Thursday, December 17, 2009

Perlu Wujudkan Undang-undang Kes Sihir - Datuk Dr Harun Din


SHAH ALAM Dis 17 09– Kerajaan diminta mewujudkan undang-undang sihir bagi mencegah amalan negatif itu terus menular dalam kalangan masyarakat seperti pasangan suami isteri dan penjenayah. Perkara itu dinyatakan tokoh-tokoh agama dan pengamal undang-undang dalam satu majlis perbincangan ilmiah bertajuk ‘Bentuk-bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis’ anjuran Jabatan Mufti Selangor, semalam.

Seorang penceramah bebas yang juga salah seorang panel majlis tersebut, Datuk Dr Harun Din berkata, peruntukan perundangan berkaitan kes sihir perlu diwujudkan agar pengamal sihir tidak terus berleluasa dan merosakkan akidah masyarakat.

“Peruntukan perundangan mengenai sihir perlu diwujudkan sebelum perkara ini menjadi serius,” katanya.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, kertas perbincangan termasuk cadangan mengenakan hukuman terhadap pengamal sihir itu akan dirujuk ke Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa dan seterusnya kepada Mesyuarat Muzakarah Faktwa Kebangsaan.

“Hasil perbincangan muzakarah ini akan dirujuk ke peringkat tertinggi dan dipersembahkan dalam Majlis Raja-Raja.

“Setelah diperkenankan dan diluluskan, akan dibawa ke peringkat negeri untuk diwartakan dan dilaksanakan penguatkuasaannya,” katanya dalam sidang media pada majlis muzakarah itu, bertempat di Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.

Mohd Tamyes berkata, cadangan peruntukan undang-undang ini adalah pelaksanaan secara umum membabitkan rakyat bukan Islam yang didapati sabit kesalahan dan boleh dijatuhkan hukuman.

“Pelaksanaannya sama juga seperti kes jenayah membabitkan dadah iaitu suspek yang disabitkan bersalah akan menerima hukuman tanpa mengira agama.

“Sekiranya cadangan peruntukan ini dipersetujui, ia akan dimasukkan di dalam satu Enakmen Jenayah Syariah,” katanya.

Menurutnya, muzakarah itu bertujuan mencari kaedah terbaik agar kes berkaitan sihir dapat diadili mengikut enakmen perundangan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak terus terpengaruh. (2MA)

Lihat..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails