Noordin, kata penyiasat.

Wanita itu hamil pada waktu ditangkap dan kemudian melahirkan seorang anak lelaki yang kini berada dalam jagaannya di dalam penjara. Jika didapati bersalah melindungi pengganas dan menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan pengganas, Munawaroh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

Dia belum membuat kenyataan terbuka mengenai tuduhan yang dihadapinya. Sejak Februari lalu, Munawaroh ialah suspek kelima yang dibicarakan berhubung dakwaan terlibat dengan serangan bom di kedua-dua hotel di Jakarta. - AP

2 comments:

Anonymous said...

Lwn ttp lawan...

Anonymous said...

ustazah saya bilang bom berani mati ini hanya boleh di palestin sahaja..itu pon ada syarat2nye..
itu sebab dalam islam tidak ada
prinsip matlamat membenarkan cara..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails